JIKA MASIH BEGINI
TETAPI Fatihah tidak mendengar kalimatnya itu. Gadis itu sudah sampai di dapur.
Memang dia bijak mengelak, desis hatinya. Pandai menepis bila diajukan pertanyaan tentang pilihan hati.
Sumayyah lalu bangun dan menapak ke ruang tamu. Dia menyalakan televisyen, berlunjur sambil bersandar di dinding. Matanya tunak menangkap isi berita jam 12 tengah hari yang sedang ke udara.
Berita utama semestinya seputar keluarga diraja Jordan – berkenaan Al-Malik Abdullah bertemu Presiden Mesir Hosni Mubarak bagi membincangkan pelan damai yang dicadangkan oleh Washington. Seterusnya diikuti lawatan Permaisuri Ranieh ke sempadan Jordan bagi menziarahi khemah pelarian Palestin. Kemudian barulah dilaporkan tentang gencatan senjata yang dilancarkan oleh Israel setelah diserang hampir setiap hari oleh Hamas. Semuanya tidak menguja perhatiannya untuk terus mendengar.
Sumayyah tidak pasti, pelan damai yang mahu dilaksanakan itu sudah masuk kali ke berapa. Baginya tiada apa-apa kesan terhadap krisis kemanusiaan di Palestin. Orang Islam di sana terus tertindas dan dizalimi sesuka hati. Pemimpin Arab hanya tahu bersidang, berbincang dan meluah simpati, namun dalam pada masa yang sama mereka terus mengikut telunjuk Barat.
Begitu juga dengan gencatan senjata Israel-Hamas, itu lagi satu temberang Yahudi. Setelah mereka tidak tahan diasak di setiap penjuru oleh serangan istisyhad pejuang Islam Hamas, mereka menawarkan gencatan senjata untuk menyelamatkan keadaan. Apabila lawannya berhenti menyerang, rejim Tel-Avivlah yang akan mengganyang rakyat Palestin dan membedil Hamas terlebih dahulu.
Perang tidak akan habis selagi Yahudi dan Kristian terus memusuhi Islam. Itu kenyataan Dr. Muhammad al-Malkawiy yang lestari di ingatannya. Yahudi dan Kristian tidak akan berhenti daripada memusuhi Islam selagi tidak munculnya Dajjal dan Nabi Isa.
Fatihah datang menyertai Sumayyah sambil menatang talam kecil berisi tiga gelas air oren sejuk dan sepiring biskut serat Ulker buatan Turki.
“Apa berita hari ni?” tanya Fatihah sebaik sahaja melihat kerut di dahi Sumayyah.
“Macam biasa. Sidang damai dan gencatan senjata. Agenda yang tak habis-habis dari dulu.”
Fatihah turut duduk. Tangannya mencapai akhbar Arab el-Youm bertarikh empat hari yang lalu. Kemudian dia meneguk oren sejuk beberapa deguk.
“Pengarah dan skripnya masih sama nampaknya,” sambung Sumayyah lagi.
“Pelakon-pelakonnya pun yang itu juga dari dulu; kalau bertukar, cuma seorang dua saja.” Fatihah menyokong.
Sumayyah beralih ke saluran lain. Dia tidak mahu terus-terusan melayan rasa hiba melihat penderitaan umat Islam. TV Syria 2 yang baru memulakan operasi hariannya menyiarkan lagu kebangsaan Syria. Wajah bengis Presiden Al-Assad menjadi latar sepanjang lagu itu dimainkan.
“Dah panggil Kim ajak minum sekali?” Sumayyah mencapai sekeping biskut. Diunggisnya perlahan-lahan.
“Sudah,” ujar Fatihah. “Kejap lagi dia datang.”
Kala itu mereka dikejutkan dengan bunyi ding dong loceng di atas pintu. Sumayyah bangkit mahu membuka pintu yang lebih hampir dengannya. Sebelum membuka, dia mengintai terlebih dahulu menerusi lubang kecil di pintu. Sayup-sayup kedengaran suara perempuan memberi salam.
Lalu tombol dipulas dan pintu varnis terkuak. Dia menjawab salam.
Marianis dan Raihanah melangkah masuk tanpa dipelawa. Nafas kedua-duanya sedikit termengah-mengah. Dahi mereka tampak berkeringat. Pada wajah kedua-duanya ada riak sedikit cemas.
“Kenapa ni Anis, Hanah?” tanya Fatihah. “Apasal tercungap-cungap ni, kena kejar dek Arab ke?”
“Kim mana Kim?” Marianis pantas menyoal.
“Hakimah ada?” Raihanah juga bertanya soalan serupa.
“Ada. Kalau iya pun, duduklah dulu,” pelawa Sumayyah. “Kejap lagi Kim keluar.”
Marianis geleng. Bagai ada sesuatu yang amat penting mahu diluahkan.
“Apa halnya?” desak Fatihah sambil bingkas. Dia mahu memanggil Hakimah.
“Ada berita kurang baik sikit.”
Langkah Fatihah jeda. Tatkala itu, Hakimah muncul dari kamarnya. Kepalanya yang dibalut tuala menandakan gadis itu baru selesai mandi.
“Anis, Hanah … bila sampai? Err, cari saya ke?” Hakimah barangkali sudah terdengar namanya disebut tadi.
Marianis mengangguk.
“Begini, Kim. Sebelum tu harap bertenang, sebab kami nak sampaikan satu berita kurang baik.”
Sumayyah dan Fatihah saling bertukar pandangan. Sebelum pandangan mereka beralih kepada Marianis semula.
“Baru sebentar tadi Asyraf datang beritahu, err, katanya Ustaz Hakimi kemalangan.”
Hakimah tampak tergamam. Sumayyah dan Fatihah juga. Marianis lekas merapati Hakimah. Memegang kedua-dua bahunya.
“Inna lillah wa’inna ilaihi raaji’un,” ucap Sumayyah seraya memegang jemari Hakimah. “Teruk ke?”
“Entahlah. Asyraf pun baru nak pergi tengok. Tak tahu banyak sangat.”
“Dia seorang saja?”
“Dengar khabarnya dengan Ustaz Naufal. Tak tahulah macam mana keadaannya.”
Sumayyah menghela nafas. Ada debar menghentak hatinya tiba-tiba. Mungkin Hakimah pun begitu.
“Berlanggar di mana?”
“Katanya dekat-dekat sini juga. Ustaz baru naik coaster nak ke Amman.”
“Moga Allah selamatkan dia.”
Masing-masing memandang Hakimah yang masih terkelip-kelip. Namun bibir tipisnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Barangkali kiriman doa untuk tunang tersayang.
“Sabar, Kim. Harap ustaz tak apa-apa,” bisik Sumayyah meniup kekuatan kepada sahabatnya.
Hakimah mengangguk. Wajah cerah damainya mulai menzahirkan tanda-tanda suram.
“Kau orang cepatlah bersiap. Kita pergi ziarah sama-sama sekarang juga,” suruh Marianis.
Masing-masing patuh. Masuk ke bilik dan menyalin pakaian.
Kurang sepuluh minit kemudian, mereka berlima sudah berada dalam perut teksi menuju ke Hospital Ibni Nafis berhampiran Terminal Bas Irbid.
Melihatkan keresahan Hakimah, entah mengapa Sumayyah berasa perasaan itu turut menjangkitinya. Moga Ustaz Hakimi tidak apa-apa.
Bagaimana pula dengan sahabat akrabnya Ustaz Naufal?
Ya Rabb. Selamatkanlah mereka!
Membuat keputusan
4 years ago
0 komentar:
Post a Comment