BADAI BUDAYA KUNING
TEKSI berwarna kuning bergerak perlahan-lahan meninggalkan pekarangan Hospital Ibni Nafis. Ia berhenti di simpang tiga selepas melepasi pos pengawal, kemudian membelok ke kiri. Menuju ke Dawwar Nasiem.
Sumayyah mengerling gadis di sebelahnya. Ada tanda-tanda keriangan pada wajah Hakimah. Riak-riak geresah dan guram yang sejak dua tiga hari ini menyelubunginya bagai sudah berlalu pergi.
“Insya Allah, doktor benarkan ana keluar esok.” Begitu kata-kata Ustaz Hakimi sejurus tadi semasa mereka menziarahinya di wad. Dan pastinya, itulah punca keceriaan wajah rafiknya itu.
“Esok nak datang ziarah lagi?” Sumayyah sengaja mengisi ruang sepi di antara mereka.
“Nak lawat siapa pula? Kan abang Hakimi keluar esok.”
“Manalah tau … ada orang nak ziarah sahibus samahah di rumahnya pula.”
“Mai, kau melampau!” marah Hakimah seraya mengutis lengan Sumayyah. “Takkanlah kita nak masuk ke rumah mereka pula.”
Hakimah tersenyum memanjang. Dan Sumayyah tahu, hati gadis hafizah itu melonjak ria.
Siapalah yang tidak gembira jika orang yang dikasihi sepenuh hati kembali pulih, fikir Sumayyah. Inikan pula tunang tercinta!
Syukurlah, ustaz sudah kembali sihat walaupun tangannya masih bersimen. Tetapi dia tidak bimbang dengan kesihatan lelaki itu – sebulan dua lagi ghalibnya akan pulih bagai sedia kala. Yang membimbangkannya adalah Hakimah yang bakal bergelar graduan selepas semester musim panas nanti. Tentu tumpuannya terhadap peperiksaan terganggu dengan kecelakaan yang menimpa Ustaz Hakimi. Harapnya tidak.
Semasa menanti keputusan STPM, dia masih ingat, hatinya juga kepalang risau apabila Afnan terlibat dalam satu kemalangan motosikal. Hampir setiap hari selama seminggu dia menjadi pengunjung tetap Hospital Batu Bahat bagi menziarahi Afnan yang patah tangan kanannya. Dan hampir setiap anggota keluarga lelaki itu mula mengenalinya.
Argh, kenangan itu pula yang menjengah!
Dia membuang pandangan ke sebelah kiri. Ada papan tanda besar memuatkan gambar dua buah Perodua Kancil di tepi simpang. Terasa bangga juga sebagai rakyat Malaysia melihatkan jenama kereta nasional dipasarkan hingga ke sini.
Di sebelah kanan gagah berdiri Stadium Irbid. Tidak berapa jauh di hadapan, pintu masuk jihat selatan Universiti Yarmouk atau lebih dikenali sebagai Bab Janubiy bersetentang dengan Galeri Layaliyna. Beberapa pelajar tempatan yang barangkali baru selesai meladeni soalan-soalan peperiksaan pada sebelah petang kelihatan menanti coaster di pondok menunggu kenderaan awam berhampiran.
Baru pagi tadi dia melepasi halangan kedua untuk bergelar graduan dalam peperiksaan akhir yang menentukan masa hadapannya ini. Kertas Sirah Nabawiyyah berjaya dilalui dengan yakin dan tenang. Esok tiada peperiksaan. Namun lusa, hari Khamis, dia akan diuji pula dengan kertas Usul Fiqh 2 yang telah terbukti sangat mencabar.
Ya Allah, moga kaupermudahkan!
Hajat di hati ingin mengulangkaji pada petang-petang begini, tetapi apabila Hakimah mengajak menemaninya ke hospital, dia tidak tergamak menolak. Ditambah pula, Fatihah yang menemani Hakimah petang semalam akan menghadapi peperiksaan pagi esok. Jadi kali ini giliran dia. Mahu tak mahu, hati sahabat mesti dijaga. Hari ini hari dia, esok lusa barangkali sebaliknya.
Alang-alang sudah keluar, sesampainya di rumah nanti, dia mahu menjenguk rumah jirannya. Walaupun masing-masing dilanda demam peperiksaan, hak jiran tetangga tidak wajar diabaikan. Lebih-lebih lagi bila mengingatkan luahan Muna semalam.
“Entahlah. Susah nak cakap.”
“Susah macam mana?” Fatihah buat-buat tidak faham. Sebetulnya ingin mengorek lebih dalam.
“Pahit macam mana sekali pun, mesti diluahkan. Manalah tau, kami dapat membantu apa yang mampu.” Dia memujuk.
“Bagaimana Yusra sebenarnya?”
“Hubungan mereka dah semakin jauh. Sukar dipisahkan lagi. Mereka … mereka dah macam suami isteri.”
Dia dan Fatihah terselingar.
Teksi berhenti di persimpangan Dawwar Nasiem apabila lampu merah bernyala. Kenderaan dari arah Dawwar Jami’ah mengambil giliran bergerak menuju ke Eidun dan Hayyu Janubiy.
Kadangkala sukar untuk percaya dengan perubahan Yusra. Selama hampir tiga tahun dia mengenalinya, tidak pernah tersangka gadis jelita itu akan tersasar nanar begitu jauh. Mahu bercinta, silakan – tiada siapa melarang. Tetapi mengapa harus sampai melarat ke bilik bagai suami isteri? Budaya mana yang diangkutnya hingga menghalalkan bersekedudukan dengan teman lelaki?
Ini masalah remaja di negara orang, di negaraku sendiri bagaimana?
Sekali-sekala rasa cuak untuk pulang ke tanah air menghujaninya. Bagaimana akan kuhadapi nanti badai budaya kuning yang sentiasa mengepung dan melanda di setiap penjuru?
Lampu isyarat bertukar rona. Teksi meluncur laju menghala ke Dawwar Jami’ah. Kenderaan tidak begitu banyak di jalan raya. Setelah membuat satu pusingan di bulatan Dawwar Jami’ah, Mercedes model lama itu kembali ke hadapan Bab Gharbiy sebelum membelok ke kanan. Tidak sampai tiga minit, mereka tiba di hadapan bangunan empat tingkat Abu Syauqi. Mereka keluar dari perut teksi. Hakimah membayar tambang setengah dinar sebelum mereka sama-sama mendaki ke aras dua. Namun hasratnya untuk menziarahi Wafa’ dan Muna terbantut melihatkan Marianis dan Raihanah berdiri di hadapan pintu Bait Fatimah az-Zahra’
Membuat keputusan
4 years ago
0 komentar:
Post a Comment