6/06/2006

Siri 37


RAHSIA AYATUL KURSI


“ALHAMDULILLAH. Panjang umur kau, Sumayyah!”
Dia tidak jadi meneruskan langkah ke rumah jiran terdekat mereka, sebaliknya menghampiri kedua-duanya. Ucapan salam bertukar.
“Apa halnya?”
Hatinya berasa kurang enak. Menatap wajah Marianis dan Raihanah yang agak cemas, dia mula memikirkan yang bukan-bukan. Beberapa hari lalu merekalah yang membawa khabar buruk tentang Ustaz Hakimi.
Apalagi berita tidak gembira yang bakal didengar? Siapa pula yang kemalangan?
“Kenapa Anis?” Hakimah barangkali turut berasa bimbang. Tangannya memegang segugus kunci, memasukkan salah satu daripadanya ke dalam lubang, memulas ke kanan lalu pintu Bait Fatimah az-Zahra’ terbuka.
“Aku nak ajak ke rumah Masnida sekarang. Zawani telefon aku, minta kita datang segera.”
“Kenapa dengan mereka?”
“Mas … Masnida. Dia, dia macam kena histeria!”
Sumayyah menyeluruhi wajah Marianis. Tetapi ingatannya berlari mencari wajah Masnida yang berkulit sawo matang, berkaca mata dan ada tahi lalat kembar di tepi kening kanannya. Yang paling dia ingat, mata gadis pendiam itu akan tertutup kala tertawa.
“Bila?”
“Baru … baru sekejap tadi Zawani telefon.”
Sumayyah mengelih jam tangan di tangan kanannya. Waktu Asar berbaki satu jam. Memandang semula wajah Marianis dan Raihanah yang sedikit berkeringat.
“Jomlah kita pergi sekarang. Tengok dulu keadaannya macam mana. Kami tak ada pengalaman dalam bab-bab segini,” ajak Marianis, sungguh-sungguh.
“Dah panggil Ustaz Fakhrurrazi ke?”
“Aku dah telefon Kak Fakhriah tadi. Katanya ustaz belum pulang dari Amman. Marilah kita kena tengok dulu bagaimana keadaan budak tu.”
Sumayyah memandang Hakimah. Mengharap gadis hafizah itu agar turut serta. Hakimah mengangguk. Tidak jadi melangkah ke dalam, lalu pintu ditutup semula.
Mereka berempat melangkah pantas menyusuri Jalan Baidha’. Rumah Masnida yang terletak di penghujung jalan itu – lebih kurang 30 meter dari simpang tiga ke Jalan Hayyu Janubiy – agak jauh berbanding rumah-rumah pelajar Malaysia yang lain. Seingatnya Masnida tinggal berlima.
Sebuah lori pengangkut pasir menderu dari arah belakang. Asap hitam lori itu berkepul-kepul keluar dari ekzosnya apabila melepasi mereka. Masing-masing menutup hidung. Geram. Rasa ingin menyeranah pun ada. Tetapi Sumayyah lekas membendung rasa marah itu. Beristighfar beberapa kali.
Sambil melangkah, ingatannya menghimpun wajah Masnida. Apakah sebenarnya yang melandanya? Adaptasi kecelaruan emosi dan fikiran atau gangguan makhluk halus?
Hatinya berdoa, moga keadaan gadis itu tidak terlalu teruk. Sekarang musim peperiksaan. Alangkah malangnya jika tumpuan siswi tahun dua itu terjejas disebabkan perkara-perkara sebegini.
Lalu dia mulai membaca Ummul Kitab secara perlahan-lahan sebelum diikuti Ayatul Kursi. Sebelum menghadapi sebarang kemungkinan, sewajarnya dia bersiaga terlebih dahulu. Pengalaman beberapa kali berhadapan dengan situasi seperti ini mengajarnya betapa perlunya pendinding penahan diri selain keyakinan yang tepu dan keikhlasan hati untuk membantu. Bibir Hakimah juga dilihatnya terkumat-kamit.
Tiba di rumah Masnida, Zawani sudah menanti di muka pintu. Kedengaran bacaan ayat-ayat terakhir surah al-Hasyr dan Ayatul Kursi memenuhi rumah.
“Syukurlah akak dah datang. Kami takut, kak,” luah Zawani, ketara agak kepenatan. Nada cemasnya masih bersisa. “Tolonglah tengokkan Nida tu.”
“Bagaimana keadaan Nida?” Marianis gesit bertanya.
“Alhamdulillah, dah senyap sekejap. Dia dah letih agaknya.”
“Dia baring, kak. Tadi dia memekik, melolong dan meracau yang bukan-bukan. Kelam-kabut kami dibuatnya,” celah Afiqah, seorang lagi teman serumah Masnida yang baru muncul. Riak panik jelas terbayang di wajahnya.
“Dia meronta-ronta juga tadi. Macam ketakutan. Dia nak lari. Katanya nampak ‘sesuatu’ di tingkap. Kami terpaksa pegang dia ramai-ramai.”
“Apa cerita sebenarnya, Wani, Fiqa?” soal Raihanah pula. “Cuba beritahu kakak; bila dia kena, apa puncanya?”
Sumayyah dan Hakimah kurang berminat untuk mendengar sebab-musababnya terlebih dahulu. Tujuan mereka menziarahi dan membantu jika perlu. Mereka berdua melangkah ke dalam bilik Masnida. Marianis mengekor di belakang.
Masnida terbaring lemah di atas katil. Matanya terpejam. Dadanya berombak kecang. Di sisinya, Naqiah dan Halimaton tidak putus-putus membaca ayat-ayat suci al-Quran. Kedua-duanya kelihatan takut-takut, namun dibulatkan hati untuk membantu teman yang ditimpa musibah. Melihatkan kedatangan mereka bertiga, kedua-duanya bangun memberi ruang.
“Dia tak tidur, kak. Kami risau, dia akan meracau dan meronta semula macam tadi.” Naqiah berbisik di telinga Sumayyah, tetapi masih dapat didengar oleh Hakimah dan Marianis.
Sumayyah angguk. Pandangannya tajam menyorot ke arah tingkap berlangsir jingga yang sedikit terkuak. Pawana petang sesekali menerobos masuk dan menggoyangkan langsir. Dia duduk di sisi Masnida manakala Hakimah duduk di hujung kaki Masnida.
Sambil membaca al-Fatihah, dia merasa dahi gadis itu. Dedar. Kemudian pergelangan tangan kanan dicapai, mencari nadi. Agak laju. Mata Masnida terbuka dan tertutup semula. Telapak tangan Sumayyah kembali mencecah dahi gadis itu. Perasaan khauf memang ada, tetapi pesanan abah cekatan menyerbu ingatan: Untuk membantu mesti berani. Tawakal dan ikhlaskan hati!
Lantas dia membaca Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah sebelum dihembus ke telinga Masnida. Dan disusuli Ayatul Kursi yang dibaca dengan sembilan kali wakaf. Kala itu hatinya cukup yakin dengan hadis daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: Dalam surah al-Baqarah ada satu ayat, penghulu ayat-ayat al-Quran.Tidak dibaca dalam sebuah rumah yang ada di dalamnya syaitan kecuali ia keluar darinya – iaitu Ayatul Kursi.
Apabila dia tiba di wakaf ketujuh, mata Masnida terbuka dan menyorot tajam ke siling. Dahi gadis itu mula berkeringat. Sumayyah meneruskan bacaannya yang berbaki dua wakaf. Tubuh Masnida mula menggigil-gigil. Dadanya berombak kencang. Seperti ada tenaga baru menyelinap perlahan-lahan di segenap jasadnya.
Sumayyah dan Hakimah saling berpandangan. Sumayyah mengulang-ngulang dua penggalan terakhir Ayatul Kursi. Dia sedar, ada sesuatu yang ghaib sedang dihadapinya. Dadanya sendiri mula berdebar-debar. Namun dia lebih yakin dan percaya, Allah Maha Besar!
Dia mengulangi lagi dua wakaf kelapan dan kesembilan tadi. Tubuh Masnida makin bergetar. Teman-temannya kembali cemas. Muka Sumayyah lencun keringat. Matanya dipejamkan.
Tuhan, berikan kami kekuatan!

0 komentar: