7/24/2006

Siri 40

DARI IRBID KE AMMAN

PERLAHAN-lahan dia menjawab salam. Segera menunduk kembali. Tidak semena-mena dadanya berdetak agak kencang. Entah mengapa.
“Sumayyah nak ke mana?”
“Amman.”
“Sorang saja? Mana teman-teman yang lain?”
Dia mengangguk.
“Mereka masih ada imtihan.”
“Sumayyah dah habis imtihan?”
“Alhamdulillah, semalam,” jawabnya. Pandangan sengaja disasarkan ke arah lain. Terasa dirinya kerdil bila berhadapan dengan anak muda yang selalu berkopiah ala kumpulan Raihan ini. Tetapi hari ini, nampaknya dia tidak memakainya.
Hendak ke mana? Dia ingin membalas bertanya, tetapi pertanyaan itu sekadar terluah di hati. Usah terlalu peramah hingga bertanya sampai ke situ!
Sumayyah menoleh ke kiri. Beberapa kanak-kanak peminta sedekah mengharap ihsan manusia yang lalu-lalang di kaki lima. Beg sandang kulitnya yang disangkutkan di bahu kiri dirangkul kemas.
“Ustaz Hakimi macam mana?”
“Nampaknya, alhamdulillah. Beransur pulih. Kenapa?”
“Takda apa. Bimbang juga tengokkan Hakimah tu. Selalu sangat risau selagi ustaz tak betul-betul sembuh.”
“Tak usahlah risaukan sangat tentang Kimi tu,” larang Naufal. “Tapi nak buat macam mana, agaknya dah jadi resmi orang bertunang kot – selalu teringat-ingat.”
Sumayyah yakin jika kalimat Naufal itu didengar oleh Hakimah, pastinya gadis itu akan menarik muka empat belas. Dia berpaling pula ke kanan. Dua pemandu teksi sedang bertengkar dalam bahasa pasar yang pekat kerana berebut penumpang.
“Jadi balik hari Khamis ni?”
“Insya Allah.” Dia sedikit terperanjat. Rasanya dia tidak pernah memberitahu lelaki ini. “Err, mana tau ana nak balik Khamis ni?”
“Dah lupa? Minggu lepas, Sumayyah juga yang beritahu ana masa di hospital.”
Sumayyah terpinga seketika. Bagaimana dia boleh terlupa? Barangkali dia terlalu banyak menelaah sepanjang seminggu lalu. Dia menggeleng dan tersipu sedikit mengenangkan kelemahan sendiri.
“Cepat benar lupa ya. Nampaknya dah tak sabar benar nak balik Malaysia,” sindir Naufal.
Sumayyah tergamam terus tanpa kata-kata.
Naufal tersenyum.
“Moga Ustazah Sumayyah akan menjadi mujahidah dan pendakwah yang berjaya,” tokok Naufal yang dirasakannya bagaikan sengaja menekankan sedikit kalimat “ustazah”.
Pelajar peringkat sarjana itu merapati penjual syawarma untuk mendapatkan roti gulung berintikan daging yang telah ditempahnya lebih awal. Kemudiannya tanpa berpaling atau mengungkap sepatah kata dia berlalu sebelum hilang di celah-celah orang ramai.
Bas ekspres Hijazi yang akan membawanya ke Amman membunyikan hon dan berhenti di depan terminal mengambil penumpang. Para penumpang berpusu-pusu bertumpu ke pintu bas yang sedia ternganga. Sumayyah membayar harga syawarmanya yang telah siap sebelum bergegas untuk beratur menaiki bas.
Tepat jam 10, ekspres Hijazi yang sarat penumpang menderu perlahan-lahan meninggalkan Terminal Bas Irbid. Dia duduk di bahagian tengah bas, di tepi tingkap di sebelah gadis tempatan yang begitu sopan bertudung dan mengenakan jubah Arab.
Pemandu bas memainkan lagu-lagu popular Kazem Sahir yang dinyanyikannya seratus-peratus dalam bahasa Arab yang fasih. Sumayyah tidak melepaskan peluangnya membuang pandangan keluar, menikmati panorama alam yang tidak akan dinikmatinya lagi pada minggu-minggu mendatang.
Enjin bas mengaum mendaki bukit sejurus melepasi mukim Al-Husn. Perjalanan dari Irbid ke Amman – sejauh lebih kurang 80 kilometer – biasanya menelan masa sejam. Dia tidak pasti, sudah berapa puluh kali dia ke Amman sepanjang empat tahun bermastautin di negara ini. Malah dia juga tidak menghitung berapa kali dia pernah ke Mafraq dan Mu’tah bagi menghadiri sebarang program persatuan atau menziarahi kawan-kawan yang belajar di Universiti Al al-Bayt dan Universiti Mu’tah. Yang dia ingat dia sempat tiga kali ke Laut Mati serta dua kali ke Petra dan pantai peranginan Aqabah di selatan Jordan.
Di tempat duduk sebelah sana, sepasang suami isteri sebaya dengan ibu bapanya berbual-bual dan sesekali ketawa bersama. Ya, sehari sebelum pulang, dia mesti menghubungi ibu bapanya di kampung untuk memberitahu mereka tentang jadual penerbangannya. Ah, kadang-kadang terasa tidak sabar pula untuk kembali ke pangkuan keluarga.
Tujuannya ke Amman hari ini pun adalah untuk membeli sedikit buah tangan buat ahli keluarga dan saudara-mara terdekat. Hari-hari seterusnya rasanya sudah tidak sempat. Banyak lagi perkara yang mesti diuruskan dan diselesaikan. Banyak juga teman yang perlu diziarahi sepanjang tiga hari yang masih berbaki sebelum berangkat pulang.
Sejak musim peperiksaan hampir bermula, dia agak kurang berziarah – terutama ke rumah pelajar-pelajar junior dan pelajar perubatan Universiti Sains & Teknologi Jordan. Sedangkan itulah amalan yang banyak membenihkan ukhuwah dan mengeratkan silaturahimnya dengan mereka selama ini. Itulah amalan yang amat ditekankan oleh Kak Syarifah Halizah semasa dia di tahun satu dulu.
Dia insaf dengan kesilapan dan kelemahan dirinya. Namun dia berazam untuk cuba menziarahi atau paling tidak menemui kesemua siswi Malaysia di Irbid dalam masa beberapa hari ini.

0 komentar: