11/18/2009

Memorable Scene?

“Mai, jom kita ke depan. Abang dah nak mulakan.”
         Hakimah mengiringi Sumayyah ke ruang tamu yang sudah dipisahkan oleh kain coklat teh susu – tidak ubah seperti langsir yang labuh – yang menjadi tabir. Sumayyah duduk bersimpuh di sebelah Hakimah. Pasti di sebelah sana, Naufal yang ditemani Hakimi sudah duduk menantinya.
         Meski pandangan mereka terhijab, namun hatinya tidak keruan. Nafas mulai kurang teratur. Tidak pernah dihadapinya debaran sedahsyat ini. Serasa jejarinya tambah dingin. Kini hanya mereka berempat. Fatihah yang tidak terlibat, menanti di bilik tetamu.
         Lalu Hakimi memulakan majlis dengan mukadimah ringkas yang membayangkan hadaf pertemuan diadakan. Tanpa taaruf yang berjela-jela lantaran masing-masing sudah beroleh maklumat latar belakang secukupnya daripada Hakimi dan Hakimah, mereka berdua diberi peluang berbicara dari hati ke hati.
         “Maafkan saya, Ustazah Sumayyah. Saya sedar tindakan saya mengejutkan dan mungkin terburu-buru. Tapi, saya anggap ia tak salah selagi kita tak melampaui batasan agama.” Naufal memulakan bicara dalam nada terkawal. Mungkin sedikit segan dengan Hakimi dan Hakimah yang turut serta.
         “Maafkan saya juga sebab mahu bertemu dan bercakap sendiri dengan Ustazah malam ini. Saya tahu perkara ini pasti mengganggu kedua-dua belah pihak. Jadi biarlah kita selesaikan di sini.”
         Sumayyah diam mendengar. Hendak menyahut, dia tidak tahu bagaimana. Biarlah lelaki itu menzahirkan segala yang tidak terucap selama ini.
         “Entahlah, sejak di perpustakaan petang semalam saya berasa kurang enak.”
          Terbayang keterlanjuran lakunya di perpustakaan semalam. Hakimah di sebelahnya sudah tiada. Entah bila pasangan pengantin baru itu beredar senyap-senyap ke dapur. Semacam memberi kesempatan mereka bercakap tanpa selindung-selindung lagi.
         “Namun saya kekal sedar, saya tak layak untuk Ustazah Sumayyah.”

0 komentar: