8/08/2006

Siri 41

DOA SEORANG ULAMA

BEGITU juga dengan teman-teman Arabnya seperti Wafa’, Muna dan Lubna di sebelah rumah. Apa khabar agaknya mereka? Sudah redakah krisis yang melanda kalian?
Dan Hayya, janda muda yang masih dihantui trauma perang di negaranya yang diceroboh Amerika. Serta Nawwal gadis Kristian di bangunan sebelah. Semuanya menuntut diziarahi.
Memandang ke luar semula. Ladang-ladang zaitun dan tin yang menjejali kiri kanan jalan tadi sudah tiada. Diganti oleh deretan pokok pain dan fir yang sengaja ditanam sepanjang jalan untuk memasak tebing bukit.
Jemu dengan pemandangan yang sama di luar, Sumayyah mengeluarkan buku La Tahzan dari beg sandang kulitnya. Sudah dua minggu buku saranan Prof. Abu Harith itu tertangguh pembacaannya.
“Halalkan segala ilmu yang Prof berikan kepada saya selama ini.”
Wajah khalis lelaki berjambang putih rapi itu muncul di helaian buku yang sudah terbuka.
“Tak perlu berterima kasih, Sumayyah. Itu tanggungjawab. Menyampaikan ilmu suatu kewajipan, apatah lagi ilmu agama,” ujar lelaki yang mengajarnya mata pelajaran Usul Fiqh 2 itu semasa ditemuinya seusai peperiksaan semalam.
“Saya akan kembali ke Malaysia minggu ini juga, Prof.”
“Begitu cepat? Maknanya kamu tidak akan menyertai majlis konvokesyen nanti?”
“Prof sendiri tidak menyertainya semasa beroleh ijazah pertama kan?”
Prof. Abu Harith terseringai. Memang kisah yang sudah berlalu beberapa dekad itu ada diceritakannya dalam kuliahnya yang terakhir. Menurutnya, dia tidak menyertai majlis konvokesyen itu lantaran ia diadakan pada waktu tengah hari santak ke asar hingga menyebabkan dia boleh terlepas solat zuhur.
“Prof doa-doakanlah saya.” Permintaan itu berbau desakan, namun diungkap dalam nada yang mesra. Ibarat seorang anak memohon restu daripada bapanya.
“Moga kamu benar-benar menjadi seorang muslimah seorang mukminah seorang mujahidah seorang muslihah dan seorang Sumayyah yang kuat mempertahankan akidah dan agamanya sebagaimana Sumayyah Ummu Ammar, isteri kepada Yasir.”
Dia terkedu beberapa ketika mendengar doa spontan ulama yang sangat disanjunginya. Keharuan melia di sanubari. Saat itu terasa ada titis panas yang mahu merempuh keluar dari pelupuk mata.
“Amiin. Terima kasih, Profesor. Terima kasih.”
“Dan moga kamu juga menemui jodoh yang berkat.”
Dia terkejut mendengar doa selanjutnya, tetapi segera mengaminkan dan memaniskan muka. “Insya Allah. Mudah-mudahan.”
Sumayyah terkelip-kelip memandang baris-baris ayat yang belum dibacanya sejak tadi. Mengingatkan doa dan pengharapan yang dirafakkan oleh Prof. Abu Harith mencetus pelbagai perasaan di jiwanya.
Seorang muslimah.
Seorang mukminah.
Seorang mujahidah.
Seorang muslihah.
Seorang Sumayyah.
Betapa besarnya doa dan harapan itu, begitu jugalah akbarnya peranan dan taklif yang terpikul di bahunya. Intuisinya menyedari, doa ulama itu bukan sekadar doa, tetapi terkandung di dalamnya cabaran yang maha agam buatnya.
Seorang muslimah bermakna dia perlu menjadi seorang wanita Islam yang benar-benar mengamalkan segala tuntutan agama sepertimana yang digariskan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Bukan hanya kalimah syahadah sebagai bukti keIslaman, malah menjadikan Islam sebagai cara hidup.
Seorang mukminah baginya bukan sekadar beriman kepada Allah, beriman kepada Malaikat, beriman kepada Rasul-rasul, beriman kepada Kitab-kitab, beriman kepada Hari Kiamat, dan beriman kepada Qada’ dan Qadar; bahkan melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Tegal hakikat iman yang sempurna itu adalah mengikrarkan dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota badan.
Seorang mujahidah menurut pemahamannya adalah seorang wanita yang berjihad dan bersungguh-sungguh dalam apa jua situasi demi memastikan Islam terus bernafas dan dipandang tinggi.
Seorang muslihah adalah seorang wanita yang berperanan melakukan tugas-tugas islah dan pembaikan ke atas kerosakan yang berlaku dalam umat dan masyarakat.
Seorang Sumayyah?
Masakan dia terlupa mengapa abah menamakannya dengan nama srikandi Islam zaman Rasulullah. Itulah nama ibu kepada Ammar bin Yasir yang menjadi wanita Islam pertama yang gugur sebagai syahid - demi mempertahankan iman dan akidah.
Amiin!
Itulah tugas yang perlu dilaksanakannya apabila pulang kelak. Sebagai muslimah, mukminah, mujahidah, muslihah, dan Sumayyah. Itulah dia. Itulah dirinya. Itulah peribadinya bila tiba di tanah air kelak.
Rasa cuak memang ada. Berbaur pula dengan rasa kurang yakin dan rendah diri. Namun sebagai graduan Timur Tengah, segalanya mesti dan pasti didepaninya.
Ah, Sumayyah boleh!
Pemandu ekspres Hijazi mahu memotong sebuah lori minyak, tetapi kedengaran bunyi hon dan kelihatan sebuah teksi datang dari arah depan. Pemandu terpaksa membatalkan niatnya lalu membrek sedikit dan mengekor semula di belakang lori minyak.
Sumayyah tidak jadi membaca. Pandangannya kembali keluar. Di luar, matahari bagaikan sedang menggigit semahu-mahunya segala makhluk yang melata. Pemandangan masih seperti tadi. Bukit-bukit renek yang terdiri daripada batu-batan pejal berdiri rapat di antara satu sama lain sepanjang jalan. Namun di sebalik batu-batan itu - tidak jauh di belakangnya - biasanya terdapat ladang tin dan zaitun atau perkampungan Arab.

2 komentar:

Anonymous said...

doakanlah sy supaya dikurniakan anak spt watak sumayyah dlm cerita ini...muslimah, mu'minah dan muslihah...

Zaid Akhtar said...

AMEEENNN!
insya ALLAH!