TAMAN ZAITUN YANG TERCEMAR
KULIAH Nizam Hukum usai. Dr. Ahmad Miqdad keluar sebelum disusuli para pelajar yang mengikuti kuliahnya. Suasana di ruang legar di hadapan dewan kuliah pantas bertukar hingar. Suara pelajar bersembang dan bergelak ketawa beraduk dengan derap kaki mereka yang lalu-lalang di situ mencetus pelbagai bunyi.
Sumayyah dan Fatihah sengaja berlambat-lambat keluar memandangkan kuliah seterusnya pada jam 11 pagi. Mereka menapak perlahan ke ruang legar aras bawah Kulliyyah Syariah. Masa ada satu setengah jam lagi sebelum kuliah Sirah Nabawiyyah bersama Dr. Mousa Khalidiy.
Lazimnya pada waktu senggang begini Sumayyah akan ke bilik-bilik pensyarah bertanyakan sebarang kemusykilan atau kalau sempat ke perpustakaan untuk membaca dan mengulangkaji namun Fatihah mengajaknya ke kafetaria. Hendak menolak berasa tidak wajar. Masa bersama teman-teman tinggal tidak seberapa.
“Pejam celik pejam celik, dah habis kuliah satu semester,” tutur Fatihah sambil mereka melangkah menuruni tangga bangunan fakulti.
Sumayyah tidak segera menyahut. Memandang ke depan. Wajahnya yang sedikit berkeringat diraup dengan tapak tangan kanan.
Ya. Hari ini hari terakhir kuliah bagi sesetengah mata pelajaran. Malah ada pensyarah sudah membatalkan kuliahnya sepanjang minggu ini. Namun bagi dirinya, masih ada kuliah Madkhal ila Ilm at-Tarbiyyah yang mesti dihadiri pada hari esok. Lantas, mulai esok, bermulalah tempoh mengulangkaji selama seminggu sebelum menjelmanya peperiksaan akhir.
“Bila kau mula imtihan?” tanya Fatihah meskipun kalimatnya tadi tidak berbalas.
“Isnin. Kau?”
“Sama.”
Mereka melalui laluan konkrit yang merentasi deretan pokok pain yang meredupkan persekitaran fakulti. Di situ terdapat beberapa bangku batu yang disediakan untuk warga kampus beristirahat.
“Ada maddah yang merisaukan?”
“Setakat ni, semuanya alhamdulillah. Ikhtibar sebelum ni pun okey.”
Mereka menyeberang jalan, menuju ke kawasan taman. Di dalam taman yang dipenuhi pohon zaitun ini terdapat laluan-laluan yang menjadi jalan pintas ke Kulliyyah Lughah di jihat timur, atau ke Kulliyyah Iktisad di jihat barat, atau ke Kulliyyah Tarbiyyah di jihat utara. Kafetaria terletak di tengah-tengah taman yang begitu indah dihiasi bunga seperti matahari, kekwa, teluki, kembang pagi dan lili yang beranekarona walaupun musim bunga hampir berlalu.
Kurang lima minit menelusuri taman, mereka tiba di kafetaria yang tampak sendat dipenuhi pelanggan majoritinya lelaki. Nampaknya mereka terpaksa duduk di luar.
“Kau tunggu di sini, biar aku pergi beli,” pinta Fatihah sebelum meninggalkannya di situ.
Sumayyah mencari tembok batu separas lutut yang dibina mengelilingi setiap pohon zaitun di dalam taman ini. Melabuhkan punggung. Matahari makin galak bersinar. Namun kehangatannya tidak terlalu dirasa, dilindungi kerendangan zaitun yang masih belum selesai berbunga. Kicauan pipit sesekali meronai suasana taman.
Sementara menanti Fatihah membeli makanan, dia menyelak-nyelak kitab Fiqh Sirah Nabawiyyah tulisan Dr. Said Ramadhan al-Bouty yang menjadi muqarrar kuliahnya. Baru semalam dia selesai mengkhatami kitab ulama tersohor Syria itu dari kulit ke kulit. Terasa lazatnya dapat menikmati sirah Nabi dan para sahabat. Namun ada beberapa fasal yang kurang difahaminya – terutama melibatkan jawapan-jawapan penulis terhadap tuduhan para orientalis. Sekejap lagi, dia bercadang menemui Dr. Mousa Khalidiy. Biasanya pensyarahnya yang gemar bercerita itu berada di biliknya pada waktu-waktu begini.
Pandangan dibuang ke kanan. Sepasang kekasih yang semestinya pelajar Yarmouk sedang ralit menghimpun dosa. Lelaki dan wanita duduk berdekatan bersentuhan paha hingga hampir berlaga hidung begitu – apakah hukumnya selain haram? Terasa sangat meluat namun hatinya sebenarnya lebih tersiat kerana gadis itu memakai seluar jeans dan bertudung!
Dia sekadar menggeleng. Celaru. Kalbunya sesak amat. Namun apalah yang mampu dibuatnya selain hanya membenci maksiat terang-terangan itu di dalam hati. Alangkah lemahnya iman!
Ini di negara orang, di negaraku sendiri bagaimana? Entahlah.
Dia teringat kepada Yusra dan Lubna. Matanya melilau meninjau-ninjau kalau-kalau mereka berdua juga sedang melakukan aktiviti maksiat yang serupa di sekitar taman zaitun yang sudah tercemar ini. Tiada.
“Ha, dok perhatikan siapa tu?”
Sumayyah sedikit tersentak. Fatihah berdiri di hadapannya sambil menatang dua cawan teh berpudina yang masih berasap serta dua gulung roti falafil.
“Cepatnya!” kata Sumayyah, agak hairan. Kafetaria kelihatan masih penuh, malah ada yang terpaksa beratur sehingga ke muka pintu.
“Biasalah. Lelaki Jordan kan sangat menghormati wanita. Mereka bagi aku potong barisan,” ujar Fatihah, ceria seraya duduk bersama.
Sambil menikmati keenakan roti falafil, rukyahnya melesat agak jauh. Tampak Marianis, Rahayu dan Raihanah berjalan di depan Kulliyyah Iktisad menuju ke Bab Gharbiy. Petang semalam dia mengunjungi Ketua Siswi itu di rumahnya.
“Tahniah Mai, forum Sabtu lepas dianggap sangat berjaya.” Dia tersenyum mendengar ucapan Marianis.
“Selepas merujuk kepada semua borang penilaian yang kita terima, audiens sangat puas hati dengan ahli-ahli panel – terutama yang wanita.”
Sangat puas hati? Entahlah. Dia sekadar menunaikan tanggungjawabnya. Lega amanah itu sudah dilalui. Baginya tiada yang begitu manis dalam forum itu selain pengalaman berguna yang diraih. Dan sesuatu yang sangat sukar untuk dilupa, betapa dia agak terganggu dengan kehadiran Ustaz Naufal secara tiba-tiba tempoh hari.
Ah, Ustaz Naufal lagi. Dia sendiri tidak mengerti. Mengapa kerap pula nama lelaki yang gemar berkopiah ala-Raihan itu menjengah ingatan?
Ikhtibar - ujian
Membuat keputusan
4 years ago
0 komentar:
Post a Comment