9/02/2006

Siri 42

JANGAN ADA WASANGKA

BEBERAPA minit kemudian, ekspres Hijazi melintasi susur keluar ke Jerash di sebelah kanan jalan. Setahunya, untuk tiba di kota purba tinggalan Empayar Rom tersebut memakan masa hampir sejam dari susur keluar itu. Dia pernah dua kali mengiringi rombongan para pelajar baru melawat ke sana. Saban tahun pada musim panas begini akan diadakan Mahrajan Jerash di tengah-tengah kota lama yang menghimpunkan penyanyi-penyanyi terkenal dari dunia Arab.
Selanjutnya bas melewati ar-Rumman sebelum lalu di pekan Buq’ah yang rata-ratanya didiami pelarian Palestin. Tidak jauh di depan, sejurus itu bas berhenti menurunkan beberapa penumpang di Sweileh yang terkenal sebagai kubu kuat Ikhwanul Muslimin dan turut didiami oleh para ulama tersohor Jordan.
Suatu ketika dulu, kawasan mukim berbukit ini pernah dijejali ratusan pelajar Malaysia yang belajar di Universiti Jordan. Namun setelah Ringgit Malaysia jatuh, para pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di negara ini kebanyakannya bertumpu ke Universiti Mu’tah yang menawarkan kadar yuran dan sara hidup yang lebih rendah. Dia tidak pasti berapa jumlah pelajar Malaysia yang masih belajar di universiti tertua di Jordan itu kini.
Kurang lima belas minit dari Universiti Jordan berhampiran Jubeiha, eskpres Hijazi akhirnya tiba di Terminal Bas Abdali. Sumayyah membiarkan para penumpang lain turun terlebih dahulu bagi mengelak berasak-asak dengan Arab semasa menuju ke pintu. Apabila dia bangun dan mahu melangkah ke pintu bas – setelah didapati kebanyakan penumpang telah turun – sengaja matanya meninjau ke tempat duduk bahagian belakang bas.
Darahnya tersirap. Bagaimana dia boleh tidak perasan? Ada wajah yang rasanya dia kenal.
Nazlin!
Ada juga warga Malaysia yang menaiki bas ini tadi. Tetapi dia lekas menukar riak wajah, menghulur senyuman.
“Tak perasan pula Naz ada dalam bas ni tadi,” tutur Sumayyah sebaik sahaja mereka berdua keluar dari bas.
Nazlin tersenyum. Tetapi senyuman itu dirasakannya bagai tidak bergula. Macam dipaksa-paksa.
“Naz dah habis imtihan?” Sumayyah bertanya. Semacam ada cerita silam terjengah-jengah semula di ingatannya meskipun sudah lama dilupakan.
“Belum. Ada satu lagi Rabu ni.”
“Nak ke mana?”
“Balad Amman. Cari kitab.”
“Kebetulan, Mai pun nak ke sana.”
Mata Nazlin melilau ke kiri dan kanan, menyeluruhi persekitaran Terminal Bas Abdali yang terletak bersebelahan dengan Hentian Teksi. Suasananya seperti selalu. Tidak pernah sunyi daripada kenderaan awam yang keluar masuk.
“Tak perasan pula Naz ada dalam bas ni tadi,” Sumayyah mengulang semula kata-katanya tadi.
“Macam mana nak perasan, Mai kan dah nampak orang lain dulu.”
Telinga Sumayyah berdesing. Tergamam dia seketika. Dadanya berdegup kencang. Nazlin dilihatnya tersenyum sinis.
Apakah gadis ini menyaksikan pertemuan singkatnya dengan Naufal sebelum menaiki bas tadi?
“Okeylah Mai. Naz jalan dulu,” kata Nazlin tanpa mahu berlengah apalagi mempelawanya bersama.
Sumayyah tidak terkata apa-apa. Sekadar mengangguk, kemudian melihat Nazlin menahan teksi berwarna putih, masuk ke dalamnya, dan berlalu pergi.
Nafas panjang-panjang dihela sebelum dilepaskan perlahan-lahan.
Pasti. Dia yakin Nazlin ada melihat dia berbual dengan Naufal semasa menanti syawarma yang dipesannya tadi. Kacau. Pasti gadis itu akan menganggapnya yang bukan-bukan! Lantas tersebarlah cerita. Argh!
Bibit-bibit keresahan mulai tersemai di hati. Dia kenal siapa Nazlin. Dia sangat berhati-hati apabila berhadapan dengan gadis yang muda setahun daripadanya itu. Dia masih mengingati apa yang terjadi di antara mereka lebih setahun yang lalu. Kesal dan jengkelnya masih belum terpadam hingga ke saat ini.
Tetapi, alangkah tidak wajar jika dia menaruh wasangka demikian. Mungkin Nazlin sudah berubah. Usahlah menuduh yang bukan-bukan. Apatah lagi, dia hanya tinggal beberapa hari sahaja di sini.
Lantaklah.
Sumayyah tidak mahu memikirkan kemungkinan itu lagi. Sebelum merayau di Balad Amman dia terlebih dahulu menuju ke deretan kedai buku terkemuka di jihat utara Terminal Bas Abdali. Dia mahu meninjau-ninjau kitab-kitab yang sedang hangat di pasaran - sebagaimana kelazimannya apabila ke Amman.
Selepas hampir sejam berkelintar mengintai judul kitab, malah sempat membeli beberapa buah, lalu dia menahan teksi putih yang membawanya ke Balad Amman. Tujuan sebenarnya ke sini mencari buah tangan untuk dibawa pulang.
Di Balad Amman dia terus sahaja ke bazar berdekatan Masjid Hussein. Selok-belok di situ sudah dihafaznya lantaran pernah didatangi beberapa kali. Selesai membeli beberapa helai kain khat berbenang emas, kain tudung, jubah dan beberapa kraftangan Jordan yang dirasakannya agak istimewa, Sumayyah menapak ke masjid memandangkan waktu zuhur hampir masuk. Dia mahu berjemaah zuhur buat kali terakhir di masjid ini.
Dataran hadapan Masjid Hussein sebagaimana selalu – sesak dengan pelbagai aktiviti. Ada yang berniaga di tepi temboknya, tidak kurang juga yang mengemis. Hati Sumayyah hiba melihatkan para peminta sedekah di situ kesemuanya orang Islam sepertinya.
Dia menghampiri pintu masjid untuk jemaah wanita. Di hadapan pintu masjid itu terdapat beberapa batang tiang. Di salah satu tiang kira-kira empat meter dari pintu masjid dia melihat seorang gadis sedang berdiri di situ.
Memang dia kenal gerangannya.
Muna.
Lalu dia menghampiri gadis itu.

mahrajan - temasya

0 komentar: