JENDELA BERLANGSIR UNGU
BAYU malam menggomol-gomol langsir jendelanya yang berwarna ungu sebelum menerjah pipinya. Sumayyah membiarkan sahaja. Lenguh terasa di mana-mana. Lalu dia bingkas dari kerusi, meninggalkan meja tulisnya dan duduk berlunjur di atas katil.
Sambil melunjurkan kedua-dua kaki, tubuhnya disandarkan ke bantal yang didirikan dan diletakkan di kepala katil. Muqarrar Usul Fiqh 2 yang tidak henti-henti ditatap sejak tadi dibiarkan di atas riba.
Pagi esok jadualnya. Ngeri juga untuk menghadapi kertas yang satu ini. Dia pernah mengambil subjek yang diajar oleh Prof. Abu Harith itu tahun lepas, tetapi malangnya dia gagal hadir peperiksaan akhir akibat diserang demam panas. Justeru, dia terpaksa mengulang buat kali kedua.
Sumayyah mengerling ke arah jam dinding kamarnya. Rasanya sudah lebih tiga jam dia menelaah pelajaran. Selepas makan malam sekitar sejam sebelum maghrib tadi dan seusai mandi, dia masuk ke bilik dan tidak keluar-keluar dari kamarnya. Hakimah barangkali sepertinya – berkurung di dalam kamar. Fatihah yang keluar sebentar katanya mahu menziarahi Masnida juga mungkin sudah pulang.
Apa ceritanya?
Ya, bagaimana agaknya keadaan Masnida? Sudah semakin pulihkah, stabil, atau rasukan itu datang semula?
Moga Nida cekal dan sabar, Sumayyah berdoa dalam hati. Terbayang-bayang di matanya wajah tidak bermaya Masnida yang benar-benar diuji keimanannya semalam. Lesu dan tidak terurus.
Ya Allah, berikan gadis itu kekuatan dan ketabahan!
“Wa la ya’uduhu hifzuhuma …”
Matanya terpejam.
“Wa la ya’uduhu hifzuhuma … wa hua … wahual ‘aliyyul ‘azim.”
Dia mengulang dua baris terakhir Ayatul Kursi itu. Tubuh Masnida terus bergetar dan seperti makin bertenaga. Peluhnya mula merenik. Dan dia terasa bacaan yang diulangnya beberapa kali semacam tersekat-sekat.
Allahu Akbar!
Dia mencuba lagi. Bacaan dua baris terakhir itu masih belum sempurna. Begitu sukar, tidak lancar bagai biasa.
Zawani, Afiqah, Naqiah dan Halimaton diminta oleh Hakimah membaca surah al-Baqarah dan surah Ali Imran. Marianis dan Raihanah pula berada di sisinya menanti sebarang kemungkinan. Dia terkelip-kelip.
Intuisinya memberitahu, dia sekarang bukan sekadar berhadapan dengan jasad Masnida yang longlai. Macam, macam ada makhluk lain. Secebis pengalamannya juga mengajar, Masnida yang tampak lembik kepenatan boleh tiba-tiba sahaja bertukar menjadi perkasa, sangat agresif dan memudaratkan dirinya.
Ah, ini kerja syaitan!
Sekali lagi matanya berbalas pandang dengan mata Hakimah. Namun hati masing-masing sebenarnya saling berbicara. Rasa teragak-agak mula menyelinap perlahan-lahan. Ini kerja besar. Memulihkan pesakit yang dirasuk jin dan syaitan bukan kerja main-main. Ini juga kerja sukar dan berbahaya sekiranya mangsa bukan sekadar dirasuk tetapi sebenarnya telah disihir!
Mampukah aku?
Pengalaman tidak seberapa, usah cari nahas!
Tapi, aku tak tergamak melihat Nida terus-terusan begini. Sekarang musim imtihan. Biarlah dia segera pulih. Apa salahnya aku berikhtiar?
Kau sendiri akan menghadapi imtihan. Entah-entah ini sihir. Bagaimana jika kau pula dirasuk sama?
Insya Allah, Tuhan lindungi aku.
Ini kerja orang lelaki, baik kau jangan teruskan!
Dia menggeleng. Situasi ini perlu ditangani sebaik mungkin. Dia cukup bimbang, jika Masnida berterusan begini; tidak mustahil jeritan histerikalnya mampu menjangkiti teman-temannya yang lemah semangat. Kes demikian sudah banyak terjadi.
Tetapi dengan pengalamannya yang tidak seberapa, bagaimana harus dihadapi makhluk-makhluk Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan tidak diketahui kekuatannya?
Bunyi loceng mengejutkan mereka. Zawani berlari ke ruang tamu untuk membuka pintu. Kemudian gadis itu muncul semula dengan wajah sedikit lega.
“Ustaz Fakhrurrazi dan Kak Fakhriah dah sampai!”
Masing-masing menghela nafas lega. Lantas penasihat PERMAYA itu mengambil tugas memulihkan Masnida sambil dibantu oleh isterinya.
“Sejak bila dia murung dan cakap sorang-sorang?”
Sebelum pulang menjelang Maghrib, dia sempat bertanya kepada Zawani dan Naqiah bagaimana keadaan Masnida sebelum itu.
“Petang Ahad malam Isnin, kalau tak silaplah. Hari Isnin tu, katanya dia tak jawab apa-apa masa imtihan. Blank.”
“Mengapa tak beritahu kami awal-awal?”
“Tapi lepas tu nampak okey balik. Cuma lepas Asar tadi dia selalu pandang-pandang keluar. Katanya ada ‘benda’ sedang perhatikan dia,” jelas Naqiah yang tinggal sebilik dengan Masnida.
“Nida juga ada beritahu, keluarganya baru menolak pinangan seorang pemuda di kampungnya.” Zawani pula menambah.
Kata-kata itu membuat dia terdiam.
Sumayyah mencapai semula muqarrar Usul Fiqh 2 yang hampir melorot ke tilam. Membetulkan duduknya. Tekak terasa kering. Dia mendengar bunyi air mendesar di dalam sinki, disusuli suara gadis menyanyikan lirik-lirik nasyid yang tidak dapat dipastikan judulnya. Tentu Fatihah berada di dapur.
Lantas Sumayyah segera bangkit dari katil, mendekati meja tulisnya dan meletakkan muqarrarnya di situ. Dia mesti menemui Fatihah, bertanya perkembangan terbaru Masnida. Kemudian menapak ke pintu. Tiba-tiba angin dari luar menderu agak kuat daripada biasa, merempuh langsir ungunya dan menyeluruh di segenap kamar.
Foto berbingkai yang diletakkan di atas meja tulisnya terlangkup. Sumayyah tidak jadi membuka pintu, lalu kembali ke meja. Gambar abah dan umi yang dibingkaikannya masih selamat. Tetapi kaca pada bingkai gambar bersaiz 3R itu retak.
Membuat keputusan
4 years ago
0 komentar:
Post a Comment