2/08/2006

Siri 30

BERSAMA RESTU AYAHANDA

KENDERAAN di jalan raya tunda-menunda. Manusia begitu ramai lalu-lalang di kaki lima meskipun waktu Asar makin didekati Maghrib. Hendak berjalan beriringan berdua, kaki lima di kanan Jalan Universiti ini begitu sesak; bimbang pula kalau berlaga dengan orang Arab yang memang pantas berjalan. Lantas dia mengekori sahaja di belakang Fatihah.
Perut masih terasa kenyang. Tetapi hasrat untuk menghubungi orang tua di tanah air mahu dilaksanakan petang ini juga. Biar hati tenang bila studi. Kedai telefon kian dekat. Mereka menuju sasaran di hadapan.
Kedai telekomunikasi yang terletak di sebelah kanan galeri komputer terbesar di Irbid itu tidak seperti selalunya. Agak lengang. Selain menawarkan khidmat panggilan antarabangsa dengan kadar rendah, pelbagai jenis telefon bimbit dan segala macam komponennya turut dijual di situ.
Ada tiga bilik telefon berkaca yang disediakan untuk pelanggan. Sumayyah memilih bilik yang tengah, manakala Fatihah masuk ke bilik di sebelah kanan. Setelah nombor rumahnya didail, dia menanti beberapa saat, sebelum kedengaran suara garau seorang lelaki yang sangat dirindui menjawab panggilan dengan memberi salam.
Abah!
Sumayyah tersenyum memandang wajahnya sendiri dalam cermin yang memang ditempatkan di setiap bilik berkaca.
“Abah sihat?” Itu yang pertama sekali ditanya sejurus menjawab salam.
“Alhamdulillah. Mai kat sana macam mana?”
Terasa ada rindunya yang sedikit mencair sebaik sahaja terdengar suara mesra abah bertanya.
“Okey. Sihat walafiat. Umi?”
“Umi kamu sihat. Kenapa, nak cakap dengan umi ke? Umi sedang sembahyang.”
“Tak apalah, abah. Saja telefon nak beritahu yang Mai nak periksa akhir Isnin ni.”
“Yakah? Insya Allah, abah dan umi akan doakan. Kami buat solat hajat.”
“Kalau lulus kali ni, Mai akan balik minggu depan.”
“Alhamdulillah. Cepatnya terasa. Dah nak tamat anak abah belajar.”
“Tiket pun dah tempah, bah.” Sumayyah memberitahu, riang.
“Bila jangkaan penerbangannya tu?”
“Jika takda halangan, Khamis minggu depan.”
“Eh, dah dekat tu. Nanti abah bincang dengan umi kamu. Kita kena buat kenduri besar-besaran.”
“Tak payahlah susah-susah, abah. Nanti nak walimah Kak Ngah barulah buat besar-besaran.”
“Apa salahnya? Menjamu orang ni dapat pahala. Kalau Mai nak jalan sekali dengan Kak Ngah lagi bagus. Boleh abah dapat dua orang menantu serentak.”
Kedengaran dekah-dekah ketawa abahnya. Sumayyah senyum. Sempat lagi orang tuanya itu mengusiknya.
“Apalah abah ni, Mai belum fikir pasal tu.” Dia menggeleng sambil merungut.
“Abah bergurau saja. Risau juga abah, kalau-kalau Mai bawa pulang tok Arab. Terus pengsan umi kamu.”
Mereka tergelak bersama. Matanya meliar keluar menembusi dinding kaca, memerhatikan pelanggan-pelanggan yang keluar masuk. Sebaliknya, mereka yang berada di luar tidak dapat melihat dia di dalam.
“Abah ni bukan apa, dah lama benar teringin nak bermain dengan cucu. Kak Long kamu tu lambat pula nak berisi. Belum ada rezeki nampaknya.”
“Insya Allah, adalah tu tak lama lagi kot. Abah suruhlah Kak Ngah tu cepat-cepat sikit. Tak elok bertunang lama-lama.”
“Itulah yang abah risaukan. Budak-budak sekarang, kononnya nak kenal-kenal dululah. Macam-macam alasan. Hati umi abah ni juga yang risau. Mai esok tak payah bertunang-tunang. Terus saja walimah.”
Sumayyah menghela nafas. Berasa tidak selesa berbicara soal demikian. Dia mesti lekas beralih mauduk.
“Err, projek kerepek abah macam mana?”
“Hmm, makin maju sekarang ni, syukurlah.”
“Macam tak percaya saja abah dah jadi usahawan sekarang.”
“Kenapa pula tak percaya? Mai balik dululah. Nanti boleh tolong-tolong abah.”
“Insya Allah, tapi kenalah bayar gaji ijazah.” Sumayyah pula berseloroh.
Hatinya terhibur mendengar suara abah ketawa.
“Abah pun ada terfikir, nak lantik Mai jadi pengurus.”
“No problem. Abah, umi dah selesai sembahyang?”
“Belum.”
“Mai, tak boleh lama-lama ni. Duit laju mengalir. Tak apalah, sebelum balik minggu depan, nanti Mai telefon lagi.”
“Eloklah tu. Abah akan beritahu Kak Ngah kamu, nak ajak dia pergi sekali ke KLIA.”
“Abah dan umi jangan lupa doakan Mai, ya.”
“Sentiasa, nak. Reda abah bersama kamu. Selamat berjuang.”
“Kirim salam umi ya, abah, dengan lafaz assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Nanti abah sampaikan.”
Mereka bertukar salam sebelum gagang diletakkan. Keriangan lekas meresap di hati. Rindu yang bagai menggulungnya selama ini sedikit terlerai. Apabila Sumayyah keluar dari bilik kaca, Fatihah sudah menanti di hadapan kaunter.
Gadis periang itu tersenyum. Wajahnya agak berseri-seri.
“Keluarga semua baik, Teh?” Sumayyah lekas menyapa.
Fatihah mengangguk. Masih tersenyum. Sumayyah berasa hairan. Selalunya, gadis inilah yang terlebih dahulu bercerita tentang keadaan keluarganya sejurus menghubungi mereka. Tetapi tidak hari ini. Atau senyuman semanis itu bukan untuknya?
Sumayyah berpaling. Mendongak.
Seorang lelaki sedang berdiri di hadapan bilik kaca yang paling kiri menunggu gilirannya untuk menelefon.
Naufal!
Bagaimana aku boleh tidak perasan lelaki itu tercegat di situ semasa keluar dari bilik kaca itu tadi?
Apabila dia berpaling semula ke arah Fatihah, gadis itu memandang ke lantai sambil tersenyum meleret.

0 komentar: