Artikel Wawancara oleh Zuarida Mohyin
“Segalanya bermula apabila syarikat penerbitan Utusan Publications & Distributors mengadakan Klinik Novel Remaja Utusan pada bulan Ogos 2000 sempena Pesta Buku Antarabangsa 2000 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
“Saya membaca iklannya dalam akhbar Utusan Malaysia lalu menghubungi pengarang kanannya, Puan Nor Azah Abd. Aziz,” kata Zaid yang menyedari bahawa penulisan adalah medium dakwah yang penting bersesuaian dengan ungkapan hikmat bahawa pena itu lebih tajam daripada mata pedang.
Malah akui Zaid, 28, kebanyakan tokoh pejuang Islam adalah sasterawan seperti Imam Syafie dan Syeikh Muhammad al-Ghazali yang memiliki koleksi puisi mereka sendiri.
“Saya tak pandai sangat bercakap atau berceramah, jadi inilah wasilah dakwah saya. Inilah tanggungjawab dan amanah yang mesti saya pikul sampai mati. Lagipun, ramai penulis terkemuka tanah air merupakan seorang pendidik,” kata Zaid yang kini berkhidmat sebagai seorang guru. Menurutnya, beliau berkemungkinan menjadikan bidang penulisan sebagai profesion tetap selepas bersara kelak.
Ditanya apakah kenangan manisnya sepanjang bergelar penulis, Zaid berkata, dia tidak dapat melupakan hari tersiarnya cerpen pertamanya, Juara Yang Tewas. Dia juga berbangga dengan kemenangannya menduduki tempat ketiga Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000 menerusi novel Sesegar Nailofar dan kemudian diberi peluang menulis novel bersiri Salju Sakinah.
“Novel sulung Sesegar Nailofar bersifat percubaan dan dihasilkan kerana menerima cabaran teman-teman. Cabaran menulis novel itu adalah satu nostalgia dan bauran pengalaman saya semasa belajar di Jordan. Namun novel itulah yang memperkenalkan saya kepada khalayak pembaca di Malaysia.
“Pengalaman menulis novel bersiri Salju Sakinah adalah yang paling berharga. Ia memang agak menyeksakan. Tiga siri bagi setiap minggu nampak enteng, tetapi bagi saya amat sukar. Karya sastera bukan tulisan yang boleh dipaksakan atau ditulis tanpa penghayatan. Apatah lagi jika ditulis dalam keadaan tergesa-gesa.
“Namun saya yakin, setelah selesai proses menulis novel bersiri itu, saya akan merindui detik-detik sukarnya. Saya berdoa moga saya menjadi penulis yang kuat dan istiqamah sesudah menyiapkan novel Salju Sakinah,” kata Zaid yang sentiasa menerima sokongan padu daripada ibu, isteri, keluarga dan teman-teman.
Menurutnya, biar sesukar mana pun menulis, tetap terselit keseronokan dan kepuasan dalam dirinya. Antaranya, beliau dapat menyelitkan isu semasa atau 'meluahkan' kritikan sosial pada bila-bila masa yang disukai. Ini agak mustahil untuk dilakukan dalam novel biasa kerana proses penerbitannya memakan masa.
Novel bersiri lebih fleksibel. Bila remaja sedang demam program realiti TV baru-baru ini, contohnya, Zaid dapat menyentuh kemelut itu dalam novel bersirinya tatkala isu tersebut sedang hangat dibicarakan.
“Menulis novel bersiri memberi kepuasan yang tidak terhingga kepada saya kerana novel saya diedarkan bersama akhbar ke seluruh negara dan ramai yang mengikutinya setiap minggu.
“Malah saya amat tidak menyangka apabila diberitahu oleh seorang teman bahawa ada Sasterawan Negara yang saya sangat hormati turut membaca Salju Sakinah.
“Selain itu, saya berasa cukup terharu apabila ada pembaca menulis e-mel memberitahu yang dia cukup tersentuh dan mahu menjadi sekuat watak Sumayyah dalam novel itu,” ujar Zaid yang bercadang menerbitkan novel itu dalam bentuk buku.
Mengenai cabaran bergelar penulis, kata Zaid, yang pertama adalah hambatan masa. Selagi kita tidak bijak mengurus masa, selagi itulah penulis tidak akan ke mana. Untuk menulis, penulis mesti membaca. Jadi seorang penulis mesti membahagikan masa untuk bekerja, membaca, menulis dan lain-lain.
Kedua, meningkatkan mutu karya berbanding sebelumnya. Setiap penulis mahu karya mereka mencapai tahap yang lebih baik daripada sebelumnya. Tapi bukan mudah. Banyak persiapan diri yang perlu dilakukan. Lantaran itu, kata Zaid, persiapan ilmu bantu dan ketahanan diri sangat penting.
“Saya ingin menyarankan agar penulis muda banyak membaca dan meneroka tema-tema yang baru. Selepas peristiwa 11 September 2001, orang Islam dituduh pengganas. Sebagai penulis Islam, kita mesti bertanggungjawab membantah tuduhan itu menerusi karya.
“Untuk penulis muda yang mahu menulis novel, tulislah novel yang memberi manfaat, menambah ilmu dan boleh membangunkan jiwa dan rohani pembaca. Kita sudah terlalu banyak dilambakkan dengan karya-karya yang berbau cinta dan melalaikan.
“Tidak salah menulis novel cinta, tetapi biarlah kisah cinta yang Islamik dan selari dengan batas-batas Islam,” kata Zaid.
0 komentar:
Post a Comment