SELAMAT TINGGAL MALAM DI IRBID
HAKIMAH dan Izzati hampir serentak mengangguk. Sebelum ini Sumayyah memang ada memberitahu tentang penyakit ibunya yang khabarnya semakin pulih. Nampaknya ujian Tuhan itu datang kembali.
“Syafaaha Allah,” doa Izzati. “Moga umi akak lekas sembuh bila tengok anak bongsu kesayangannya balik.”
“Harapnya begitulah,” ucap Sumayyah.
Demikianlah juga yang terbisik di garisahnya. Selain perasaan ria sedihnya yang saling berbaur, hatinya turut berdebar apabila mengingatkan Kak Ngah yang menyambut panggilan jauhnya petang tadi.
“Kak Ngah bila sampai?”
Itu yang mula-mula ditanya setelah saling bertukar salam dan khabar di talian. Dia tahu Kak Ngah pulang untuk bersama-sama abah dan umi menyambutnya di Sepang.
“Baru tiba sebelum Maghrib tadi.”
“Umi mana?”
“Ada dalam bilik.”
“Semua sihat ya?”
“Alhamdulillah. Cuma umi saja tak berapa sihat.”
“Umi kurang sihat?”
“Jadual penerbangan kau bila?” Kak Ngah tidak mahu melanjutkan soal kesihatan umi, sebaliknya bertanya tentang jadual penerbangannya. Lantas dia menyatakan waktu berlepas dari Amman dan waktu tiba di Sepang sebagaimana yang tercatat di tiket kapal terbang. Kemudian dia tidak memanjangkan perbualan mereka selepas itu.
Abah bagaimana agaknya? Lupa pula untuk bertanya tentang abah. Moga abah terus-terusan sihat afiat. Ah, makin diingat, makin tak sabar pula untuk menanti hari esok.
“Segala transkrip, ijazah dan sijil berkaitan dengan pihak universiti dah beres?” Izzati bertanya lagi.
Sumayyah geleng. Ketara gadis ini memang seorang yang teliti, desis hatinya. Tidak sia-sia PERMAYA melantiknya sebagai Timbalan Exco Lajnah Dakwah dan Kerohanian. Dan tidak silap juga mereka bertiga memilih bakal penggantinya di Bait Fatimah az-Zahra’ ini.
“Keputusan rasminya tak keluar lagi. Mana boleh buat sebarang urusan graduasi selagi majlis konvokesyen belum dibuat.”
“Ya tak ya juga,” kata Izzati. “Habis tu siapa yang akan uruskan nanti?”
“Saya, jangan bimbang, saya yang akan uruskan!”
Masing-masing tersentak lalu menoleh ke pintu. Fatihah berdiri di ambang pintu kamar sambil menatang sepinggan besar jemput-jemput ikan bilis dan sepiring sos cili. Nazura yang mengekori di belakangnya membawa sejag air limau dan dua biji gelas kosong.
“Mari makan dulu. Lepas ni boleh sambung berkemas,” pelawa Fatihah, mendekati mereka bertiga sebelum duduk bertinggung dan meletakkan cekodok dan sos di aspal.
Sumayyah, Hakimah dan Izzati menangguhkan kerja.
“Ustazah Sumayyah, sila nikmati kudapan terakhir di rumah ini,” ucap Fatihah bersahaja sebelum mereka berlima menjamu selera.
“Maaflah, pisang dah habis petang tadi. Tinggal ikan bilis saja,” terang Nazura.
“Rajinnya kau, Zura.” Sumayyah memuji. “Kim, kalau macam inilah layanannya, asyik kenyanglah Teh bila duduk bertiga dengan Zura dan Zati nanti.”
“Maunya tidak. Nampak gayanya gemuklah dia bila kita takda nanti,” tokok Hakimah, turut mahu menyakat Fatihah.
Masing-masing tergelak melainkan Fatihah yang menarik muka selamba sembari mengunggis perlahan-lahan cucur ikan bilis yang masih panas.
“Jadinya bila kau nak aku uruskan transkrip dan ijazah kau tu, Mai?” Fatihah tidak menanti terlalu lama untuk bertanya.
“Bila-bila pun aku tak kisah. Aku tak mau bebankan kau,” ujar Sumayyah. Sebelum ini, dia sendiri pernah beberapa kali menguruskan pengesahan transkrip dan ijazah kakak-kakak senior terdahulu yang mewakilkan kepadanya lantaran mahu pulang lebih awal ke tanah air.
“Uruskan bila kau ada lapang, Teh. Lepas soifi nanti pun boleh. Nanti aku tinggalkan duit belanjanya. Banyak juga tempat yang kau kena pergi, macam pejabat kedutaan dan majlis pengajian tinggi di Amman,” sambung Sumayyah agak panjang lebar.
“Baik, bos,” balas Fatihah.
“Zati pun boleh bantu rasanya, manalah tau kalau-kalau kau tak sempat atau ada masalah nanti.”
“Insya Allah, kak.” Izzati cepat menyatakan kesanggupan.
Usai kudapan yang dipenuhi senda gurau dan gelak ketawa, Izzati dan Hakimah meneruskan kerja melipat dan mengemas beg pakaian yang tergendala tadi. Sumayyah kembali menyelongkar almarinya. Sementara Fatihah dan Nazura membantu menyeterika jubah dan tudung Sumayyah dan teman-temannya yang akan dipakai untuk ke lapangan terbang pada esok pagi.
Sumayyah memerhatikan teman-temannya bekerja sambil diselang-seli usik-mengusik dan kekehan tawa sekali-sekala. Alangkah ria. Namun bagaimana hari esok?
Garisahnya dipalit hiba. Perpisahan akan menjengah juga walau sesiapa pun cuba melarikan diri daripadanya. Keberangkatan akan tiba juga meski air mata menjadi saksinya. Dan esok akan tiba saatnya dia menghadapi saat itu.
Terasa betapa manisnya ukhuwah. Alangkah mahalnya persahabatan dan silaturahim yang sekian lama terjalin. Namun begitulah hakikat kehidupan. Pasti ada kegirangan dan kesayuan. Pertemuan dan perpisahan.
Sebelum terlena pada malam terakhir ini, Sumayyah mengintai ke luar jendela. Bulan bersebambangan di dada langit cerah. Bintang-bintang bercempera di sana sini meralitkan pandangan. Tompok-tompok awan mengiring hujan langsung tidak kenampakan.
Tengah malam Irbid tenang mendamaikan seperti selalu. Namun bilik-bilik Hotel Hijazi yang lebih tinggi berbanding bangunan-bangunan lain di sekitarnya masih ada yang bercahaya. Dan sesekali kedengaran deru kenderaan memecut di jalan raya.
Bayu Mediterranean yang berhembus dibiarkan mengelus-elus wajah. Sumayyah mahu menghirup udara malam sepuas-puasnya. Dia tahu, dia akan merindui suasana malam ini lagi. Tetapi pastinya, malam sebegini tidak akan datang lagi. Tidak akan dirasai lagi.
Malam esok di sini tiada lagi buatnya.
Selamat tinggal malam di Irbid.
soifi – musim panas
Syafaaha Allah – Moga Allah menyembuhkannya
Membuat keputusan
5 years ago
0 komentar:
Post a Comment