2/23/2006

Siri 31

HATINYA MILIK SIAPA

HARI Sabtu.
Di luar, langit cerah macam biasa. Sukar mencari tompok-tompok awan yang akan membentuk hujan. Dan terik matahari terus mengigit di mana-mana.
Pada hari-hari terakhir begini, masing-masing lebih enak menyendiri di dalam kamar. Membaca, mengulangkaji, menghafaz, berbincang dan melakukan apa sahaja aktiviti yang boleh dinamakan persediaan menghadapi peperiksaan. Hendak ke perpustakaan, pastinya sesak. Justeru rumahlah tempat yang paling sesuai untuk mentelaah.
Memandangkan kertas Nizam Hukum akan dihadapi pada Isnin ini, Sumayyah mengajak Fatihah murajaah bersamanya. Muqarrar sudah dihabiskan dari kulit ke kulit, tetapi kadangkala baginya ada subjek yang lebih mudah melekat di fikiran jika diulangkaji dalam bentuk perbincangan. Lalu dia ke kamar Fatihah yang turut mengambil mata pelajaran itu
Esok sebenarnya bermula peperiksaan akhir semester musim bunga bagi sesetengah pelajar. Namun dia akan bermula lusa – dimulai kertas Nizam Hukum, kertas Sirah Nabawiyyah pada Selasa, kertas Usul Fiqh 2 pada Khamis, dan diakhiri Madkhal ila Ilm at-Tarbiyyah pada Sabtu. Kesemuanya menuntut pembacaan yang tidak sedikit.
Bagaimanapun dia agak sedikit lega bila mengingatkan markah-markahnya dalam ujian pertama dan kedua yang telah dilalui pada akhir bulan Mac dan April lalu. Untuk lulus rasanya tidak terlalu payah, tetapi dia tidak mahu sekadar itu. Kalau boleh pada semester terakhir ini, biarlah semuanya cemerlang dan menggembirakan.
Sumayyah berlunjur dan cuba mencapai kedua-dua ibu jari kakinya dengan tangan. Dia mahu menghalau rasa kantuk dengan senaman-senaman mudah. Kemudian tubuhnya disandarkan kembali pada birai katil. Muqarrar kuliah yang sengaja diletakkan sebentar di atas karpet dibawa ke riba. Sudah lebih dua jam dia berada di kamar Fatihah untuk sama-sama murajaah dan berbincang.
Gadis itu dilihatnya mulai kerap menguap. Barangkali kurang tidur dan terlalu lama berjaga pada sebelah malam – fenomena biasa menjelang musim peperiksan. Meskipun ketara matanya agak merah, riak ceria pada wajah Fatihah bagaikan tidak pernah terpadam. Sejak hari pertama mengenalinya, jarang sekali dia melihat wajah iras-iras Ezzah Aziz Fawzy itu suram dan moyok.
Sumayyah masih ingat, dia mula mengenali Fatihah lebih tiga tahun tahun yang lalu. Gadis kelahiran Sungai Balang itu menjadi junior di bawahnya setahun. Tatkala Fatihah mula-mula tiba di Irbid, dia dan Hakimah tinggal bersama Kak Syarifah Halizah, Ketua Siswi PERMAYA ketika itu. Bagaimanapun, setelah Kak Syarifah Halizah bergelar graduan dan pulang ke Malaysia satu semester kemudian, mereka berdua mengajak Fatihah untuk mengisi kekosongan di Bait Fatimah az-Zahra’.
“Mengapa ya, Teh?”
“Apanya?”
“Mengapa kau macam tak pernah ada masalah? Sentiasa ceria aku tengok.” Dia pernah mengajukan istifham itu kepada Fatihah suatu masa dulu.
Gadis itu melongo seketika.
“Dan kau juga Mai; kenapa kau aku lihat begitu tenang dan cool, malah selalu tersenyum bila berhadapan dengan masalah?”
Pandai sungguh dia memutar soalan, desisnya.
“Aku tanya betul-betul ni.”
“Kau fikir aku tak betul?”
Lantas gelak terburai. Itulah istimewanya Fatihah – kaya dengan humor. Malah ada sahaja modal bicaranya yang menghiburkan dan mengubat gulana teman-teman.
Tetapi masakan wajah semanis dan seceria itu tidak mempesona hati sesiapa?
Setahunya, Fatihah tidak memiliki sebarang hubungan mawaddah dengan sesiapa. Belum ada mana-mana lelaki yang berjaya menghuni hatinya setakat ini. Dia dan Hakimah pernah juga mengusik-ngusik Fatihah dan mengait-ngaitkannya dengan Marzuki dan Rahiman. Namun Fatihah ternyata sangat bijak menepis sebaliknya berupaya menyerang balas.
“Aku bukan tak berkenan, tau. Tapi rasanya macam belum bersedia nak panggil ‘abang’. Hisy, tak kuasa aku, belum nikah dah bermanja-manja panggil ‘abang’.”
Dia tergelak. Dan pastinya mata Hakimah akan terkelip-kelip mendengar sindiran senakal itu.
Bagaimana pula dengan Lutfi? Dia lekas terbayang tampang lelaki segak berasal dari Pahang yang menjadi pengerusi forum perdana tempoh hari.
Menurut beberapa teman, Timbalan Presiden PERMAYA itu amat menyenangi Fatihah. Walaupun kadangkala terdengar perselisihan pendapat kedua-duanya dalam mesyuarat exco tetapi keserasian mereka berdua bekerjasama dapat dilihat dalam beberapa program persatuan. Dan dia selalu menyaksikan, Fatihah akan mengulum senyum apabila nama Lutfi disebut.
Apakah ada nama Lutfi di sanubari Fatihah? Dan wujudkah nama Fatihah di hati lelaki itu? Dia tidak pasti. Namun dia akan cukup gembira jika kedua-duanya bersatu.
“Kata datang sini nak berbincang, bukan suruh tenung muka aku,” sergah Fatihah.
Sumayyah terkebil-kebil. Tersengih.
“Sedap tengok muka Ustazah Fatihah. Lawa. Sejuk mata melihat,” balasnya. “Sekali dia senyum, fuh, manis macam gula.”
“Banyaklah lawa kau,” bebel Fatihah. Gadis itu segera bangkit dari meja tulisnya dan menuju ke jendela. Jaring penapis debu dialih ke sebelah kanan. Pawana berkepul-kepul masuk.
“Lawa sangat macam aku pun siapa yang mau?” tambah Fatihah, berjenaka. “Hai, nampaknya tahun depan kenalah letak borang Bait Muslim.”
Sumayyah tergelak.
“Ada. Siapa kata tak ada? Takut kau saja yang memilih, Teh?”
“Aku yang memilih?” Fatihah ketawa. “Masalahnya tak ada sesiapa yang berkenankan aku kot.”
“Kalau aku kata ada?”
Fatihah melangkah ke pintu. Mahu ke dapur.
“Kalau ada pun, aku belum bersedia, Mai. Aku takut dikecewakan. Aku takut tidak setabah engkau menghadapi kekecewaan.”
Kata-kata itu mengingatkannya kepada Afnan. Ah! Dia lelaki baik dan cukup memahami dirinya tetapi akhirnya mengecewakan. Sumayyah tersenyum polos.
“Kau fikir semua lelaki jahat?”

0 komentar: