9/21/2005

Siri 22

GADIS BERTUDUNG SUTERA


SOALAN yang sudah dijangka!
Dia tidak terus menjawab sebaliknya mengelopakkan senyuman di bibir. Kemudian membalas dengan gelengan.
“Dah lama kau kenal Ustaz Naufal?” Soalan itu datang lagi.
“Tak lama juga.” Dia mendongak ke angkasa, mengira-ngira, “Baru seminggu.”
“Jumpa di mana?”
“Dalam coaster.”
“Lalu dia dengan murah hati membayar tambang coaster kau?” Gadis itu meneka.
Angguk. “Siapa dia tu? Kau kenal?” Kali ini Sumayyah pula yang menyoal.
“Kenapa? Berminat?”
Sumayyah menceber. Geram diusik soalan nakal begitu.
“Tak pernah nampak pun sebelum ni. Tiba-tiba saja muncul.”
“Entahlah. Kata Abang Hakimi, ustaz tu sahabat baiknya masa di UM dulu.”
“Amboi, belum nikah dah mengada panggil ‘abang’.” Sumayyah sengaja menyerang balas. Walhal, memang sudah dimakluminya, Hakimah sering membahasakan Ustaz Hakimi sebagai ‘abang’.
“Aku cakap betul-betul ni.”
Sumayyah tergelak kecil. Geli hatinya melihat mata Hakimah terkelip-kelip menelan kalimatnya tadi.
“Ustaz Naufal tu baru semester kedua. Ambil sarjana bidang Iktisad Islamiy. Sekarang mereka tinggal serumah di Dawwar Iskan.”
Dewan Konvokesyen di sebelah kanan baru sahaja dilepasi. 50 meter di hadapan, Kulliyyah Iktisad berwarna hijau lumut semacam menjadi penyambut kedatangan warga kampus yang menggunakan Bab Gharbiy. Kampus Universiti Yarmouk kekal seperti tadi. Lengang.
Sumayyah tidak bertanya lebih lanjut. Bimbang Hakimah mengungkapkan kembali soal hutang 100 fils tadi. Lebih tidak selesa jika nama Ustaz Naufal terkait sama. Harapannya, biarlah peristiwa sebenar malam itu hanya mereka berdua sahaja yang tahu. Dia insaf dengan kesilapannya. Namun, malu juga andai diketahui orang lain.
Pasti lelaki itu mencebik apabila melihat aku yang menjadi ahli panel bersamanya. Tak baik menuduh orang yang bukan-bukan. Bukan menuduh, tapi akulah perempuan yang dinasihatinya malam itu. Ketara tegurannya ikhlas, mengapa pula mesti dihantui prasangka?
Mereka melepasi pintu pagar jihat barat yang dilengkapi pos pengawal. Gambar Al-Malik Abdullah tersenyum diletakkan di tiang-tiang lampu di kiri kanan jalan. Sumayyah teringat sesuatu apabila terpandangkan pondok menunggu bas yang dibina di kaki lima sebelah kanan.
Di situlah berlakunya insiden luar duga itu!
“Duduk mana?”
“Belakang Hotel Hijazi. Err, dekat Bangunan Abu Syauqi.”
“Tak apa, ana hantarkan. Enti jalanlah depan sikit, ana ikut dari belakang.”
Dia bagaikan terdengar-dengar perbualan singkat mereka malam itu. Wajah tanpa reaksi Ustaz Naufal sedikit meresapi imbauan.
“Alamak, Mai, aku masak hari ni!” Keluhan Hakimah sedikit mengejutkannya tatkala mereka mahu menyeberangi jalan.
“Barang-barang dapur dah habis. Bawang merah kecil besar semua aku dah sapu licin semalam.” Sumayyah menokok. Tidak jadi melangkah.
“Itulah,” rungut Hakimah. “Jom ikut aku ke Balad. Alang-alang dah pakai macam ni, apa kata kita terus saja memborong di pasar.”
Sumayyah tidak membantah. Elok juga membeli keperluan lebih awal memandangkan selepas ini mereka akan diasak tarikh peperiksaan. Ditambah pula harga barangan di pasar Wasatul Balad lebih murah berbanding pasar-pasar mini di Dawwar Jamiah dan Dawwar Iskan.
Lalu Hakimah menahan sebuah coaster yang kebetulan muncul dari arah Dawwar Nasiem. Mereka menaikinya. Tidak sampai sepuluh minit perjalanan, kenderaan awam termurah itu tiba di stesen Wasatul Balad.
Mereka menapak beberapa minit ke pasar yang masih bernyawa dikunjungi pembeli. Beberapa Arab Badwi menjual ayam dan kambing yang belum disembelih di kaki lima pasar Wasatul Balad yang masih agak tradisional. Ada juga yang menjual barangan mustakmal sambil melaungkan tawaran harga dalam loghat ‘ammiy yang sukar difahami.
Sejurus membeli barang-barang dapur dan sedikit sayur-sayuran, mereka ke kedai menjual ayam. Memandangkan sudah tengah hari, jumlah ayam yang masih berada di dalam sangkar berbaki tidak sampai sepuluh ekor.
“Kami mahu yang sederhana besar,” kata Sumayyah kepada penjual ayam. Tanpa membuang masa, lelaki yang cuma bersinglet itu menangkap seekor ayam daging, meletakkannya di dalam bakul yang sudah tersedia di atas penimbang. Harga dan berat ayam terpapar pada alat penimbang automatik itu.
“Ayuwah.” Hakimah memberikan persetujuan dengan harga dan berat ayam yang bakal disembelih.
Lantas ayam seberat 1.3 kilogram itu disembelih dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim. Urat merihnya putus. Setelah dipastikan tidak lagi bernyawa, ayam dimasukkan ke dalam baldi air panas sebelum dicampakkan ke dalam mesin penanggal bulu.
Kurang sepuluh minit kemudian, mereka meninggalkan kedai ayam lalu menuju ke bangunan sebuah syarikat pengurup wang berhampiran. Hakimah ingin menukar seratus Dolar Amerika yang dimilikinya kepada Dinar Jordan. Kadar tukaran wang masih tidak berubah. USD100 masih bersamaan JD71.
Tatkala Sumayyah cuba menahan teksi yang lalu-lalang, kedengaran suara orang melaungkan sesuatu yang kurang jelas, kemudian diikuti dengan laungan suara ramai meneriakkan ayat yang hampir sama. Semacam ada perarakan. Seperti ada tunjuk perasaan yang bakal tercetus sebentar lagi.
Gema suara ramai itu semakin dekat. Kira-kira 70 meter dari tempat mereka berdiri, dia dapat melihat beratus-ratus orang sedang berarak menuju ke pejabat ahli parlimen kawasan Irbid tidak jauh dari situ.
Orang ramai mulai terpengaruh. Ramai juga yang menyertai perarakan. Namun kebanyakannya sekadar menjadi pemerhati. Para peniaga lekas menutup kedai. Bimbang sesuatu di luar jangkaan berlaku. Sepasukan polis kelihatan sudah bersedia menangani sebarang kemungkinan. Mereka berdua mulai terasa panasnya suasana. Kawasan ini mesti segera ditinggalkan.
“Harga gandum dah naik. Harga roti pasti akan naik. Orang ramai melakukan tunjuk perasaan di seluruh Jordan membantah kenaikan mendadak ini.” Seorang lelaki berhampiran mereka memberitahu.
Sebuah teksi berhenti setelah ditahan Hakimah. Seorang lelaki Arab berjambang rapi keluar dari perut motokar diikuti seorang gadis yang memakai tudung sutera Turki berwarna merah hati.
Hakimah mendongak. Sumayyah juga. Masing-masing memandang tepat ke wajah gadis itu. Mereka bertiga saling berpandangan sebelum gadis itu bergegas mengekori langkah pemuda tampan di depannya.
Yusra!

‘ammiy – bahasa pasar
Ayuwah – okey, baiklah

0 komentar: