6/27/2005

Siri 19

GADIS BERKERUDUNG PUTIH

FATIHAH dan Hakimah sudah menanti di luar. Gelak ketawa mereka berdua sesekali kedengaran. Dia melihat dirinya dalam cermin. Menggaya-gayakan pakaiannya beberapa kali. Puas hati.
“Mai, cepat sikit! Majlis menunggu kau!” Suara Fatihah berteriak mendesaknya supaya bersegera menembusi pintu kamarnya.
Sekali lagi dia memandang dirinya. Rasanya tiada yang tidak kena. Jubah coklat muda digandingkan dengan tudung labuh berwarna putih melitupi tubuhnya. Wajahnya yang cerah tidak disolek, sekadar disapu bedak. Dan bibirnya yang penuh sengaja dibiarkan tanpa sentuhan gincu. Segalanya sederhana tetapi sopan dan kemas. Beginilah dirinya. Dia akan tampil seadanya.
Hari ini dalam sejarah. Buat pertama kali sejak dewasa, dia akan duduk sama rendah dan berdiri tinggi di atas pentas bersama panel lelaki, bisiknya. Persediaan sudah diikhtiarkan sehabis daya. Moga segala yang telah dirangka akan kesampaian. Inilah masanya untuk membuktikan kemampuan.
Ya, Sumayyah boleh!
Sambil memandang cermin, dia menghembuskan keyakinan ke dalam dirinya sendiri.
“Pergh! Dah lawa dah tu.” Fatihah yang entah bila terpacul di depan pintu kamarnya mengejutkannya. “Kau belum cakap, mata orang dah tak berkelip tengok kau.”
Sumayyah senyum sambil berpaling. Usikan temannya ini memang nakal. Penampilan sesederhana ini bukan untuk menarik perhatian sesiapa. Malah dengan pakaian beginilah dia menghadiri kuliah di kampus. Cuma jubah yang dikenakannya pagi ini jarang-jarang dipakai.
Hakimah turut mengekori Fatihah ke kamarnya. Memandang dari bawah ke atas tanpa berkedip. Dan akhirnya tersenyum.
“Ada yang tak kena di mata kalian?”
“Okey. Cantik, menggoda, mantap,” balas Fatihah yang mengenakan tudung berwarna biru tua.
Sumayyah terpinga seketika, keningnya dikerutkan. Hakimah yang berpakaian serba hitam tergelak mendengar seloroh Fatihah.
“Err, cuba ulang sekali lagi,” Sumayyah bercekak pinggang. “Lain macam saja bunyinya.”
““Eh, kita ni dah lambat, Mai.” Fatihah mengambil peluang membetulkan tudungnya di depan cermin. “Kalau dah siap, jom kita pergi!”
“Lambat apanya? Ini dah kira awal dah ni.”
“Aku bukan apa. Tak elok buat orang tertunggu-tunggu. Ada orang tu dah tak sabar-sabar nak tengok cik abang. Kasihan dia….” Fatihah kelihatan menahan tawanya, sebelum menyambung, “Sebelum subuh lagi dia dah bersiap nak pergi.”
Hakimah berwajah merah padam pantas mengejar Fatihah yang terlebih dahulu melarikan diri. Namun ruang tamu rumah yang tidak sebesar mana memerangkap Fatihah. Gadis itu sedikit terjerit akibat cubitan bertalu-talu yang ditujukan ke rusuknya.
Sumayyah menggeleng melihat gelagat teman-temannya. Mengusik, bertengkar, bergurau, bertepuk-tampar, malah sesekali berkejaran. Keanak-anakan sebeginilah yang memupuk kemesraan sebenarnya. Pasti dia akan merindui suasana begini apabila tamat belajar nanti.
Sepuluh minit kemudian, mereka sudah melepasi Bab Gharbiy yang lengang. Kampus sepi sama sekali. Hanya kelihatan para pelajar Melayu yang berdedai-dedai menuju ke satu arah – Kulliyyah Tarbiyyah. Di sebelah kiri jalan, Dewan Konvokesyen. Beberapa meter di depan terdapat satu bulatan yang menjadi mercu tanda universiti ini. Di dalamnya tercacang binaan berona putih setinggi 10 meter berbentuk huruf Y yang bermaksud Yarmouk. Dan kebanyakan pelajar memanggilnya Bulatan Yarmouk.
Sumayyah tidak lupa melafazkan selawat – bekalan penenang hati, penguat semangat. Forum dijadualkan pukul sepuluh suku. Bermakna lima belas minit lagi acara yang cukup mendebarkannya akan berlangsung. Dewan Kulliyyah Tarbiyyah yang ditempah pihak PERMAYA sudah hampir sebulan makin karib. Jarang-jarang sekali pihak universiti membenarkan program pelajar diadakan di dewan ini. Biasanya kebanyakan program pelajar Malaysia bertempat di Dewan al-Kindi di Kulliyyah Lughah atau di Dewan al-Farabi berhampiran pintu gerbang Bab Syamaliy.
Mereka bertiga tiba di pintu utama dewan yang terletak di aras satu Kulliyyah Tarbiyyah. Dua buah meja disediakan untuk kaunter pendaftaran di kiri kanan pintu menjadi tumpuan beberapa pelajar yang mahu mendaftar masuk. Kaunter pendaftaran di sebelah kanan untuk siswi, di kiri untuk siswa. Marianis, Raihanah, Izzati dan beberapa exco siswi yang lain tampak sibuk menguruskan sesuatu. Fatihah menyertai mereka.
Beberapa rombongan pelajar yang dijemput dari Universiti Al al-Bayt di Mafraq, Universiti Jordan di Amman dan Universiti Mu’tah baru sahaja tiba. Mereka menyambut teman-teman yang jarang-jarang ditemui melainkan jika ada program-program besar seperti ini. Saling bertanya khabar dan bertukar cerita sementara menanti majlis dimulakan.
Sumayyah masuk ke dewan setelah menemui kenalan-kenalannya yang belajar di Universiti Mu’tah. Marianis dan Raihanah mengiringinya. Mereka duduk di barisan paling depan di sebelah kanan. Hampir tiga suku tempat duduk dewan yang berbentuk mudarraj ini telah dipenuhi pelajar. Di bahagian kiri dipenuhi siswa, manakala siswi di sebelah kanan. Para pelajar perubatan di Universiti Sains & Teknologi Jordan juga hadir.
Di pintu dewan sebelah kiri, Baihaqi dan Asyraf kelihatan mengiringi Ustaz Hakimi dan beberapa pelajar peringkat sarjana yang baru tiba. Majlis hampir benar bermula. Suara Muhaimin selaku pengacara meminta pelajar-pelajar yang berada di luar agar segera masuk.
Marianis menyentuh jemarinya. “Aku yakin kau dah bersedia melakukan yang terbaik.”
Sumayyah tersenyum, tetapi kanta matanya lebih tertarik menikmati latar belakang pentas yang dihias indah. “Aku cuba,” balasnya.
“Ada sedikit perubahan. Lutfi beritahu tadi, khabarnya Ustaz Badiuzzaman tak dapat hadir pada saat akhir,” Raihanah yang duduk di kirinya mencelah.

Mudarraj – tempat duduk bertingkat-tingkat

0 komentar: