BUKAN WARKAH DARI KAHERAH
KERTAS Nizam Hukum usai.
“Macam mana … boleh buat?” Itu soalan yang pertama keluar dari mulut Fatihah sebaik sahaja mereka melangkah meninggalkan Dewan 121.
“Alhamdulillah. Kau?”
Fatihah tersenyum. Pandangannya mengekori langkah pantas Dr. Ahmad Miqdad yang menjinjit kertas-kertas jawapan mereka sebentar tadi.
“Rasanya tak ada masalah.”
Sumayyah bersyukur. Lega. Ujian pertama berjaya dilaluinya dengan tenang dan yakin. Tidak tahulah natijahnya nanti bagaimana. Tetapi dengan jawapannya yang meyakinkan tadi, dia kekal optimis. Namun di sudut hatinya, ada sesuatu yang lebih mengganggu.
“Aku lebih risaukan Kim sebenarnya,” luah Sumayyah. “Kalau tak silap aku, jam 10 sekejap lagi, dia ada kertas Usul Fiqh 3.”
“Jangan bimbang. Kim tu imannya kuat. Tumpuannya tak terjejas. Lagipun Sahibus samahahnya selamat.” Fatihah menghembus keyakinan.
“Harapnya begitulah. Tapi aku nampak, Kim tu risau sangat semalam bila doktor sahkan tulang ustaz retak.”
“Mau tak risau. Dah dua puluh lima tahun menanti, dah berjanji sehidup semati. Kalau jadi apa-apa, terpaksa pula ditunda walimah bulan sembilan nanti,” tutur Fatihah. “Hisy, kalau akulah, rasanya sebulan tak lalu makan.”
Sumayyah menahan gelak. Nada simpati Fatihah kadangkala mengandungi jenaka bersahaja. Kalaulah didengar oleh Hakimah!
Tatkala menuruni tangga setelah melewati ruang legar, mereka berpapasan dengan Lutfi dan Asyraf yang tampak serius dan tidak bercakap. Barangkali kedua-duanya bakal menduduki peperiksaan pada jam 10 nanti.
“Serius saja si Lutfi tu. Dia marah kau ke?” Sumayyah berbisik, sengaja mengusik. “Kalian bergaduh ya?”
“Mai, apa kena engkau ni?” rungut Fatihah perlahan. Hairan tiba-tiba digiat begitu. Wajah cerahnya memerah.
“Marah tandanya suka.”
Fatihah menarik muka empat belas. “Buang tabiat agaknya kau ni.”
Sumayyah tersengih. Terasa seronok sesekali dapat mengenakan Fatihah.
Mereka menuju ke Bab Gharbiy untuk terus kembali ke rumah. Esok masih ada peperiksaan yang menuntut persediaan. Tetapi apabila tiba di simpang empat yang terletak betul-betul di hadapan pintu hadapan pintu masuk jihat barat – di antara Kulliyyah Iktisad dan Bangunan Hal Ehwal Pelajar – Fatihah mahu singgah di pejabat pos. Sumayyah menurut sahaja.
Tiba di pintu masuk bangunan tiga tingkat itu, pandangan masing-masing menjunam ke lantai. Setiap inci lantai pintu selebar empat meter itu dipenuhi kertas manila yang dilekatkan di atasnya gambar bendera negara haram Israel. Bintang berbucu enam berwarna biru kebanggaan Yahudi menjadi sasaran tapak kasut setiap warga Yarmouk yang masuk ke sini.
Sumayyah tersenyum sendiri. Sementara Fatihah mengintai surat di peti pos, dia memerhatikan setiap orang yang memasuki bangunan – tiada seorang pun yang tidak memijak gambar bendera biru-putih itu.
Pastinya ini kerja Ittihad Islamiy yang menguasai Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Yarmouk dalam pilihanraya kampus semester lepas. Saban bulan, gambar bendera Amerika Syarikat, Britain dan Israel bersilih ganti menjadi bahan anak muda meluahkan protes. Kadangkala wajah George Bush, Colin Powell, Tony Blair dan Ariel Sharon turut menjadi mangsa.
Semangat mahasiswa memang bagus, desisnya. Tetapi kontras sekali dengan para pemimpinnya. Setahunya, tiada negara Arab yang memutuskan hubungan dengan negara Uncle Sam bila Iraq diceroboh. Masing-masing terlalu pengecut dan menjaga kepentingan!
Ke mana perginya semangat asabiyah Arab yang diwarisi sejak zaman berzaman? Jika mereka tidak mahu mempertahankan Iraq dan Palestin daripada serangan kuffar atas dasar agama, tidak mengapa; sekurang-kurangnya mereka cuba membela nasib kedua-duanya atas dasar perkauman. Malangnya langsung tidak ada.
“Kau tengok siapa?”
Sumayyah terkedik. Fatihah sudah tercegat sambil tersengih di sisinya.
“Jangan direnung sangat budak-budak Arab. Karang tak ingat jawapan masa imtihan esok.”
“Ada surat kau?”
Geleng. Bibirnya dijebikkan. Tangan kanannya mengunjukkan sekeping surat.
“Surat kau, Mai.” Fatihah berbisik. “Dari Kaherah kot.”
Sumayyah terkesima. Berdebar-debar. Gesit matanya meneliti setem dan cop di bucu surat. Bukan. Bukan dari Mesir!
“Sampai hati kau, Teh. Melampau betul!” Sumayyah hampir mahu terjerit lantas mencubit rusuk sahabatnya. “Kau sengaja. Kan aku kata, jangan sebut-sebut lagi.”
Fatihah tidak berjaya mengelak lalu tertawa kecil.
“Aku gurau saja. Itulah siapa suruh kaukenakan aku tadi. Hmm, daripada siapa?”
“Daripada abah rasanya,” jelas Sumayyah, sedikit kurang percaya.
Dia cam tulisan abah meski sudah lama tidak menatapnya. Biasanya umi yang menulis surat, tugas abah sekadar mengeposkan kepadanya. Tetapi berlainan sungguh kali ini. Barangkali umi tidak sihat, dia meneka.
Mereka menuju ke pintu, sama-sama memijak gambar bendera Israel di lantai sebelum menyusuri dataran bangunan yang tidak putus-putus dikunjungi pelajar.
Apa pula cerita abah? Kenapa abah pula yang menulisnya? Itu yang bermain di mindanya sambil kaki melangkah. Pada minggu-minggu terakhir di sini, dia benar-benar tidak menyangka akan menerima lagi warkah daripada orang tuanya. Melihatkan cop tarikh, dia tahu surat itu dikirimkan sepuluh hari yang lalu.
Tiba di kamar, Sumayyah lekas menyiat penjuru surat untuk mengeluarkan isinya. Rasa tidak sabar pula untuk membaca tulisan abah, walhal baru beberapa hari lepas dia bercakap dengannya.
Wajah orang tuanya lekas menerpa.
Membuat keputusan
4 years ago
0 komentar:
Post a Comment