6/22/2005

Siri 18

SEKADAR MAINAN MIMPI


“TAK usahlah tawaduk sangat, Sumayyah.” Wanita hampir sebaya ibunya itu memanggilnya dengan nama penuh.
“Ustazah yakin Sumayyah boleh. Suami ustazah pun kata macam tu.”
Melihat kesungguhan di wajah Ustazah Samihah membuatkan lidahnya kelu. Dia kehilangan kata beberapa ketika. Segala alasan yang difikirkan munasabah malam tadi bagaikan terlupa.
“Semua orang yakin dengan Sumayyah. Yalah, orang mengaji di Timur Tengah yang berceramah, tentu ramai yang pergi.”
“Saya ni bukannya pandai sangat bercakap, ustazah. Ilmu pun tak seberapa. Jauh sangat kalau dibandingkan dengan ustazah. Macam langit dengan bumi.”
Ustazah Samihah ketawa terpingkal-pingkal. Dia hanya senyum sumbing. Rasanya dia tidak berjenaka akan tetapi wanita ini tertawa.
“Sumayyah … Sumayyah. Kalau ya pun nak merendah diri, janganlah macam tu sekali.”
Dia menggeleng.
“Betul ni, ustazah. Karang, lain tajuk yang dibagi, lain pula yang saya cakap.”
Ustazah Samihah tergelak lagi. Sumayyah bertambah hairan. Apakah aku berseloroh?
“Tak usahlah risau, Sumayyah. Semua yakin kamu boleh. Pak Imam pun setuju sangat.”
“Saya tak berani nak kata setuju. Takut tak tertunai pula hajat ustazah,” tuturnya lembut. Dia terasa senyumnya semakin sumbing.
“Tak mengapa. Terpulang pada Sumayyah. Lambat lagi majlis tu. Sumayyah fikirlah dulu,” kata Ustazah Samihah sebelum beredar.
Sejak itu, bayangan wajah Ustazah Samihah yang begitu mengharap kerap datang menekannya. Malah kadang-kadang dia terasa gelak tawa ustazah tadi seperti mengejeknya pula.
Sesekali terasa seolah-olah dirinya semakin kerdil jika dibandingkan dengan wanita itu. Biarpun cuma guru sekolah agama, tetapi peranannya cukup aktif. Pelbagai aktiviti muslimat di mukim ini di bawah pimpinannya. Suaminya Ustaz Ibrahim pun begitu. Sumbangan mereka berdua terhadap perkembangan rohani dan mentaliti penduduk kawasan ini memang tidak dapat dinafikan.
Sedang aku ni siapa? Apa amal Islami yang telah kusumbangkan? Apa peranan yang telah kumainkan demi menjadikan Islam sebagai cara hidup masyarakat? Apa … argh!
Pertanyaan yang bertalu-talu itu juga bagaikan mengejek-ngejek. Tidak semena-mena dia terasa gegendangnya berdengung, lalu menekup kedua-dua telinga. Namun, satu suara yang mulanya sayup-sayup semakin lama semakin kuat mulai menerjah pendengarannya.
“Oleh itu hendaklah keluar dari tiap-tiap golongan di kalangan mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu agama, supaya memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”
Dia pernah mendengar ayat yang dibacakan tadi.
Sungguh. Dia pernah mendengarnya. Tapi di mana?
Suara itu bergema beberapa kali memenuhi ruang kamarnya, hingga dia ingat setiap satu kalimat yang diperdengarkan. Bagai ada satu kelegaan sedikit demi sedikit menguasai hati. Perlahan-lahan, dalam hatinya, dia membisikkan satu jawapan buat Ustazah Samihah nanti. Moga ini adalah langkahnya yang pertama untuk terlibat lebih giat dan istiqamah dalam bidang dakwah seperti ustazah dan suaminya.
Dan petang itu juga, sekali lagi Ustazah Samihah muncul di rumahnya. Dia membiarkan umi dan abah melayan ustazah sementara dia ke dapur. Apabila dia kembali ke ruang tamu sambil menatang dulang berisi minuman, Perodua Kancil milik Ustazah Samihah baru sahaja meluncur keluar dari halaman rumahnya.
“Cepatnya ustazah balik, umi.”
Umi mengangguk. “Katanya nak cepat,” balas umi, senyum.
Abah yang sedang membaca akhbar memandangnya dari hujung rambut ke hujung kaki beberapa kali sebelum tersenyum meleret. Dia tidak mengerti makna senyuman itu.
Kemudian abah memandang wajah umi. Masing-masing saling berpandangan. Lama. Sama-sama tersenyum. Dan akhirnya meletus ketawa besar hingga menyenakkan perut.
“Kenapa ni, umi, abah? Tak fasal-fasal ketawa.”
Dia kehairanan. Sungguh-sungguh menghairankan. Abah dan umi tidak pernah dilihat seumur hidupnya tertawa seteruk ini. Apa dah jadi?
“Ustazah tadi sebenarnya nak jumpa Mai. Dia nak tanya Mai, nak tahu keputusan Mai. Tapi tiba-, entah kenapa, dia terasa segan pula,” terang umi setelah ketawanya reda.
Dia menyeluruti wajah uminya. Umi senyum lebar. Dia menyoroti tampang abah. Gelak abah masih bersisa.
“Segan? Nak segan apa?” Hairannya sudah bertukar menjadi takjub. “Er, umi tak cakap yang saya dah setuju?”
“Hai … belum apa-apa Mai dah setuju?”
Abah dan uminya tertawa lagi. Pelik sungguh. Rasanya Ustazah Samihah juga asyik tertawa semasa bertemunya tempoh hari. Apakah abah dan uminya juga diresapi sindrom yang sama? Ah, sudah!
“Yalah. Memang saya dah setuju untuk jadi penceramah Maulidur Rasul tu nanti,” jawabnya tenang. Namun rasa hairannya terus meningkat.
Abah dan uminya berpandangan sekali lagi. Senyuman yang senantiasa terukir di bibir keduanya amat sukar ditafsirkan.
“Mai, ustazah tadi datang bukan untuk tanyakan itu.” Abah mengesat air matanya yang terkeluar akibat tergelak besar.
Dia makin tidak faham. Senyum meleret, tawa besar dan segala tindak-tanduk mereka maha menghairankannya.
“Habis tu?” Matanya tunak memandang abah.
“Dia datang nak risik engkau untuk suaminya!”
“Abaahh!!”
Terasa bahunya digoncang.
“Kak Mai, bangun kak! Kak Mai!”
Sumayyah terpinga-pinga. Membuka mata. Wajah seorang gadis kelihatan samar-samar. Di mana dia? Mana abah, mana umi?
Astaghfirullahalazim!
Dia malu dalam pisat. Menggeleng. Malu dengan Izzati yang terpaksa mengejutkannya. Malu mengingatkan mimpi yang baru diharungi sejenak tadi. Lantas beberapa kali mengulang istighfar.
Ya Allah!
Bagaimana mahu kutakbir mimpi seumpama ini. Di dalamnya pelbagai: Ada nasihat dan panduan. Ada pengajaran. Malah ada yang tak masuk akal dan kecindan melucukan. Mimpi yang rencam.
Wajahnya ditekup dengan tapak tangan.
Istighfar berterusan.

0 komentar: