8/13/2005

Siri 21

HUTANG SEKEPING SYILING

LEGA – satu-satunya perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan rasa hatinya saat ini. Sambil mengaminkan doa yang dibaca oleh Ustaz Sofyuddin, dia memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi. Tiada yang layak menerima puji selain-Nya. Hanya Dia.
Forum yang cukup mendebarkannya baru sahaja berakhir. Muhaimin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan forum perdana sebelum menangguhkan program dengan Tasbih Kaffarah dan surah al-Asr. Majlis bubar. Para audiens beransur-ansur meninggalkan Dewan Kulliyyah Tarbiyyah setelah menikmati santapan intelektual selama lebih 90 minit.
Sumayyah menyua tisu ke dahinya seraya melangkah ke arah Marianis dan Raihanah yang menantinya di tempat duduk paling hadapan. Terasa beban amanah yang dipikulnya selama seminggu ini telah dilepaskan. Tangan kanannya mencebet cenderahati yang disampaikan oleh Ustaz Fakhrurrazi Penasihat PERMAYA sebentar tadi.
“Tahniah, Mai, memang mantap!” Marianis menghulurkan tangannya, bersalaman. “Padat. Tepat. Hebat!”
Sumayyah menguntum senyum. Sedikit terkesima. Bagai tidak percaya mendengar pujian sedemikian. Bicaranya yang dirasakannya agak gugup dan sedikit gementar pada mulanya dianggap bagus dan berjaya. Mengarut!
“Banyaklah hebat kau, Anis.” Dia akas menyangkal. “Macam nak melingkup saja tadi aku rasa.”
“Lah, tak percaya. Aku ikhlas tau.” Ketua Siswi itu tertawa kecil.
Dia mengerling sekilas ke sudut kiri dewan. Kelihatan Lutfi bersalaman dengan Ustaz Hakimi dan Ustaz Naufal sebelum disertai Baihaqi, Asyraf dan Muhaimin.
“Betullah, Mai. Kalau tak percaya, boleh rujuk borang penilaian yang diedarkan kepada audiens tadi,” Raihanah turut mahu meyakinkannya. “Kau memang setanding dengan panel lelaki.”
“Yalah. Boleh ganti Ustazah Siti Norbahyah suatu hari nanti,” tokok Izzati yang mendekati mereka semata-mata untuk mengucapkan tahniah kepadanya.
Sumayyah menggerakkan keningnya. Dia tidak peduli apa orang kata tentang persembahannya tadi. Mindanya lapang kini. Yang lepas biarlah berlalu. Banyak lagi perkara yang menuntut difikirkan. Peperiksaan akhir yang bakal menjelma tidak berapa lama lagi lebih merisaukan.
Dia mendapatkan Hakimah yang menantinya di luar. Dewan makin lengang. Para pelajar begitu cepat surut. Yang tinggal hanyalah, AJK program dan para exco PERMAYA yang masih sibuk berkemas.
“Nak tunggu Teh?”
“Lama lagi kot. Katanya, mereka terus adakan mesyuarat muhasabah kejap lagi,” ujar Hakimah yang tercegat menunggunya di tepi papan kenyataan bersetentang dengan pintu dewan. “Kita balik dululah.”
Mereka mula melangkah.
“Puas hati?”
“Apa yang puas?”
“Dapat tengok sahibus samahah.” Sumayyah mengajuk gelaran yang diberikan Fatihah kepada Ustaz Hakimi, lalu tergelak kecil.
“Ustazah Sumayyah …!”
Dia segera berpaling apabila namanya diseru. Langkah Hakimah juga mati. Kelihatan Baihaqi melangkah ke arah mereka berdua. Di kiri kanannya, Ustaz Hakimi dan Ustaz Naufal turut melangkah.
Dada Sumayyah bergetar. Nampaknya dia tidak dapat mengelak daripada berdepan dengan Ustaz Naufal. Rasa segan datang serta-merta. Hakimah menghela nafas panjang.
“Nak ucapkan tahniah kepada Ustazah Sumayyah,” tutur Presiden PERMAYA itu.
Sumayyah mengangguk. Hairan. Jarang Baihaqi seformal ini. Lafaz “ustazah” itu memang sudah lazim digunakan penuntut-penuntut di Timur Tengah untuk siswi. Dan “ustaz” untuk siswa. Ia bukan sesuatu yang formal lagi. Malah sewaktu berkomunikasi dengan beberapa siswa yang sering berurusan dengannya, dia lebih gemar memanggil nama.
“Biasa saja, ustaz. Siapalah ana jika nak dibandingkan dengan ustaz berdua ni.”
Ustaz Hakimi dan Ustaz Naufal tersenyum. Hakimah di sisinya tunduk memandang lantai. Sumayyah perasan, Ustaz Hakimi sempat menjeling wajah tunangannya.
“Juga terima kasih di atas sumbangan enti kepada PERMAYA,” tambah Baihaqi lagi. “Dengar kata, nak segera terbang pulang sebaik selesai imtihan.”
“Insya-Allah, ustaz,” sahut Sumayyah. “Doalah jangan ada subjek yang sangkut.”
“Bai!” laung seseorang dari hadapan pintu dewan. Baihaqi berpaling, melihat Lutfi melambainya lalu meminta diri untuk menghampiri lelaki itu.
Khali setagal.
“Tak tunggu konvo dulu, ustazah?” tanya Ustaz Hakimi, lekas memecah suasana.
Menggeleng. “Rasanya lambaian tanah air lebih kuat, ustaz. Dah berapa tahun ana tak balik.”
Ustaz Hakimi tidak terkata apa. Barangkali lelaki ini sedikit gugup berdepan dengan tunangnya. Pasangan ini jarang berkomunikasi. Tetapi masing-masing sudah saling memahami, bertunang bukanlah lesen besar untuk bermesra dan masyuk bergaul membaja cinta.
Sepi lagi. Masing-masing bagai kehilangan modal untuk bersuara. Memang jarang sekali mereka berbicara sebelum ini kecuali jika ada urusan penting. Ustaz Hakimi dimakluminya agak pendiam. Ustaz Naufal dia tidak pasti.
Sumayyah menyeluk saku jubahnya. Jemarinya menyentuh sesuatu. Dencing syiling yang berlaga cukup mengingatkannya. Lalu dikeluarkan.
“Oh ya, Ustaz Naufal.” Sumayyah menghulurkan sekeping syiling 100 fils kepadanya. “Ini hutang ustaz dulu, minta maaflah terlewat bayar.”
Ustaz Naufal terpinga.
“Tak payahlah, ustazah. Tak usahlah berkira sangat.” Ustaz Naufal menolak.
Ustaz Hakimi dan Hakimah yang kehairanan sekadar menyaksikan. Tidak mengerti apa-apa.
“Ambillah. Ana tak mahu berhutang dengan sesiapa sebelum pulang. Nanti rasa tak sedap.”
“Ana ikhlas.”
Sumayyah akhirnya mengalah. “Jika begitu, terima kasih sekali lagi. Budi baik ustaz, Allah jua yang membalasnya.”
Lalu mereka berdua memohon diri untuk berlalu, meninggalkan Ustaz Naufal dan Ustaz Hakimi yang masih menanti Baihaqi.
Sebelum tiba di Bulatan Yarmouk, Hakimah terlebih dahulu bertanya.
“Dah lama kau kenal Ustaz Naufal?”

0 komentar: