Showing posts with label previu. Show all posts
Showing posts with label previu. Show all posts
7/09/2010

Gelombang HAMKA?

Saya kira setelah membaca novel Ayat-ayat Cinta, ia adalah novel perintis pada abad ini berkisar cinta islami. Tetapi saya terlupa ada penulis malaysia seperti saudara yang tidak kurang hebatnya. Saya membaca Salju Sakinah pada suasana pembacaan saya memerlukan perubahan di mana membaca bukan sahaja novel cinta tetapi sifatnya ilmiah. Terus saya teringat pada novel HAMKA, Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick, yang dikecam apabila seorang ilmuwan agama bercakap tentang cinta. Saya kira saudara adalah gelombang HAMKA yang keberapa saya tidak tahu... :) tetapi yang pasti karya saudara sangat indah untuk dihalusi dan dicerna dalam kehidupan kita.

Syabas dan Tahniah. Saya setuju sekiranya novel ini dapat difilemkan... pasti menjadi santapan rohani yang cukup baik. Semoga saya dapat memiliki semua novel saudara. Teruskan usaha.

5/09/2009

Suara Hati Siti Zulaiha

Sebuah novel Islamik yang membawa kita menginsafi tentang ketabahan. Seorang gadis yang bernama Sumayyah.

Meskipun Sumayyah menjadikan wanita sebagai watak utama dan mengambil dua latar tempat yang jauh berbeza iaitu Jordan dan Malaysia, novel ini dengan sengaja mengetengahkan suasana kehidupan pelajar Malaysia di Timur Tengah selain konflik sosial seperti hasad dengki, fitnah-memfitnah serta kepercayaan khurafat dan ilmu sesat yang menjadi penyakit sebahagian masyarakat.

Novel Salju Sakinah ini sangat bagus dibaca kerana suasananya sangat dekat dengan diri kita.

Baca lanjut di sini.

2/17/2009

"Jom kita main salji di universiti"

Itulah kalimah akhir qalam buku Salju Sakinah yang baru saya khatamkan sebentar tadi. Alhamdulillah,Menarik! Hebat! itulah ayat yang pertama saya tuturkan setelah buku itu saya temukan muka depan dan kulit belakang.

Tahniah kepada pengarang yang menggunakan ilham Allah subahanahu wa taala sebagai satu medan dakwah. Doa dari saya selaku pembaca moga ilham akan terus di kurniakan dariNya agar terhasil lagi buku-buku yang boleh di jadikan satu method tarbiah buat setiap hati-hati yang dahagakan sentuhan hidayah-Nya...

Dengan ilmu sastera yang tidak sepintar mana, namun ingin juga rasanya mengulas dan merumuskan novel yang telah memasuki cetakan ke empat kalau tidak silap.

Setelah berpuluh-puluh buku yang di baca, entah mengapa novel ini turut meruntun sanubari.Mungkin kerana seperti tidak percaya seorang penulis lelaki bisa melakar jalan cerita kehidupan seorang wanita setabah Sumayyah.Bagi saya yang hawa sekalipun kadang-kala sukar menafsir dan menyelami isi hati sesama hawa namun penulis begitu teliti malah bijak mengolah ayat juga tidak keterlaluan jika saya katakan beliau seolah-olah benar-benar berjaya menyelami hati wanita berbanding saya sendiri.Subahanallah. Ternyata Allah itu Pengasih dan Maha Kaya.

Selepas Seindah Mawar Berduri, saya susuli memiliki Tautan Hati dan kemudian Syabab.Semuanya dari hasil tangan orang yang sama, Ukhti Fatimah Syarha Mohd. Noordin. Walaupun pada awalnya saya juga sudah memiliki dan membaca buku hasil air tangan penulis terkenal seperti Noorhayati Berahim, Salina Ibrahim, Ramlee Awang Murshid dan ramai lagi tapi akhirnya saya benar meminati penulis novel Salju Sakinah ini dan ingin sekali terus mengikuti perkembangannya.

Baca lanjut di blog ini.

12/15/2008

Lagi Reviu Salju Sakinah

... Salju sakinah sebuah novel yang mengangkat wanita sebagai watak utama, bernama Sumayyah. Awal penceritaannya, latar tempat di bumi kinanah Jordan menjadi saksi perjalanan hidup si gadis mahasiswi jurusan Bahasa Arab. Penuntut di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan secara klisenya turut menceritakan tentang kegiatan, pergerakan dan kehidupan sebagai pelajar universiti. Aktif dalam persatuan, dan berkemahiran dalam pengucapan awam, menjadikan Sumayyah seorang pelajar muslimah yang berketrampilan.

Tidak seperti kebanyakan novel tipikal lain, Zaid Akhtar tidak menjadikan keseluruhan latar tempat di Jordan atau di Timur Tengah. Pembaca dapat melihat perjuangan bagi gadis bernama Sumayyah ini saat dia menamatkan pengajiannya dan bermula di tanah air sendiri...

Baca lanjut di sini.

Sumber: tukcyber.blogspot.com

10/30/2008

Latar Sebenar Kilang dalam Salju Sakinah?

Alhamdulillah...
Novel berjudul "Salju Sakinah" karangan Zaid Akhtar telah tamat dibaca. Ingin aku tekankan di sini, novel tersebut bukanlah seperti novel pop kontemporari yg mengajak manusia leka dengan dunia cinta, sebaliknya "Salju Sakinah" adalah salah satu daripada sekelumit novel2 melayu yg berunsur irama Islamic. Santai untuk dibaca malah diterapkan dengan pelbagai unsur Islam berlatarbelakangkan kehidupan seorang siswazah di Universiti Yarmouk dan pengalaman menghidupkan usaha dakwah di kampung halaman yg sarat dengan mehnah dan ujian daripada masyarakat dan keluarga.

Antara lain yg menjadi pendorong untuk aku membaca novel tersebut adalah kerna jalan cerita yg 'dekat di hati'. Kegigihan membangun dan mengusahakan industri kecil sederhana, IKS seperti perusahaan kerepek dan suasana kehidupan kampung di Batu Pahat seolah2 menggambarkan kehidupanku di kampung.

Tambah mengejutkan, penulis novel tersebut iaitu Zaid Akhtar dalam kata2 penghargaan beliau di awal novel ada menyatakan tentang sebuah syarikat perusahaan kerepek, MK BERKAT ENTERPRISE. Percaya atau tidak, itulah syarikat IKS milik abah dan emak di kampungku. Masih menjadi tanda tanya di benak dadaku....Bagaimana penulis mengenali keluargaku dan perusahaan milik mak abah?? Apepun...syukur kepada Ilahi...Moga Allah bantu penulis dengan ilham dan semangat yang tinggi dalam usaha dakwah melalui pena beliau...Ameen...

Sumber asal: ukhwah.blogspot.com

6/25/2008

Sempena Siri Terakhir Salju Sakinah di Utusan Malaysia (28/12/2005)

Artikel Wawancara oleh Zuarida Mohyin

“Segalanya bermula apabila syarikat penerbitan Utusan Publications & Distributors mengadakan Klinik Novel Remaja Utusan pada bulan Ogos 2000 sempena Pesta Buku Antarabangsa 2000 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

“Saya membaca iklannya dalam akhbar Utusan Malaysia lalu menghubungi pengarang kanannya, Puan Nor Azah Abd. Aziz,” kata Zaid yang menyedari bahawa penulisan adalah medium dakwah yang penting bersesuaian dengan ungkapan hikmat bahawa pena itu lebih tajam daripada mata pedang.

Malah akui Zaid, 28, kebanyakan tokoh pejuang Islam adalah sasterawan seperti Imam Syafie dan Syeikh Muhammad al-Ghazali yang memiliki koleksi puisi mereka sendiri.

“Saya tak pandai sangat bercakap atau berceramah, jadi inilah wasilah dakwah saya. Inilah tanggungjawab dan amanah yang mesti saya pikul sampai mati. Lagipun, ramai penulis terkemuka tanah air merupakan seorang pendidik,” kata Zaid yang kini berkhidmat sebagai seorang guru. Menurutnya, beliau berkemungkinan menjadikan bidang penulisan sebagai profesion tetap selepas bersara kelak.

Ditanya apakah kenangan manisnya sepanjang bergelar penulis, Zaid berkata, dia tidak dapat melupakan hari tersiarnya cerpen pertamanya, Juara Yang Tewas. Dia juga berbangga dengan kemenangannya menduduki tempat ketiga Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000 menerusi novel Sesegar Nailofar dan kemudian diberi peluang menulis novel bersiri Salju Sakinah.

“Novel sulung Sesegar Nailofar bersifat percubaan dan dihasilkan kerana menerima cabaran teman-teman. Cabaran menulis novel itu adalah satu nostalgia dan bauran pengalaman saya semasa belajar di Jordan. Namun novel itulah yang memperkenalkan saya kepada khalayak pembaca di Malaysia.

“Pengalaman menulis novel bersiri Salju Sakinah adalah yang paling berharga. Ia memang agak menyeksakan. Tiga siri bagi setiap minggu nampak enteng, tetapi bagi saya amat sukar. Karya sastera bukan tulisan yang boleh dipaksakan atau ditulis tanpa penghayatan. Apatah lagi jika ditulis dalam keadaan tergesa-gesa.

“Namun saya yakin, setelah selesai proses menulis novel bersiri itu, saya akan merindui detik-detik sukarnya. Saya berdoa moga saya menjadi penulis yang kuat dan istiqamah sesudah menyiapkan novel Salju Sakinah,” kata Zaid yang sentiasa menerima sokongan padu daripada ibu, isteri, keluarga dan teman-teman.

Menurutnya, biar sesukar mana pun menulis, tetap terselit keseronokan dan kepuasan dalam dirinya. Antaranya, beliau dapat menyelitkan isu semasa atau 'meluahkan' kritikan sosial pada bila-bila masa yang disukai. Ini agak mustahil untuk dilakukan dalam novel biasa kerana proses penerbitannya memakan masa.

Novel bersiri lebih fleksibel. Bila remaja sedang demam program realiti TV baru-baru ini, contohnya, Zaid dapat menyentuh kemelut itu dalam novel bersirinya tatkala isu tersebut sedang hangat dibicarakan.

“Menulis novel bersiri memberi kepuasan yang tidak terhingga kepada saya kerana novel saya diedarkan bersama akhbar ke seluruh negara dan ramai yang mengikutinya setiap minggu.

“Malah saya amat tidak menyangka apabila diberitahu oleh seorang teman bahawa ada Sasterawan Negara yang saya sangat hormati turut membaca Salju Sakinah.

“Selain itu, saya berasa cukup terharu apabila ada pembaca menulis e-mel memberitahu yang dia cukup tersentuh dan mahu menjadi sekuat watak Sumayyah dalam novel itu,” ujar Zaid yang bercadang menerbitkan novel itu dalam bentuk buku.

Mengenai cabaran bergelar penulis, kata Zaid, yang pertama adalah hambatan masa. Selagi kita tidak bijak mengurus masa, selagi itulah penulis tidak akan ke mana. Untuk menulis, penulis mesti membaca. Jadi seorang penulis mesti membahagikan masa untuk bekerja, membaca, menulis dan lain-lain.

Kedua, meningkatkan mutu karya berbanding sebelumnya. Setiap penulis mahu karya mereka mencapai tahap yang lebih baik daripada sebelumnya. Tapi bukan mudah. Banyak persiapan diri yang perlu dilakukan. Lantaran itu, kata Zaid, persiapan ilmu bantu dan ketahanan diri sangat penting.

“Saya ingin menyarankan agar penulis muda banyak membaca dan meneroka tema-tema yang baru. Selepas peristiwa 11 September 2001, orang Islam dituduh pengganas. Sebagai penulis Islam, kita mesti bertanggungjawab membantah tuduhan itu menerusi karya.

“Untuk penulis muda yang mahu menulis novel, tulislah novel yang memberi manfaat, menambah ilmu dan boleh membangunkan jiwa dan rohani pembaca. Kita sudah terlalu banyak dilambakkan dengan karya-karya yang berbau cinta dan melalaikan.

“Tidak salah menulis novel cinta, tetapi biarlah kisah cinta yang Islamik dan selari dengan batas-batas Islam,” kata Zaid.

Baca artikel penuh.