Seorang pelajar dari ASWARA menghubungi saya lantaran mahu menjadikan Salju Sakinah sebagai bahan kajian tesis ijazahnya. Tentu sekali saya mengalu-alukan niatnya dan berjanji memberikan kerjasama yang diharapkannya. Sebelum itu lagi, penyelianya yang juga sahabat baik saya sudah menghubungi sekadar memaklumkan.
Saya kira, ini kali kedua SS menjadi pilihan untuk disorot dengan lebih terperinci dan mungkin sahaja dikupas menerusi beberapa teori atau pendekatan. Justeru, dititipkannya juga kepada saya beberapa persoalan untuk saya jawab. Antara soalannya:
1. Bagaimana atau apakah faktor tercetusnya ilham untuk menghasilkan SS?
2. Adakah penggarapan ilham SS ini berkaitan dengan diri tuan sendiri?
3. Karya tuan mengunakan watak wanita sedangkan tuan seorang lelaki. Bagaimana tuan menimba atau menghidupkan watak wanita dalam karya terutama SS, selain faktor membaca atau mengkaji. Adakah cabaran-cabaran yang ditempuhi? Nyatakan.
4. Apa dan perincikan prinsip-prinsip yang melambangkan identiti tuan selaku penulis muslim.
Memo: Insya-Allah saya akan cuba menjawab persoalan-persoalan berikut sekadar yang termampu. Terima kasih kepada pelajar tersebut yang sudi membaca dan mengkaji novel ini.
Jendela Sakinah
Blog Archive
Entri Mutakhir Blog Pilihan
-
Membuat keputusan6 years ago
-
TAMAN MAKNAWI12 years ago
-
-
Korban 1433H13 years ago
-
Links for 2011-03-15 [Digg]15 years ago
-
-
Categories
- carta (2)
- fragmen (2)
- HSKU 2006 (1)
- peribadi (24)
- previu (6)
- promosi (16)
- reviu (10)
- sastera (2)
Label: peribadi
1. Salahudin Ayubi: Penakluk Jerusalem (10,710)
Label: peribadi
Label: peribadi
Seperti yang aku janjikan, mari aku bagi review untuk novel tulisan Zaid Akhtar ni. Umum dah tau kehebatan novel best-seller ni, tapi aku nak bagi review negatif. Bak kata Anton Ego (kartun ‘Rattatouille tu, yang jadi pengkritik makanan tu) “review negatif lebih menarik daripada yang positif”. Boleh tak? Ukht Atiqah ketika aku pinjam novel ni daripada dia, mengatakan yang ceritanya bukan cerita cinta. Tapi bila aku baca habis, aku rasa nadi ceritanya tetap cinta. Kalau tak, buat apa tajuk ‘Salju Sakinah’, dimulakan dengan putusnya hubungan Sumayyah dengan Afnan pada musim panas dan diakhiri pula dengan pernikahan Sumayyah dengan Naufal pada musim sejuk. Namun begitu, keseluruhan cerita yang menitik beratkan kehidupan berpandukan Islam menjadikan kisah cinta yang walaupun wujud pada tajuk, sekadar pemanis cerita – bukan fokus utama. Aku rasa la kan, Zaid Akhtar jadikan cinta tu sebagai penarik sahaja supaya karyanya yang sarat dakwah ni lebih manis dihadam pembaca. Lagi pun, ‘Salju Sakinah’ yang asalnya diterbitkan secara bersiri dalam ruangan Agama di akhbar Utusan memang bertujuan dakwah kan? Kalau nak tulis cinta islamik macam ‘Ayat-ayat Cinta’ tu kena la terbit tempat lain. Memo: Saya gembira dan kagum dengan kebolehan pengkritik berbakat ini "melihat" aspek yang tidak dilihat oleh pengkritik lain. Perfectionist begini layak menjadi seorang penulis atau editor!
Baru sahaja pulang dari Perkampungan Penulis Muda Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2009 selama 4 hari 3 malam di Kukup Golf Resort, Pontian. Tidak menyangka agak ramai juga pembaca karya saya dalam kalangan guru dan pelajar yang terpilih ke sini.
Label: peribadi
buat pengunjung blog dan
semua pembaca Salju Sakinah.
Kullu 'aam wa antum bikhayr.
Label: peribadi
Assalamualaikum w.b.t.
Lahir sebagai seorang lelaki yang keras kepala dan keras hatinya tidak memungkinkan saya mungkin hampir dan membaca novel cinta seperti Salju Sakinah. Ternyata kuasa Allah s.w.t. mengatasi tanggapan makhluk. Hati yang disangka keras rupa-rupanya selembut kapas. Bermula dari membaca dengan niat mencemuh bertukar dengan membaca dengan kemahuan mencari tauladan. Betapa geloranya di dalam hati membaca setiap baris. Mengidamkan gadis semulia Sumayyah seumpama mencari mutiara di dasar lautan yang luas. Terima kasih di atas jambangan mukhlis, mukhsin, ihsanat dan ihtifak yang ditaburkan. Semoga buah tangan Zaid Akhtar selepas ini mempunyai roh yang lebih utuh dari Salju Sakinah...
Label: peribadi
Tahmid.
Baru-baru ini puan editor memberitahu saya, Salju Sakinah akan dicetak buat kali keenam dalam masa terdekat. Ini bermakna SS berjaya dicetak buat kali ketiga pada tahun ini. Ya Rabb.
Tiada kalam yang layak saya ujarkan selain syukur kepada-Nya. Terima kasih juga kepada PTS yang memberikan pakej yang terbaik untuk novel tersebut. Ini pengalaman baharu bagi saya meskipun sudah menulis beberapa novel lain sebelum ini. Lantaran novel-novel terdahulu untuk diulangcetak kali kedua pun sangat sukar rasanya. Puncanya pastilah tegal jualan yang tidak menggalakkan.
Memang ada permintaan pembaca agar saya melanjutkan novel setebal hampir 600 halaman itu. Tetapi saya sama sekali belum memikirkannya biarpun ketika menulisnya dahulu ada plot-plot lain yang tercetus dan berpotensi untuk dikembangkan. Biarlah saya membangunkan novel lain dahulu. Masih banyak tema yang ingin saya teroka dan mesrai. Beberapa cerpen lama saya juga sesuai untuk diadaptasi kepada novel saya kira.
Insya-Allah.
Label: peribadi
"Ku hadiahkan jambangan mukhlis, muhsin, ihsanat, ittifak ini yang disatukan dlm hidangan yang nyedar dan nyenyak agar satu tuntutan imej tauladan suci terbentuk buat kita semua."
Selepas lima belas bulan Salju Sakinah berada di pasaran dan berjaya dicetak buat kali kelima, petang tadi saya menerima sebuah tesis atau projek ilmiah seorang bakal graduan UKM. Rupanya novel SS telah menjadi subjek kajiannya bagi mendapatkan Ijazah Sarjanamuda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan).
Saya sendiri teruja. Tidak menyangka pertolongan yang sedikit menerusi e-mel dahulu dibalas dengan sebuah tesis yang sempurna. Tidak menduga novel bersiri yang saya tulis dengan penuh siksa sepanjang tahun 2005 mendapat perhatian yang tidak sedikit oleh pembaca dan sarjana. Saya kira SS bukanlah karya terbaik saya setakat ini. Saya lebih menyenangi Rona Bosphorus yang jauh menjelajah ke Istanbul dan mendepani pengaruh Yahudi. Namun pakej yang diberikan kepada SS ternyata istimewa lantas saya reda dengan pemberian-Nya.
Saya membelek-belek naskhah tesis berkulit hijau yang bertaip kemas. Judulnya juga menarik: Mesej Dakwah dalam Novel Ayat-ayat Cinta dan Novel Salju Sakinah.
Label: peribadi
Anugerah Pilihan Pembaca Berita Harian-Popular 2009 Fiksyen:
Aisya Sofea - Selagi Ada Dia
Anis Ayuni - Seribu Kali Sayang
Fauziah Ashari - Rindu Cintaku
Damya Hanna - Ternyata Cinta
Ramlee Awang Murshid - Hijab Sang Pencinta
Siti Rosmizah - Andai Itu Takdirnya
Norhayati Berahim - Kembalikan Cintaku
Aleya Aneesa - Segalanya Untukmu
Mimie Affnie - Kalau ada Jodoh
Zaid Akhtar - Salju Sakinah
Non-fiksyen:
Dr. H.M. Tuah Iskandar - Fikir-Fikiran
Sheik Mustapha - Menggapai Bintang
Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim - Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman
Dr. Tengku Asmadi - Teknik Memotivasi Anak Cara Positif
Dato Ustazah Nor Bahyah Mahmood - Hadiah untuk Muslimah
Dr. H.M. Tuah Iskandar - Membina Cinta Sayang
Dr. Danial Zainal Abidin - Minda Muslim Super
Dato Dr. Mohd. Fadhilah Kasmah - Langkah Bijak Usahawan Terbilang
Azahar Abdul Rahman - Rahsia Buat Duit Dengan Ebay
Cara undian adalah:
1. Undian melalui Akhbar Berita Harian
2. Borang Undian yang diberi disemua rangkaian Popular seluruh Malaysia.
Tarikh keluar borang belum ditentukan.
Mengapa novel ini menjadi pilihan?
Entah. Tiada jawapan tepat yang dapat aku beri. Namun mungkin kerana peribadi penulis ini yang menyebabkan aku memilih. Zaid Akhtar merupakan seorang yang berkelulusan Bahasa Arab daripada Universiti Yarmouk, Jordan. Kini beliau menjadi guru Bahasa Arab di sekolah di mana beliau menuntut ketika sekolah menengah dahulu iaitu di Sek Men Agama Segamat.
Sepertiga membaca novel ini aku merasa cukup seronok walaupun watak utamanya adalah seorang muslimah cekal bernama Sumayyah. Aku merasa teruja kerana latar belakang cerita yang bermula di Jordan semasa Sumayyah belajar seterusnya balik ke kampung di Seggarang setelah tamat pengajian seolah-olah dapat aku rasai sendiri.
Pertama mungkin kerana ketika ini aku sendiri melalui kehidupan sebagai seorang mahasiswa. Maka sedikit sebanyak apa yang dilalui oleh watak utama ini ada kena mengena dengan kehidupanku di kampus. Kedua kerana kampung Sumayyah berada di Senggarang. Tempat ini tidak jauh dari kampusku di Parit Raja. Maka beberapa tempat yang disebut oleh penulis dapat aku selami dan hayati.
Aku menyesyorkan kepada peminat novel untuk memiliki senaskah hasil tulisan yang bermutu ini. Sekurang-kurangnya bagi aku ada terselit suatu semangat motivasi daripada penceritaan kisah Sumayyah yang tabah menghadapi segala cabaran dalam hidup.
Baca lanjut tulisan siswa UTHM ini di sini
Label: reviu
Sebuah novel Islamik yang membawa kita menginsafi tentang ketabahan. Seorang gadis yang bernama Sumayyah.
Meskipun Sumayyah menjadikan wanita sebagai watak utama dan mengambil dua latar tempat yang jauh berbeza iaitu Jordan dan Malaysia, novel ini dengan sengaja mengetengahkan suasana kehidupan pelajar Malaysia di Timur Tengah selain konflik sosial seperti hasad dengki, fitnah-memfitnah serta kepercayaan khurafat dan ilmu sesat yang menjadi penyakit sebahagian masyarakat.
Novel Salju Sakinah ini sangat bagus dibaca kerana suasananya sangat dekat dengan diri kita.
Baca lanjut di sini.
Label: previu
Terima kasih diucapkan kepada semua pembaca yang baru mengenali karya saya, terutamanya kepada yang sudi mendapatkan Salju Sakinah dan bertemu saya di Pesta Buku Antarabangsa KL yang lalu.
Alhamdulillah. Salju Sakinah berjaya mencapai cetakan kelimanya menjelang PBAKL baru-baru ini.
Memo: Terima kasih juga buat staf-staf PTS yang begitu dedikasi dan bermotivasi dalam mempromosi buku-buku PTS termasuk Salju Sakinah yang sold-out pada hari terakhir PBAKL.
Label: peribadi
Insya-Allah, pada 26 April 2009 (Ahad) sekitar jam 3 hingga 4 petang akan diadakan sesi autograf bersama pengarang Salju Sakinah di gerai PTS (nombor 72-79 - depan Bilik Johor dan Bilik Kedah) . Jumpa di sana.
Memo: Sila dapatkan novel Salju Sakinah di gerai PTS dengan harga diskaun yang menarik.
Label: promosi
Nota: Senarai ini hanya memasukkan judul buku PTS yang jualannya melepasi nilai RM75 ribu bagi tahun 2008 berdasarkan harga tercetak pada kulit buku. Oleh itu ada buku-buku yang jumlah naskhahnya lebih tinggi tetapi disebabkan harga buku itu murah maka ia tidak termasuk dalam senarai ini.
1. Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (11965)2. Motivasi Alihan Untuk Pelajar (10172)
3. Dear Yayah 4 (9871)
4. Dear Yayah The Diary (9667)
5. Aku Mahu Teman Tapi Mesra (9026)
6. Salju Sakinah (8835)
7. Tak Bisa Memilihmu (8026)
8. Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif (8010)
9. Terapi Solat Tahajud (7120)
10. Aku Mahu Buli (7054)
Label: peribadi
First time baca karya penulis ini. Kalau tak silap, dah ada dua novel sebelum ini. Penulis menggunakan Jordan sebagai lokasi penceritaan beliau selain dari Johor dan juga kisah cinta di kalangan pelajar universiti bersama peranan mereka selepas menamatkan pengajian.
Penulis juga menyelitkan kisah konflik sosial yang berlaku dalam masyarakat hari ini seperti hasad dengki, fitnah serta kepercayaan pada ilmu sesat. Aku suka watak utama, Sumayyah... insan biasa yang aku kira punya karakter yang agak sukar ditemui dalam diri mana-mana gadis Melayu Muslim pada masa kini.
Bila pembacaanku sampai ke babak pengantin salji, secara tak langsung aku terus membayangkan pasti ianya indah dan menarik kalau aku sendiri dapat mengalaminya... Seperkata lagi yang aku suka tentang novel ini, banyak perkataan-perkataan yang jarang kedengaran digunakan dalam penulisan beliau.
Baca lagi ...
Sumber: Blog Hantu Novel.
Label: reviu
Setelah berada di tangga ke-5 minggu lepas, novel Salju Sakinah meningkat ke tangga ke-3 pada minggu ini (sehingga 8 Mac 2009) dalam carta novel terlaris di gedung-gedung buku MPH seluruh negara.
Insya-Allah, doakan agar novel ini akan berjaya dicetak buat kali ke-5 menjelang setahun penerbitannya pada akhir Mac nanti. Novel ini mulai dicetak kali pertama pada 28 Mac 2008 (menurut laman web PTS) dan dijual di pasaran sejak Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada awal April 2008.
| 3 | | Salju Sakinah Author : Zaid Akhtar "Novel Salju Sakinah sangat seronok dibaca kerana jalan ceritanya yang menarik, gaya bahasa yang santai tetapi sarat ... Usual Local Delivery: 3-5 Business Days |
Itulah kalimah akhir qalam buku Salju Sakinah yang baru saya khatamkan sebentar tadi. Alhamdulillah,Menarik! Hebat! itulah ayat yang pertama saya tuturkan setelah buku itu saya temukan muka depan dan kulit belakang.
Tahniah kepada pengarang yang menggunakan ilham Allah subahanahu wa taala sebagai satu medan dakwah. Doa dari saya selaku pembaca moga ilham akan terus di kurniakan dariNya agar terhasil lagi buku-buku yang boleh di jadikan satu method tarbiah buat setiap hati-hati yang dahagakan sentuhan hidayah-Nya...
Dengan ilmu sastera yang tidak sepintar mana, namun ingin juga rasanya mengulas dan merumuskan novel yang telah memasuki cetakan ke empat kalau tidak silap.
Setelah berpuluh-puluh buku yang di baca, entah mengapa novel ini turut meruntun sanubari.Mungkin kerana seperti tidak percaya seorang penulis lelaki bisa melakar jalan cerita kehidupan seorang wanita setabah Sumayyah.Bagi saya yang hawa sekalipun kadang-kala sukar menafsir dan menyelami isi hati sesama hawa namun penulis begitu teliti malah bijak mengolah ayat juga tidak keterlaluan jika saya katakan beliau seolah-olah benar-benar berjaya menyelami hati wanita berbanding saya sendiri.Subahanallah. Ternyata Allah itu Pengasih dan Maha Kaya.
Selepas Seindah Mawar Berduri, saya susuli memiliki Tautan Hati dan kemudian Syabab.Semuanya dari hasil tangan orang yang sama, Ukhti Fatimah Syarha Mohd. Noordin. Walaupun pada awalnya saya juga sudah memiliki dan membaca buku hasil air tangan penulis terkenal seperti Noorhayati Berahim, Salina Ibrahim, Ramlee Awang Murshid dan ramai lagi tapi akhirnya saya benar meminati penulis novel Salju Sakinah ini dan ingin sekali terus mengikuti perkembangannya.
Baca lanjut di blog ini.
Label: previu
Mimpi yang Panjang ii
Sejak itu, bayangan wajah Ustazah Samihah yang begitu mengharap kerap datang menekannya. Malah kadang-kadang dia terasa gelak tawa ustazah tadi seperti mengejeknya pula.
Sesekali terasa seolah-olah dirinya semakin kerdil jika dibandingkan dengan wanita itu. Biarpun cuma guru sekolah agama, tetapi peranannya cukup aktif. Pelbagai aktiviti muslimat di mukim ini di bawah pimpinannya. Suaminya Ustaz Ibrahim pun begitu. Sumbangan mereka berdua terhadap perkembangan rohani dan mentaliti penduduk kawasan ini memang tidak dapat dinafikan.
Sedang aku ni siapa? Apa amal Islami yang telah kusumbangkan? Apa peranan yang telah kumainkan demi menjadikan Islam sebagai cara hidup masyarakat? Apa … argh!
Pertanyaan yang bertalu-talu itu juga bagaikan mengejek-ngejek. Tidak semena-mena dia terasa gegendangnya berdengung, lalu menekup kedua-dua telinga. Namun, satu suara yang mulanya sayup-sayup semakin lama semakin kuat berupaya menerjah pendengarannya.
“Oleh itu hendaklah keluar dari tiap-tiap golongan di kalangan mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu agama, supaya memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”
Dia pernah mendengar ayat yang dibacakan tadi.
Sungguh. Dia pernah mendengarnya. Tapi di mana?
Suara itu bergema beberapa kali memenuhi ruang kamarnya, hingga dia ingat setiap satu kalimat yang diperdengarkan. Bagai ada satu kelegaan sedikit demi sedikit menguasai hati. Perlahan-lahan, dalam hatinya, dia membisikkan satu jawapan buat Ustazah Samihah nanti. Moga ini adalah langkahnya yang pertama untuk terlibat lebih giat dan istiqamah dalam bidang dakwah seperti ustazah dan suaminya.
Dan petang itu juga, sekali lagi Ustazah Samihah muncul di rumahnya. Dia membiarkan umi dan abah melayan ustazah sementara dia ke dapur. Apabila dia kembali ke ruang tamu sambil menatang dulang berisi minuman, Perodua Kancil milik Ustazah Samihah baru sahaja meluncur keluar dari halaman rumahnya.
“Cepatnya ustazah balik, umi.”
Umi mengangguk. “Katanya nak cepat,” balas umi, senyum.
Abah yang sedang membaca akhbar memandangnya dari hujung rambut ke hujung kaki beberapa kali sebelum tersenyum meleret. Dia tidak mengerti makna senyuman itu.
Kemudian abah merenung muka umi. Masing-masing saling berpandangan. Lama. Sama-sama tersenyum. Dan akhirnya meletus ketawa besar hingga menyenakkan perut.
“Kenapa ni, umi, abah? Tak fasal-fasal ketawa.”
Dia kehairanan. Sungguh-sungguh menghairankan. Abah dan umi tidak pernah dilihat seumur hidupnya tertawa seteruk ini. Apa dah jadi?
“Ustazah tadi sebenarnya nak jumpa Mai. Dia nak tanya Mai, nak tahu keputusan Mai. Tapi tiba-tiba, entah kenapa, dia terasa segan pula,” terang umi setelah ketawanya reda.
Dia menyeluruti wajah uminya. Umi senyum lebar. Dia menyoroti tampang abah. Gelak abah masih bersisa.
“Segan? Nak segan apa?” Hairannya sudah bertukar menjadi takjub. “Er, umi tak cakap yang saya dah setuju?”
“Hai … belum apa-apa Mai dah setuju?”
Abah dan uminya tertawa lagi. Pelik sungguh. Rasanya Ustazah Samihah juga asyik tertawa semasa bertemunya. Apakah abah dan uminya juga diresapi sindrom yang sama? Ah, sudah!
“Yalah. Memang saya dah setuju untuk jadi penceramah Maulidur Rasul tu nanti,” jawabnya tenang. Namun rasa hairannya terus meningkat.
Abah dan uminya berpandangan sekali lagi. Senyuman yang senantiasa terukir di bibir keduanya amat sukar ditafsirkan.
“Mai, ustazah tadi datang bukan untuk tanyakan itu.” Abah mengesat air matanya yang terkeluar akibat tergelak besar.
Dia makin tidak faham. Senyum meleret, tawa besar dan segala tindak-tanduk mereka maha menghairankannya.
“Habis tu?” Matanya tunak memandang abah.
“Dia datang nak risik engkau untuk suaminya!”
“Abaahh!!”
Terasa bahunya digoncang.
“Kak Mai, bangun kak! Kak Mai!”
Sumayyah terpinga-pinga. Membuka mata. Wajah seorang gadis kelihatan samar-samar. Di mana dia? Mana abah, mana umi?
Astaghfirullahalazim!
Dia malu dalam pisat. Menggeleng. Malu dengan Izzati yang terpaksa mengejutkannya. Malu mengingatkan mimpi yang baru diharungi sejenak tadi. Lantas beberapa kali mengulang istighfar.
Ya Allah!
Bagaimana mahu kutakbir mimpi seumpama ini. Di dalamnya pelbagai: Ada nasihat dan panduan. Ada pengajaran. Malah ada yang tidak masuk akal dan kecindan melucukan. Mimpi yang rencam.
Wajahnya ditekup dengan tapak tangan.
Istighfar berterusan.
Label: fragmen
MIMPI YANG PANJANG
KOKOKAN ayam begitu nyaring. Fajar sudah menyingsing. Azan yang bergaung dari masjid berdekatan mendayu-dayu. Lain benar azan subuh kali ini. Sungguh merdu dan berlagu. Ini bukan suara Bilal Saad. Ini macam suara Bilal Haji Minhad. Ya, suara Bilal Haji Minhad.
Puas menoleh sekelilingnya, barulah dia tersedar di mana dia berada. Sukar juga untuk dia percaya. Tetapi itulah sebenarnya. Dia memang sudah berada di rumah!
Selesai solat subuh, terus saja dia ke dapur. Umi yang baru keluar dari bilik air terkejut melihat dia sedang menyediakan sarapan. Wanita yang sangat dikasihi itu menggosok-gosok matanya beberapa kali. Terkesip-kesip seketika. Apakah umi juga sepertinya, sukar mahu percaya? Umi, ini Sumayyah. Anak bongsu
mu yang kaurindui ini telah pulang!
Baru tengah hari semalam dia tiba. Tiada seorang pun ahli keluarganya menyangka kepulangannya yang semengejut ini. Tiba-tiba saja sudah tersembul di depan pintu. Gempar satu keluarga. Tidak henti-henti umi menceceh. Merungut kerana tidak diberitahu lebih awal. Kak Long dan Kak Ngah bising juga. Dia cuma tersengih. Memang sengaja dia mahu bikin kejutan.
“Hai … maknya. Beruntung sungguh awak. Tak payah bangkit awal-awal lagi. Ustazah dah ada.”
Abah seperti selalu gemar mengusik. Dia memandang uminya yang masih bertelekung sambil mengacau kopi di dalam kole. Wajah ibunya cukup berseri-seri. Memang sejak semalam bibir umi tak lekang senyum.
“Umi bahagia Mai balik juga. Dah rindu benar umi ni.”
“Mai bukan tak mau balik, umi. Tapi peluang merantau di negara orang bukan datang selalu.”
Begitu jawapannya tatkala umi mendakapnya sesampainya di rumah. Rindu itu terlerai jua. Dan mereka sama-sama menangis hingga basah lencun tudungnya yang labuh santak ke pinggul itu. Dia nampak mata abah kala itu berkaca juga. Sebak beraduk suka agaknya.
Bagaimanapun, petang itu abah memanggilnya ke anjung rumah. Ada perkara yang hendak dibincangkan katanya. Umi pun sudah menanti sama. Di tangannya ada kain yang sedang dijahit.
“Begini, Mai. Tadi abah terserempak dengan Ustazah Samihah di pekan. Dia berkirim salam.”
Dia menjawab salam itu.
“Lepas tu, dia ada juga tanyakan Mai.”
Dia terdiam setagal. Bertanya tentang aku? Dadanya berdebar-debar. Dia kenal Ustazah Samihah malah semua anggota keluarganya. Ustazah itu pernah mengajarnya semasa dia bersekolah agama di pekan Senggarang dulu.
Dia merenung wajah kedua-dua ibu bapanya bersilih ganti. Suaranya tidak keluar. Degupan jantung, entah mengapa, bagai sedang bertempur.
“Ustazah nak minta Mai tolong gantikan dia mengajar malam esok.”
Terkedu dia mendengarnya. “Mai?”
“Ha-ah.” Abah mengiyakan. “Ustazah nak ke KL esok. Ziarah saudaranya sakit. Tak ada siapa nak gantikan tempatnya.”
“Jangan abah. Mai tak sanggup.”
Dia menggeleng. Abah menghirup milo yang asapnya kian menipis. Umi mulai leka dengan jahitannya.
“Kenapa pula, kan Mai dah belajar itu semua?”
“Mai … Mai tak bersedia lagi. Tak sampai seminggu balik, takkan dah nak mengajar orang.”
Abah mengangguk-angguk. Barangkali alasannya itu berjaya memecah tanggapan awal abah. Dia menarik nafas. Lega dengan tindak-tanduk orang tuanya.
Sementara menanti matanya terlelap malam itu, dia teringat kata-kata abahnya di anjung tadi. Entah mengapa dia rasa malu sendiri. Dia sedar abah menaruh harapan besar padanya. Dalam tiga adik-beradiknya, dialah satu-satunya yang belajar jurusan agama. Kak Long dan Kak Ngah dihantar ke sekolah biasa.
Mengajar orang-orang kampung? Suatu perkara yang jarang terlintas di akalnya sebelum ini. Dia benar-benar tidak menyangka Ustazah Samihah bertanyakan dirinya untuk tujuan sedemikian. Dia agak rapat juga dengan keluarga pasangan Ustazah Samihah dan Ustaz Ibrahim itu terutama Aliyah, anak gadisnya yang masih belajar di Jepun. Dan anak sulungnya Luqman Hakim, kalau tidak silap sedang menyambung ijazah kedua di UKM, pernah sekelas dengannya semasa mengambil tingkatan enam dulu. Itulah sebabnya dia terkesiap benar bila Ustazah Samihah bertanyakan dirinya.
Dalam begitu, telinganya menangkap sayup-sayup suara orang berbual. Pasti abah dan umi belum tidur lagi. Baru dia teringat abahnya baru pulang bermesyuarat di rumah pak imam. Perlahan-lahan dia menguak daun pintu kamarnya, dan melangkah segontai mungkin ke ruang tamu.
“Abang nak tolak cadangan pak imam tadi. Tapi, lepas tu abang terfikir, apa salahnya anak kita yang beri pengisian.”
Langkah dia terhenti. Tidak semena-mena dadanya berdebar kencang.
“Isy … mau ke si Mai tu?” Umi bertanya separuh ragu.
“Alah … dia mengaji agama tinggi-tinggi. Bila lagi nak diguna ilmu tu?”
Dadanya yang tadinya berombak kini bagai dihentam badai tsunami. Dia terus memasang telinga.
“Lagipun ceramah Maulidur Rasul ini hanya untuk orang perempuan saja. Dua minggu lagi. Apa nak dibimbangkan?”
Sekali lagi dia terkedu. Dia sudah dapat menangkap tuju hala percakapan bapanya. Lantas berpatah balik ke bilik dan merebahkan jasadnya di tilam.
Kacau!
Dia menggetap bibir. Dia tidak tahu bagaimana untuk mengelak lagi. Kelas agama tempoh hari sudah ditolak. Tetapi menolak permintaan kali ini memang tidak wajar!
Esoknya, dia benar-benar terkejut. Sebaik sahaja abah dan umi ke pasar, Ustazah Samihah muncul di halaman rumahnya. Dia mencium tangan dan kedua-dua pipi wanita yang pernah mengajarnya mengenal ilmu tauhid dan fardu ain. Wajah ustazah berseri-seri. Dadanya pula mulai bergetar.
“Saya bukan tak mau ustazah. Tapi rasa macam tak layak saja.”
Betul jangkaannya, Ustazah Samihah datang membawa hajat. Sama seperti kata-kata abah. Hajat itulah yang sangat menggusarkan hatinya.
“Tak usahlah tawaduk sangat, Sumayyah.” Wanita hampir sebaya ibunya itu memanggilnya dengan nama penuh.
“Ustazah yakin Sumayyah boleh. Suami ustazah pun kata macam tu.”
Melihat kesungguhan di wajah Ustazah Samihah membuatkan lidahnya kelu. Dia kehilangan kata beberapa ketika. Segala alasan yang difikirkan munasabah malam tadi bagaikan terlupa.
“Semua orang yakin dengan Sumayyah. Yalah, orang mengaji di Timur Tengah yang berceramah, tentu ramai yang pergi.”
“Saya ni bukannya pandai sangat bercakap, ustazah. Ilmu pun tak seberapa. Jauh sangat kalau dibandingkan dengan ustazah. Macam langit dengan bumi.”
Ustazah Samihah ketawa terpingkal-pingkal. Dia hanya senyum sumbing. Rasanya dia tidak berjenaka akan tetapi wanita ini tertawa.
“Sumayyah … Sumayyah. Kalau ya pun nak merendah diri, janganlah macam tu sekali.”
Dia menggeleng.
“Betul ni, ustazah. Karang, lain tajuk yang dibagi, lain pula yang saya cakap.”
Ustazah Samihah tergelak lagi. Sumayyah bertambah hairan. Apakah aku berseloroh?
“Tak usahlah risau, Sumayyah. Semua yakin kamu boleh. Pak Imam pun setuju sangat.”
“Saya tak berani nak kata setuju. Takut tak tertunai pula hajat ustazah,” tuturnya lembut. Dia terasa senyumnya semakin sumbing.
“Tak mengapa. Terpulang pada Sumayyah. Lambat lagi majlis tu. Sumayyah fikirlah dulu,” kata Ustazah Samihah sebelum beredar.
Label: fragmen
