7/11/2005

Siri 20

KITA BUKAN WANITA LEMAH


DIA menatap wajah Raihanah sekilas sebelum memandang semula ke arah Muhaimin yang sedang memulakan majlis. Marianis juga berminat mendengar.
“Siapa ganti?”
“Katanya Ustaz Naufal.”
Naufal?
Rasanya dia tidak pernah mendengar nama itu.
“Takkan kau tak kenal Ustaz Naufal?”
Geleng.
“Pelajar Yarmouk juga.”
Matanya memandang ke depan, ke arah Muhaimin yang memberi salam iftitah. Lantas majlis dibuka dengan surah al-Fatihah. Kemudian Muhaimin berucap sepatah dua sebagai mukadimah sebelum Baihaqi dipersilakan naik ke pentas memberi kata alu-aluan.
“Kawan baik Ustaz Hakimi,” terang Marianis separuh berbisik.
“Tak pernah dengar nama pun. Pelajar M.A ke?” Sumayyah menyambung istifhamnya yang terbantut seketika.
Raihanah sekadar mengangguk lantaran Baihaqi sudah memulakan ucapannya. Dewan sepi serta-merta. Masing-masing cuba menangkap butiran bicara presiden. Ketokohan lelaki itu terserlah dengan keupayaannya berucap dengan nada mendatar dan cukup bersahaja tetapi menarik pendengar.
Siapa pula Ustaz Naufal? Seingatnya hampir semua pelajar sarjana di Universiti Yarmouk dikenalinya. Pedulikan. Biar siapa pun panelnya, yang penting dia mesti mengawal gemuruhnya apabila berada di atas pentas sekejap lagi.
Sumayyah menyelak nota yang dibawanya dari rumah. Sekadar bekalan. Sebolehnya dia tidak mahu terikat dengan teks – segalanya sudah terhimpun dalam kepala – tetapi bimbang juga kalau-kalau terlupa.
Rasanya dia sudah bersedia. Keyakinannya makin memuncak sesudah bersolat hajat malam tadi. Barangkali inilah antara langkah awalnya sebelum terjun ke medan dakwah di Malaysia nanti. Pengalaman mesti ditempa mulai sekarang. Manalah tahu, dia juga akan menjadi setidak-tidaknya seperti Ustazah Samihah yang sangat dihormati dan sering dijemput berceramah menyampaikan ilmu di seluruh daerah Batu Pahat. Sepatah kata ustazah, ilmu yang ada bukannya untuk disimpan, tetapi disebarkan. Terkilas mimpinya yang dialaminya dua malam lalu, dia tersenyum sendiri. Macam-macam.
“Psst … jangan senyum macam tu. Luruh hati penonton nanti.” Marianis berbisik di telinganya.
Sumayyah menggeleng. Dia tahu usikan itu mahu mengurangkan gemuruhnya. Kedua-dua tapak tangannya ditekup ke mulut, dihembus perlahan-lahan. Itu amalannya untuk menghalau gementar yang cuba bertapak.
“Pastikan kau tenggelamkan panel-panel lelaki. Buktikan muslimat juga setanding dengan muslimin.”
Dia bersandar. Menoleh ke kiri. Nampak Ustaz Fakhrurrazi baru tiba dan duduk berdekatan Ustaz Hakimi.
Baihaqi selesai berucap. Muhaimin menyerahkan kendali majlis kepada Lutfi yang akan bertindak selalu pengerusi forum. Sebaik sahaja tampil dan duduk di kerusi yang disediakan di tengah pentas, lelaki itu terus mengungkapkan mukadimahnya yang ada bau-bau pengaruh penceramah kontemporari terkenal di Timur Tengah, Dr. Tariq Sweidan.
Tanpa membuang masa, Lutfi mempersilakan ketiga-tiga ahli panel naik ke pentas untuk bersamanya. Marianis menggengam lengan kanannya, tanda sokongan. Sumayyah mengangguk dan bingkas.
Sebelum melangkah, dia melihat Ustaz Hakimi yang memakai baju batik hitam dan berketayap putih mulai mendaki tangga sebelah kiri. Mengekori di belakangnya, seorang lelaki yang mengenakan blazer berwarna biru tua – seperti pernah dilihatnya susuk tubuh begitu. Itukah Ustaz Naufal pengganti Ustaz Badiuzzaman? Dia tidak dapat melihat wajah ustaz itu dengan tepat.
Sumayyah menapak beberapa meter sebelum menaiki tangga di sebelah kanan pentas. Dia mara ke tengah pentas, menghampiri meja kecil dan empat kerusi kayu jati yang tersedia di situ. Ustaz Hakimi duduk di sebelah kanan Lutfi, lalu Sumayyah mengisi kerusi di sebelah kiri Timbalan Presiden PERMAYA itu. Dan ahli panel yang menggantikan Ustaz Badiuzzaman memilih kerusi paling kanan.
Lutfi lalu memperkenalkan seorang demi seorang ahli panel yang mengelilinginya secara ringkas. Tatkala pengerusi memperkenalkan Ustaz Naufal selaku ahli panel kedua yang betah menjadi bidan terjun, Sumayyah sempat mengelih sekilas.
Ya Rabb!
Dia kenal lelaki ini. Dia cam tampang di sebelah Ustaz Hakimi. Dialah lelaki yang berbual dengan Lutfi di Kulliyyah Syariah tempoh hari. Lelaki inilah yang memakai kopiah ala-Raihan dan membayarkan tambang coasternya malam itu.
Sumayyah terasa sedikit tidak selesa. Mengingatkan peristiwa malam itu, alangkah segannya terpaksa berhadapan sekali lagi dengan lelaki ini. Bagaimana dia boleh berada di atas pentas untuk berforum bersamanya?
Dia mengejip-ngejipkan mata. Membuang jauh-jauh gangguan sebegitu. Ini bukan masanya untuk malu-malu tidak bertempat. Inilah masanya untuk berkongsi ilmu dan maklumat selain mengutarakan komentar dan pendapat.
Lantas dia menghela nafas seraya memandang ke depan. Beratus-ratus pasang mata menghala ke pentas, menyaksikan mereka berempat. Kontak mata sangat penting. Justeru matanya gesit mencari teman-teman rapatnya yang akan dijadikannya sasaran pandangan tatkala gilirannya berbicara nanti.
Lutfi makin lincah berceloteh, mengasak ahli panel dengan soalan-soalannya. Sumayyah berselawat dalam hati. Keyakinannya bertambah.
Demi Allah. Dan untuk PERMAYA buat ke sekian kalinya. Dia bersedia membuktikan.
Wanita yang selama ini tampak lemah lembut, sering dituduh emosional, dan pendek akal juga setanding dengan lelaki, malah tidak mustahil berupaya menggegarkan pentas!

Istifham – pertanyaan, persoalan

0 komentar: