7/05/2006

Siri 39


MASIH ADA PERTEMUAN

PAGI Ahad. Langit cerah membiru. Tiada langsung kenampakan tompok-tompok awan hujan yang menunggu masanya untuk mencurah. Irbid tenang bagai selalu. Moga ketenangan juga terus lestari di jiwanya.
Sumayyah menunduk semula setelah puas mendongak ke langit. Ucapan tahmid dan syukur tidak putus-putus keluar dari bibirnya sejak pulang dari berjuang menghadapi kertas akhir subjek Madkhal ila Ilm Tarbiyyah semalam.
Sesekali dia terasa ingin melonjak-lonjak ke udara lantaran terlalu gembira. Segala beban yang bagaikan terpikul di pundaknya selama ini sudah dilepaskan. Walaupun natijahnya belum pasti, namun dia yakin, untuk lulus tidak menjadi masalah.
Bab Gharbiy Universiti Yarmouk di seberang sana kelihatan agak lengang. Begitu juga pondok menunggu kenderaan awam tempat dia berdiri. Sumayyah menoleh ke kiri. Coaster yang dinanti tidak kunjung tiba. Sudah hampir sepuluh minit dia menunggu di situ.
Dia mahu ke Amman hari ini. Jam di tangan kanannya menunjukkan pukul 9.15 pagi. Pasti pada waktu begini, Fatihah dan Hakimah sedang bertungkus-lumus menjawab soalan-soalan peperiksaan. Kedua-duanya mengambil enam mata pelajaran pada semester ini. Sebaliknya dia hanya perlu menghabiskan baki empat mata pelajaran dari keseluruhan 44 mata pelajaran yang diwajibkan untuk meraih ijazah sarjana muda.
“Mabruk muqaddam daripada aku, Mai.”
Hakimah mendakapnya sejurus pulang dari imtihan terakhirnya semalam.
Dia tersenyum manis. Menatap wajah sahabatnya yang sering mendamaikan.
“Syukran. Allah yubarik fiki,” balasnya. “Kau juga Kim. Tahniah juga sebab dengarnya Ustaz Hakimi dah kembali sihat. Bolehlah tetapkan tarikh nak kahwin.”
Hakimah terseringai sebelum tergelak.
“Okey. Jangan lupa, aku mau kau jadi pengapit aku nanti.”
“No problem.”
Dua buah coaster datang dari arah Dawwar Jami’ah. Wajah safi Hakimah mati andar. Coaster yang pertama – tertulis Eidun pada cermin depannya – dibiarkan berlalu. Dia menahan coaster kedua yang akan membawanya ke Terminal Bas Irbid atau lebih dikenali sebagai Hentian Amman oleh warga tempatan.
Sedang coaster bergerak, Sumayyah lebih enak menikmati pemandangan di luar. Dia sedar, peluangnya untuk menikmati suasana sebegini kian menyempit. Tinggal beberapa hari lagi semuanya akan berakhir menjadi kenangan. Semalam, Rahiman telah berjanji akan menyerahkan tiket yang ditempahnya lebih sebulan lalu pada petang esok. Justeru, andai tiada aral melintang, Khamis ini dia akan meninggalkan negara ini. Dan bandar Irbid serta Universiti Yarmouk ini akan menjadi satu nostalgia baginya.
Apabila tiba di simpang empat Dawwar Nasiem, coaster terpaksa berhenti tegal lampu isyarat kuning sudah bertukar merah. Pandangan Sumayyah melesat ke arah pondok menunggu kenderaan awam yang dibina di sebelah kiri jalan. Dia lekas tersenyum sendiri dan menggeleng. Pada satu malam kira-kira tiga minggu yang lalu, ada kenangan telah tercatat di situ.
Kurang sepuluh minit, kenderaan awam itu tiba di terminal bas yang dikatakan kedua terbesar di Jordan selepas Terminal Bas Abdali di Amman. Sumayyah turun dan menuju ke kaunter tiket Syarikat Bas Hijazi yang terletak di tingkat bawah terminal. Pada musim panas begini, dia lebih selesa memilih bas ekspres untuk pergi ke ibu kota itu berbanding dengan menaiki teksi dan coaster. Orang tidak terlalu ramai beratur di kaunter.
Setelah beroleh tiket yang berharga satu dinar – sementara menanti perjalanannya ke Amman tepat jam 10 pagi – dia berlegar-legar di bazar yang menjual pelbagai akhabar, majalah, makanan dan kraftangan. Dia hanya membeli majalah al-Mujtama’ edisi terbaru.
Kemudian dia sengaja menyusuri kaki lima di sekeliling terminal. Meninjau-ninjau dari jauh hentian bas dan coaster menuju ke Mafraq, Zarqa’ dan Amman. Sesak. Kadangkala terasa geli hati juga melihatkan pemuda-pemuda Arab berebut-rebut dan berasak-asak untuk memasuki coaster. Pelbagai ragam. Ada yang sibuk bertekak dengan konduktor; ada yang sengaja tanpa rasa bersalah memotong barisan; dan ada juga yang begitu bermurah hati memberi laluan ‘istimewa’ kepada wanita. Namun yang paling melucukan apabila melihat ada yang masuk melalui tingkap
Teruja dengan bau daging bakar yang begitu menyelerakan, dia menempah syawarma yang dijual di kaki lima berhampiran pintu masuk terminal. Sementara menanti kebab Arab yang ditempahnya siap, dia leka mencicipi fokus majalah mingguan terkemuka itu yang menyentuh tentang ura-ura Amerika Syarikat mahu menyerang Iran yang didakwanya memiliki senjata nuklear.
“Assalamualaikum.”
Barangkali Presiden George Bush sudah tidak ada agenda lain kecuali mahu mengganyang negara-negara Islam. Seperti Iraq, Iran juga belum terbukti memiliki senjata berbahaya itu. Namun begitulah selalunya, Polis Dunia yang angkuh itu sentiasa mendahului pasukan pemantau senjata nukelar yang dilantik oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Ah, ini semua tipu daya Yahudi! Desis hati Sumayyah.
“Assalamualaikum.”
Sumayyah menoleh ke kiri dan ke kanan. Tiada. Tetapi deria dengarnya menangkap suara orang memberi salam. Lalu dia berpaling ke belakang dan mendongak. Darahnya berderau melihat tampang yang berada di hadapannya.
Naufal!

mabruk muqaddam – tahniah lebih awal
syukran – terima kasih
Allah yubarik fik – moga Allah memberkati kamu

2 komentar:

KAMATO said...

Tahniah saudara, teruskan menulis

Zaid Akhtar said...

terima kasih. insya Allah
;-)