Showing posts with label fragmen. Show all posts
Showing posts with label fragmen. Show all posts
2/15/2009

Sambungan Fragmen

Mimpi yang Panjang ii

Sejak itu, bayangan wajah Ustazah Samihah yang begitu mengharap kerap datang menekannya. Malah kadang-kadang dia terasa gelak tawa ustazah tadi seperti mengejeknya pula.

Sesekali terasa seolah-olah dirinya semakin kerdil jika dibandingkan dengan wanita itu. Biarpun cuma guru sekolah agama, tetapi peranannya cukup aktif. Pelbagai aktiviti muslimat di mukim ini di bawah pimpinannya. Suaminya Ustaz Ibrahim pun begitu. Sumbangan mereka berdua terhadap perkembangan rohani dan mentaliti penduduk kawasan ini memang tidak dapat dinafikan.

Sedang aku ni siapa? Apa amal Islami yang telah kusumbangkan? Apa peranan yang telah kumainkan demi menjadikan Islam sebagai cara hidup masyarakat? Apa … argh!
Pertanyaan yang bertalu-talu itu juga bagaikan mengejek-ngejek. Tidak semena-mena dia terasa gegendangnya berdengung, lalu menekup kedua-dua telinga. Namun, satu suara yang mulanya sayup-sayup semakin lama semakin kuat berupaya menerjah pendengarannya.
“Oleh itu hendaklah keluar dari tiap-tiap golongan di kalangan mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu agama, supaya memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”
Dia pernah mendengar ayat yang dibacakan tadi.
Sungguh. Dia pernah mendengarnya. Tapi di mana?
Suara itu bergema beberapa kali memenuhi ruang kamarnya, hingga dia ingat setiap satu kalimat yang diperdengarkan. Bagai ada satu kelegaan sedikit demi sedikit menguasai hati. Perlahan-lahan, dalam hatinya, dia membisikkan satu jawapan buat Ustazah Samihah nanti. Moga ini adalah langkahnya yang pertama untuk terlibat lebih giat dan istiqamah dalam bidang dakwah seperti ustazah dan suaminya.
Dan petang itu juga, sekali lagi Ustazah Samihah muncul di rumahnya. Dia membiarkan umi dan abah melayan ustazah sementara dia ke dapur. Apabila dia kembali ke ruang tamu sambil menatang dulang berisi minuman, Perodua Kancil milik Ustazah Samihah baru sahaja meluncur keluar dari halaman rumahnya.
“Cepatnya ustazah balik, umi.”
Umi mengangguk. “Katanya nak cepat,” balas umi, senyum.
Abah yang sedang membaca akhbar memandangnya dari hujung rambut ke hujung kaki beberapa kali sebelum tersenyum meleret. Dia tidak mengerti makna senyuman itu.
Kemudian abah merenung muka umi. Masing-masing saling berpandangan. Lama. Sama-sama tersenyum. Dan akhirnya meletus ketawa besar hingga menyenakkan perut.
“Kenapa ni, umi, abah? Tak fasal-fasal ketawa.”
Dia kehairanan. Sungguh-sungguh menghairankan. Abah dan umi tidak pernah dilihat seumur hidupnya tertawa seteruk ini. Apa dah jadi?
“Ustazah tadi sebenarnya nak jumpa Mai. Dia nak tanya Mai, nak tahu keputusan Mai. Tapi tiba-tiba, entah kenapa, dia terasa segan pula,” terang umi setelah ketawanya reda.
Dia menyeluruti wajah uminya. Umi senyum lebar. Dia menyoroti tampang abah. Gelak abah masih bersisa.
“Segan? Nak segan apa?” Hairannya sudah bertukar menjadi takjub. “Er, umi tak cakap yang saya dah setuju?”
“Hai … belum apa-apa Mai dah setuju?”
Abah dan uminya tertawa lagi. Pelik sungguh. Rasanya Ustazah Samihah juga asyik tertawa semasa bertemunya. Apakah abah dan uminya juga diresapi sindrom yang sama? Ah, sudah!
“Yalah. Memang saya dah setuju untuk jadi penceramah Maulidur Rasul tu nanti,” jawabnya tenang. Namun rasa hairannya terus meningkat.
Abah dan uminya berpandangan sekali lagi. Senyuman yang senantiasa terukir di bibir keduanya amat sukar ditafsirkan.
“Mai, ustazah tadi datang bukan untuk tanyakan itu.” Abah mengesat air matanya yang terkeluar akibat tergelak besar.
Dia makin tidak faham. Senyum meleret, tawa besar dan segala tindak-tanduk mereka maha menghairankannya.
“Habis tu?” Matanya tunak memandang abah.
“Dia datang nak risik engkau untuk suaminya!”
“Abaahh!!”
Terasa bahunya digoncang.
“Kak Mai, bangun kak! Kak Mai!”
Sumayyah terpinga-pinga. Membuka mata. Wajah seorang gadis kelihatan samar-samar. Di mana dia? Mana abah, mana umi?
Astaghfirullahalazim!
Dia malu dalam pisat. Menggeleng. Malu dengan Izzati yang terpaksa mengejutkannya. Malu mengingatkan mimpi yang baru diharungi sejenak tadi. Lantas beberapa kali mengulang istighfar.
Ya Allah!
Bagaimana mahu kutakbir mimpi seumpama ini. Di dalamnya pelbagai: Ada nasihat dan panduan. Ada pengajaran. Malah ada yang tidak masuk akal dan kecindan melucukan. Mimpi yang rencam.
Wajahnya ditekup dengan tapak tangan.
Istighfar berterusan.

1/22/2009

FRAGMEN NOVEL

MIMPI YANG PANJANG

KOKOKAN ayam begitu nyaring. Fajar sudah menyingsing. Azan yang bergaung dari masjid berdekatan mendayu-dayu. Lain benar azan subuh kali ini. Sungguh merdu dan berlagu. Ini bukan suara Bilal Saad. Ini macam suara Bilal Haji Minhad. Ya, suara Bilal Haji Minhad.
Puas menoleh sekelilingnya, barulah dia tersedar di mana dia berada. Sukar juga untuk dia percaya. Tetapi itulah sebenarnya. Dia memang sudah berada di rumah!
Selesai solat subuh, terus saja dia ke dapur. Umi yang baru keluar dari bilik air terkejut melihat dia sedang menyediakan sarapan. Wanita yang sangat dikasihi itu menggosok-gosok matanya beberapa kali. Terkesip-kesip seketika. Apakah umi juga sepertinya, sukar mahu percaya? Umi, ini Sumayyah. Anak bongsumu yang kaurindui ini telah pulang!
Baru tengah hari semalam dia tiba. Tiada seorang pun ahli keluarganya menyangka kepulangannya yang semengejut ini. Tiba-tiba saja sudah tersembul di depan pintu. Gempar satu keluarga. Tidak henti-henti umi menceceh. Merungut kerana tidak diberitahu lebih awal. Kak Long dan Kak Ngah bising juga. Dia cuma tersengih. Memang sengaja dia mahu bikin kejutan.
“Hai … maknya. Beruntung sungguh awak. Tak payah bangkit awal-awal lagi. Ustazah dah ada.”
Abah seperti selalu gemar mengusik. Dia memandang uminya yang masih bertelekung sambil mengacau kopi di dalam kole. Wajah ibunya cukup berseri-seri. Memang sejak semalam bibir umi tak lekang senyum.
“Umi bahagia Mai balik juga. Dah rindu benar umi ni.”
“Mai bukan tak mau balik, umi. Tapi peluang merantau di negara orang bukan datang selalu.”
Begitu jawapannya tatkala umi mendakapnya sesampainya di rumah. Rindu itu terlerai jua. Dan mereka sama-sama menangis hingga basah lencun tudungnya yang labuh santak ke pinggul itu. Dia nampak mata abah kala itu berkaca juga. Sebak beraduk suka agaknya.
Bagaimanapun, petang itu abah memanggilnya ke anjung rumah. Ada perkara yang hendak dibincangkan katanya. Umi pun sudah menanti sama. Di tangannya ada kain yang sedang dijahit.
“Begini, Mai. Tadi abah terserempak dengan Ustazah Samihah di pekan. Dia berkirim salam.”
Dia menjawab salam itu.
“Lepas tu, dia ada juga tanyakan Mai.”
Dia terdiam setagal. Bertanya tentang aku? Dadanya berdebar-debar. Dia kenal Ustazah Samihah malah semua anggota keluarganya. Ustazah itu pernah mengajarnya semasa dia bersekolah agama di pekan Senggarang dulu.
Dia merenung wajah kedua-dua ibu bapanya bersilih ganti. Suaranya tidak keluar. Degupan jantung, entah mengapa, bagai sedang bertempur.
“Ustazah nak minta Mai tolong gantikan dia mengajar malam esok.”
Terkedu dia mendengarnya. “Mai?”
“Ha-ah.” Abah mengiyakan. “Ustazah nak ke KL esok. Ziarah saudaranya sakit. Tak ada siapa nak gantikan tempatnya.”
“Jangan abah. Mai tak sanggup.”
Dia menggeleng. Abah menghirup milo yang asapnya kian menipis. Umi mulai leka dengan jahitannya.
“Kenapa pula, kan Mai dah belajar itu semua?”
“Mai … Mai tak bersedia lagi. Tak sampai seminggu balik, takkan dah nak mengajar orang.”
Abah mengangguk-angguk. Barangkali alasannya itu berjaya memecah tanggapan awal abah. Dia menarik nafas. Lega dengan tindak-tanduk orang tuanya.
Sementara menanti matanya terlelap malam itu, dia teringat kata-kata abahnya di anjung tadi. Entah mengapa dia rasa malu sendiri. Dia sedar abah menaruh harapan besar padanya. Dalam tiga adik-beradiknya, dialah satu-satunya yang belajar jurusan agama. Kak Long dan Kak Ngah dihantar ke sekolah biasa.
Mengajar orang-orang kampung? Suatu perkara yang jarang terlintas di akalnya sebelum ini. Dia benar-benar tidak menyangka Ustazah Samihah bertanyakan dirinya untuk tujuan sedemikian. Dia agak rapat juga dengan keluarga pasangan Ustazah Samihah dan Ustaz Ibrahim itu terutama Aliyah, anak gadisnya yang masih belajar di Jepun. Dan anak sulungnya Luqman Hakim, kalau tidak silap sedang menyambung ijazah kedua di UKM, pernah sekelas dengannya semasa mengambil tingkatan enam dulu. Itulah sebabnya dia terkesiap benar bila Ustazah Samihah bertanyakan dirinya.
Dalam begitu, telinganya menangkap sayup-sayup suara orang berbual. Pasti abah dan umi belum tidur lagi. Baru dia teringat abahnya baru pulang bermesyuarat di rumah pak imam. Perlahan-lahan dia menguak daun pintu kamarnya, dan melangkah segontai mungkin ke ruang tamu.
“Abang nak tolak cadangan pak imam tadi. Tapi, lepas tu abang terfikir, apa salahnya anak kita yang beri pengisian.”
Langkah dia terhenti. Tidak semena-mena dadanya berdebar kencang.
“Isy … mau ke si Mai tu?” Umi bertanya separuh ragu.
“Alah … dia mengaji agama tinggi-tinggi. Bila lagi nak diguna ilmu tu?”
Dadanya yang tadinya berombak kini bagai dihentam badai tsunami. Dia terus memasang telinga.
“Lagipun ceramah Maulidur Rasul ini hanya untuk orang perempuan saja. Dua minggu lagi. Apa nak dibimbangkan?”
Sekali lagi dia terkedu. Dia sudah dapat menangkap tuju hala percakapan bapanya. Lantas berpatah balik ke bilik dan merebahkan jasadnya di tilam.
Kacau!
Dia menggetap bibir. Dia tidak tahu bagaimana untuk mengelak lagi. Kelas agama tempoh hari sudah ditolak. Tetapi menolak permintaan kali ini memang tidak wajar!
Esoknya, dia benar-benar terkejut. Sebaik sahaja abah dan umi ke pasar, Ustazah Samihah muncul di halaman rumahnya. Dia mencium tangan dan kedua-dua pipi wanita yang pernah mengajarnya mengenal ilmu tauhid dan fardu ain. Wajah ustazah berseri-seri. Dadanya pula mulai bergetar.
“Saya bukan tak mau ustazah. Tapi rasa macam tak layak saja.”
Betul jangkaannya, Ustazah Samihah datang membawa hajat. Sama seperti kata-kata abah. Hajat itulah yang sangat menggusarkan hatinya.
“Tak usahlah tawaduk sangat, Sumayyah.” Wanita hampir sebaya ibunya itu memanggilnya dengan nama penuh.
“Ustazah yakin Sumayyah boleh. Suami ustazah pun kata macam tu.”
Melihat kesungguhan di wajah Ustazah Samihah membuatkan lidahnya kelu. Dia kehilangan kata beberapa ketika. Segala alasan yang difikirkan munasabah malam tadi bagaikan terlupa.
“Semua orang yakin dengan Sumayyah. Yalah, orang mengaji di Timur Tengah yang berceramah, tentu ramai yang pergi.”
“Saya ni bukannya pandai sangat bercakap, ustazah. Ilmu pun tak seberapa. Jauh sangat kalau dibandingkan dengan ustazah. Macam langit dengan bumi.”
Ustazah Samihah ketawa terpingkal-pingkal. Dia hanya senyum sumbing. Rasanya dia tidak berjenaka akan tetapi wanita ini tertawa.
“Sumayyah … Sumayyah. Kalau ya pun nak merendah diri, janganlah macam tu sekali.”
Dia menggeleng.
“Betul ni, ustazah. Karang, lain tajuk yang dibagi, lain pula yang saya cakap.”
Ustazah Samihah tergelak lagi. Sumayyah bertambah hairan. Apakah aku berseloroh?
“Tak usahlah risau, Sumayyah. Semua yakin kamu boleh. Pak Imam pun setuju sangat.”
“Saya tak berani nak kata setuju. Takut tak tertunai pula hajat ustazah,” tuturnya lembut. Dia terasa senyumnya semakin sumbing.
“Tak mengapa. Terpulang pada Sumayyah. Lambat lagi majlis tu. Sumayyah fikirlah dulu,” kata Ustazah Samihah sebelum beredar.