DOA MOGA ISTIQAMAH
SUASANA di hadapan wad agak bising tatkala mereka tiba di situ. Begitu ramai pengunjung. Barangkali kebanyakannya ahli keluarga mangsa kemalangan, hatinya meneka. Di satu sudut, bunyi esakan dan ratapan saling berbaur. Barangkali juga ada kematian.
Kelihatan Baihaqi dan Asyraf sedang berbual-bual berhampiran pintu wad. Presiden PERMAYA itu tampak seperti selalu – tenang dan mewah senyuman. Wajah Asyraf pula tidak menzahirkan apa-apa reaksi.
“Sebelah kiri, katil nombor lima.” Baihaqi terlebih dulu memberitahu sebelum ditanya.
Sumayyah dan Fatihah memimpin Hakimah masuk ke Wad Wahid. Sementara Marianis dan Raihanah berbual seketika dengan Baihaqi dan Asyraf di pintu wad. Langkah Hakimah makin pantas. Kedua-dua sahabatnya terus mengiringi. Mereka menghala ke sebelah kiri. Bau ubat makin menyengat.
Dari jauh sudah nampak Lutfi, Rahiman dan Marzuki berdiri mengelilingi sebuah katil. Mereka lalu menghampiri. Di atas katil, terbaring sekujur tubuh lelaki dengan dahi berbalut. Matanya tertutup rapat, tetapi masih bernyawa.
Ustaz Hakimi! Masing-masing menghembus nafas lega. Keadaan Ustaz Hakimi nampaknya tidak terlalu teruk. Tiga pemuda yang berada di sisinya segera memberi ruang kepada Hakimah merapati.
Hakimah tidak bersuara. Mulutnya yang masih terkumat-kamit mendoakan kesejahteraan lelaki pujaan yang masih separuh sedar di depannya. Ada sesuatu yang cuba dibendungnya di birai mata.
“Dia belum sedar sepenuhnya.” Lutfi memberitahu. “Tangan kirinya patah. Luka di beberapa anggota badan. Banyak juga hilang darah.”
Hakimah menggeleng apabila terdengar perkataan ‘patah’.
“Di mana berlakunya?” Sumayyah bersuara perlahan, namun masih boleh didengar.
“Dekat simpang tiga menghala ke Amman berhampiran terminal bas. Coaster yang dinaiki berlanggar dengan teksi.”
Masing-masing cuba membayangkan simpang yang dimaksudkan. Rasanya ada beberapa simpang di situ, sukar untuk dipastikan yang mana satu. Dan yang mana pula yang berbahaya?
Ah, bagaimana baik pun keadaan jalan raya, kelajuan berupaya membunuh. Tiba-tiba dia teringatkan tragedi berdarah di Aqabah pada pertengahan 1995 yang meragut nyawa lima penuntut Malaysia dari Universiti Al al-Bayt. Ngeri!
Rahiman dan Marzuki berlalu meninggalkan Lutfi berbicara dengan mereka.
“Alhamdulillah, kemalangan taklah teruk sangat. Cuma beberapa orang yang tercedera.”
“Yarhamkallah.”
“Tapi jangan terperanjat jika ana kata ada yang maut,” sambung mahasiswa tahun tiga itu.
Sumayyah teringatkan seseorang. Matanya melilau mengitari seluruh wad. Katil-katil kebanyakannya penuh. Tetapi pelawat tidak seramai di luar. Hatinya bimbang. Err, bagaimana dia?
“Ada juga yang mati?” Fatihah tidak percaya.
“Siapa?” soal Sumayyah.
Lutfi tidak terus menjawab sebaliknya memandang sekelilingnya terlebih dahulu. Bagai mahu memastikan sesuatu.
“Pemandu teksi.”
Sumayyah dan Fatihah bernafas lega.
“Dengar Ustaz Naufal terlibat sekali.” Fatihah bertanya lagi.
“Taklah. Dia memang kebetulan ada di terminal masa tu. Tapi sedang menanti perjalanan ke Mafraq. Siapalah yang buat cerita?”
Fatihah tersenyum simpul. Sumayyah hanya menggeleng. Begitulah lazimnya apabila hati diselaputi cemas, panik dan terkejut, manusia sering gemar membuat andaian. Akibatnya, banyak khabar tidak benar akan tersebar. Dia tidak mahu memikirkan cerita itu berpunca daripada siapa.
“Itu pun dia.” Lutfi menuding ke jihat pintu wad. “Sihat walafiat.”
Ustaz Naufal mengatur langkah menuju ke arah mereka. Wajahnya tenang macam biasa. Kopiah ala-Raihan masih melekat di kepala. Marianis dan Raihanah mengekorinya di belakang. Sumayyah memandang Fatihah.
“Bagaimana ustaz?” tanya Lutfi.
Hakimah yang sejak tadi terpaku di sisi Ustaz Hakimi menoleh. Ingin tahu seteruk mana kecederaan yang dialami lelaki yang bakal mendiami ujana hatinya selamanya.
“Alhamdulillah. Rasanya tak ada kecederaan serius menurut doktor. Cuma pihak hospital sedang menunggu keputusan ujian X-ray. Mereka khuatir tulang tangannya ada yang retak.”
Tanpa diminta, Ustaz Naufal menceritakan kejadian sebenar yang berlaku. Sumayyah kemudiannya keluar untuk ke bilik air membiarkan gadis berempat itu berbicara dengan Ustaz Naufal dan Lutfi. Kelibat Baihaqi, Asyraf, Rahiman dan Marzuki sudah tiada di luar – barangkali telah pulang. Apabila dia kembali semula, Ustaz Naufal dan Lutfi sedang berdiri berhampiran pintu wad yang tidak sesesak tadi. Dia hampir melintasi mereka.
“Ustazah Sumayyah bila imtihan?”
Langkah Sumayyah mati andar. Betulkah Ustaz Naufal yang menegurnya? Dia terkedu seketika, sebelum mengingati semula soalan yang ditanya.
“Err, ana mula lusa.”
“Habis bila?”
“Kertas terakhir Sabtu depan.”
Dia memberanikan diri mendongak, mengerling sekilas wajah dua lelaki di hadapan. Tunduk semula.
“Nak terbangnya bila?”
Sumayyah berganjak ke kiri sedikit. Memberi laluan kepada beberapa pelawat yang baru selesai menziarahi.
“Insya Allah, kalau dapat tiket, hari Khamis depan.”
“Cepatnya!”
Terasa ada darah yang menyerbu ke mukanya.
“Orang dah tak sabar nak balik berjuang, ustaz,” sela Lutfi.
Sumayyah tersenyum nipis.
“O, kalau begitu, ana ucapkan ma’assalamah wa ilalliqa’.”
“Terima kasih,” ucap Sumayyah sebelum melangkah ke dalam. “Doa-doakanlah moga ana istiqamah.”
ma’assalamah wa ilalliqa’. – selamat jalan dan moga berjumpa lagi
Membuat keputusan
4 years ago
0 komentar:
Post a Comment