5/02/2006

Siri 35



RINDU BELUM TERHENTI

KIPAS berputar ligat dan berpusing ke kiri dan ke kanan. Surat kiriman abah dibiarkan di atas dada. Dia masih berbaring, menelentang. Gambar ceria abah dan uminya di hadapan kilang kerepek yang baru didirikan ditatap beberapa kali – bagai tidak puas-puas.
Abah. Umi. Rindu pantas menunu.
“Kalau Mai nak sambung belajar ke Timur Tengah, pergilah. Abah restui.”
Lebih empat tahun yang lalu kalimat itu dituturkan. Namun masih jelas di gegendangnya. Matanya terpejam.
“Macam mana dengan umi?”
“Jangan risau. Abah kenal hati umi kamu.”
“Mai tengok umi tak berapa nak bagi.”
“Tahulah abah macam mana nak pujuk umi. Yang penting, Mai ada kemahuan dan semangat nak sambung belajar.”
Keyakinan ditiupkan. Keazamannya membara dan semangatnya terbakar.
“Terima kasih, bah. Tapi belanjanya sangat tinggi untuk ke sana. Mai bukannya dapat pinjaman, biasiswa jauh sekali.”
“Tak apa. Abah kan ada?”
Dia terkelip-kelip. Bagaimana abah mahu menanggung pengajiannya, sedangkan Kak Ngah masih di Universiti Malaya? Dan dengarnya, sara hidup di Jordan begitu tinggi – lebih tinggi daripada di Mesir dan Syria.
“Hari tu Mai kata, pelajar di sana ramai yang mohon pinjaman MARA kan?”
Dia mengangguk.
“Mai pergi dulu. Dah dapat tempat di sana nanti, barulah mohon dengan MARA. Mula-mula biar abah tanggung.”
“Betul ke ni, abah?”
“Abah ada cita-cita. Dan abah takkan halang cita-cita orang lain; apalagi anak-anak abah.”
“Abah ….”
Dia hilang kata-kata lalu mendakap abahnya.
Spontan dia teringatkan esok ada lagi peperiksaan yang menantinya – Sirah Nabawiyyah. Menggeleng. Rindu tidak pernah terhenti meski dilayan!
Lantas Sumayyah melipat surat dan dimasukkannya semula ke dalam sampul. Dia bingkas, meletakkan surat abah di atas meja tulisnya sambil menjeling sekilas foto abah dan umi di dalam bingkai kayu. Selesai menyalin pakaian dia terus ke dapur. Hari ini gilirannya memasak, justeru dia bercadang mahu melaksanakan tanggungjawabnya lebih awal. Sebelah petang nanti, dia mahu menelaah kitab Fiqh Sirah Nabawiyyah.
Sebelum mula memasak, dia memasang kaset kuliah Dr. Tariq Sweidan yang mengupas topik Aurat dan Hijab dalam Islam. Memang itulah kelazimannya setiap kali ke dapur. Sedang dia ralit menghiris bawang sambil menikmati isi kuliah, kedengaran loceng rumah sewanya berdering. Tidak mahu mengganggu Fatihah yang mungkin sedang mengulangkaji, lantas dia bergegas ke ruang tamu membuka pintu.
Muna muncul dengan senyuman menawannya. Tidak ditemani sesiapa. Langsung terus mengikuti langkah Sumayyah ke dapur.
“Mana Wafa’?”
“Ke perpustakaan aku rasa. Dia ada imtihan petang ni.”
“Kau tak ada imtihan?”
Sumayyah memperlahankan radio.
“Aku bermula semalam. Khamis ni ada lagi satu. Tapi minggu depan berderet-deret. Jadualnya agak rapat.”
“Yusra?”
Muna mengangkat bahu tanda tidak tahu. Nampak kurang selesa apabila ditanya tentang teman serumahnya itu. Sumayyah lekas faham. Soalan itu usah ditanya!
“Err, aku dengar tunang Hakimah kemalangan. Teruk ke?” Lekas Muna menukar mauduk.
“Hmm, taklah teruk sangat. Tapi tangannya patah.”
Sumayyah menuangkan air sirap sejuk yang tersimpan dalam peti ais ke dalam gelas. Dihidangkan untuk Muna.
“Sekarang dah bulan Jun, jadi ke walimah mereka bulan September nanti?”
“Itu aku tak boleh jawab. Kena tanya Hakimah. Tapi rasanya tak ada masalah.”
Sumayyah mencapai bawang putih. Dibuang kulitnya yang nipis, sebelum dihiris-hiris. Muna meneguk sirap dingin yang dihidangkan sambil memandang ke luar jendela dapur yang ternganga.
“Mereka berdua dari tempat yang sama?”
“Taklah. Tapi dari dua negeri yang berbeza. Hakimah dari Melaka, tunangnya pula dari Selangor. Kira-kira dua jam perjalanan.”
“Agaknya di Malaysia, ada kabilah juga macam di sini?”
Sumayyah berasa geli hati mendengar pertanyaan Muna tetapi di hatinya terselit hairan.
“Kabilah? Macam mana ya, nak diterangkan? Secara umumnya kami rakyat Malaysia hidup dalam masyarakat majmuk, pelbagai kaum – ada Melayu, Cina, India dan banyak lagi,” jawabnya. “Kenapa?”
Muna geleng. Sirap di dalam gelas di tangan belum dihabiskan. Gadis itu berpaling menghadap Sumayyah yang mengeluarkan daging lembu dari peti ais.
“Sumayyah, kau dah banyak berkongsi suka duka kami, dah seperti saudara kami. Boleh, err … boleh aku nak minta pandangan kau tentang seseorang.”
Sumayyah tersenyum senang. Terasa dihargai bila dianggap sebegitu oleh bangsa lain. Sejak tiga tahun mereka mengenali Muna, ternyata gadis ini lebih rapat dengannya berbanding Hakimah dan Fatihah.
“Boleh saja. Tentang siapa?”
“Err .… “ Gadis itu teragak-agak.
Barangkali agak peribadi, desisnya. Apakah Muna dalam senyap-senyap sudah memiliki teman istimewa? Sumayyah menanti nama yang bakal diluahkan.
“Tentang siapa, Muna?”
“Hei, kau di sini Muna!” sergah Fatihah yang muncul tiba-tiba di pintu dapur.
Sumayyah dan Muna mengurut dada. Saling menggeleng.
“Aku ingat siapa yang datang tadi.” Fatihah tergelak kecil melihatkan mereka berdua terperanjat.
“Berilah salam dulu. Nasib baik aku tak ada sakit jantung,” rungut Muna tatkala Fatihah menyalaminya.
“Dalam rumah sendiri, tak perlulah beri salam lagi. Ha, kau datang seorang saja? Mana Wafa’?”
“Sibuk murajaah.”
“Yusra?”
“Tak tahu.”
“Macam mana kawan serumah pun tak tahu?” Fatihah bagai sengaja melontar soalan provokasi.
Muna menggeleng. Dahinya menzahirkan kerut. Pertanyaan itu bagai terlalu berat untuk dijawabnya.
”Ya tak ya, Muna. Apa cerita Yusra?” Sumayyah turut bertanya. Sebolehnya dia tidak mahu menjaga tepi kain orang lain. Tetapi sudah menjadi adab berjiran, susah senang mereka mesti diambil tahu juga.
“Entahlah,” luah Muna. “Susah nak cakap.”

0 komentar: