9/26/2006

Siri 43


MALAM MENJELANG KEBERANGKATAN

NAFAS panjang dihela beberapa detik. Keringat yang semakin banyak merenik di wajah dibiarkan. Angin malam yang berpuput masuk melalui tingkap dan angin yang berpunca dari putaran kipas angin saling bergilir memukul wajah. Beberapa helai rambutnya yang berjuntai dan menyentuh hidung diselitkan di celah telinga.
Sambil membetulkan ikatan tocangnya dia memerhatikan Izzati yang tekun memasukkan pakaiannya ke dalam beg besar. Sudah dilarang – biar kerja itu dia sendiri lakukan – tetapi gadis itu terus menawarkan diri untuk membantu. Lantas Sumayyah membiarkan perawan berkulit hitam manis itu mengemaskan beg pakaiannya, manakala dia memunggah segala pakaian dan harta benda miliknya dari dalam almari.
Malam ini malam terakhir. Pukul 11 pagi esok jadual penerbangannya. Dia mencongak-congak. Kira-kira empat belas jam lagi dia akan berangkat meninggalkan Bumi Isra’ yang sarat sejarah ini.
Gembira? Sedih? Girang? Pilu?
Entah.
Dia sendiri tidak tahu hatinya yang sebenar. Segala macam perasaan itu saling bertempur. Yang pasti, hatinya sentiasa bersyukur lantaran dapat melaksanakan amanah yang selama ini menjadi beban. Dapat menamatkan pengajian tepat pada waktu yang disasarkan.
Pada petang semalam dia ditemani Fatihah dan Hakimah yang baru selesai menghadapi peperiksaan pada sebelah paginya ke Kulliyyah Syariah untuk meninjau kalau-kalau ada natijah tidak rasmi yang telah keluar. Biasanya pihak fakulti akan memaparkan markah-markah peperiksaan yang berlangsung pada minggu pertama di papan kenyataan berhampiran ruang legar. Keputusan subjek Nizam Hukum dan Sirah Nabawiyyah yang diambilnya pada minggu lepas ada tertampal di situ. Syukur, bagai yang diharapkan, dia lulus kedua-dua mata pelajaran.
Dan pada pagi tadi, dia pergi seorang diri untuk melihat keputusan subjek Usul Fiqh 2 dan Madkhal ila Ilm Tarbiyyah. Keduanya-duanya juga lulus. Bermakna, secara tidak rasminya kini dia bergelar graduan!
Ketukan di pintu mengejutkan mereka berdua.
Hakimah muncul di pintu kamarnya, tersenyum sambil tangannya menatang dulang berisi tiga gelas minuman. Gelak tawa Fatihah dan Nazura kedengaran sesekali dari arah dapur. Masing-masing menggeleng. Entah apa perkara lucu yang digelakkan mereka berdua tidak dapat dipastikan pula.
“Dah siap berkemas?” tanya Hakimah seraya mengunjukkan dulang yang didatangnya ke arah Sumayyah.
“Ada sikit lagi,” balas Sumayyah, lalu mencapai segelas jus limau. “Zati, berhenti minum dulu.”
Izzati akur. Turut mencapai segelas minuman bagi melegakan kerongkongnya.
“Ingat nak tolong tadi, tapi Zati dah ada,” kata Hakimah setelah masing-masing meneguk minuman yang dibawanya. “Rasanya jadi tukang tengok sajalah kot.”
“Zati ni memang sengaja nak tolong, Kim. Sebab kalau boleh dia nak suruh aku lekas-lekas balik.” Sumayyah sengaja mereka cerita, mengusik Izzati. “Dia dah tak sabar nak masuk gantikan aku di bilik ni.”
Hakimah gesit tergelak mendengar usikan itu.
“Eh, tak baik tau, Kak Mai cakap macam tu. Saya tolong ikhlas ni,” rungut Izzati sebelum turut tertawa kecil. “Saya kalau boleh nak suruh Kak Mai balik lambat-lambat sikit. Tapi orang dah tak sabar, nak buat macam mana.”
Bibir Sumayyah sedikit terjeringai.
“Kau janji dengan drebar coaster tu pukul berapa, Mai?” tanya Hakimah yang merapati Izzati untuk membantu melipatkan beberapa helai pakaian yang masih terlonggok.
“Rahiman sebenarnya yang tolong uruskan. Aku cakap suruh datang pukul lapan setengah.”
Sumayyah kembali menyelongkar almarinya. Ada barang yang mahu dibawa pulang, selebihnya dihadiahkan kepada teman-teman.
“Ramai ke yang nak pergi hantar kau esok ni?”
“Entahlah.” Sumayyah menggoyangkan kedua-dua bahunya. “Ramai juga katanya nak mengikut ke matar, tapi tak berapa pasti lagi. Kalau tak ada orang, kita berlima saja pun okey.”
“Mana pula tak ada orang? Kak Anis dan semua exco siswi PERMAYA nak pergi. Bakal-bakal doktor pun katanya nak ikut sekali.” Izzati menjelaskan.
Sumayyah mengangguk. Memang agak ramai yang datang berkunjung ke Bait Fatimah az-Zahra’ sehari dua ini untuk bertemu dengannya. Marianis dan barisan exco siswi ada menziarahinya petang tadi. Raihan dan teman-teman serumahnya di Dawwar Nasiem juga datang. Sebelum itu, Masnida yang semakin pulih ditemani teman-teman serumahnya turut bertandang. Begitu juga beberapa pelajar perubatan yang kenal rapat dengannya seperti Hetty Ayuni, Syahidah dan Shareehan. Namun dia tidak kisah siapa yang akan menghantarnya pagi esok.
“Wafa’ pun nak ikut dengarnya,” tokok Hakimah. “Tapi Muna tak dapat hantar. Katanya ada hal besok.”
Muna? Lekas dia terhimbau wajah bening gadis Arab yang sopan itu. Juga pertemuan luar duga mereka di Masjid Hussein Ahad lepas. Dan perjanjian yang termeterai antara mereka berdua di luar pengetahuan Wafa’ dan teman-temannya.
“Kak Mai dah telefon keluarga?” Izzati bertanya sekali gus mengingatkan. Sumayyah sudah lama memerhatikan sifat prihatin yang dimilikinya.
“Dah, sebelum Asar tadi. Rasa makin tak sabar nak balik bila dengar umi tak berapa sihat.”
Izzati perasan dahi Sumayyah menzahirkan kerut.
“Mengapa kak?”
“Umi tak jawab telefon tadi. Kak Ngah pula yang sambut. Umi akak tu ada kencing manis,” ujarnya.


matar – lapangan terbang

0 komentar: