6/17/2005

Siri 17

MIMPI YANG PANJANG


KOKOKAN ayam begitu nyaring. Fajar sudah menyingsing. Azan yang bergaung dari masjid berdekatan mendayu-dayu. Lain benar azan subuh kali ini. Sungguh merdu dan berlagu. Ini bukan suara Bilal Saad. Ini macam suara Bilal Haji Minhad. Ya, suara Bilal Haji Minhad.
Puas menoleh sekelilingnya, barulah dia tersedar di mana dia berada. Sukar juga untuk dia percaya. Tetapi itulah sebenarnya. Dia memang sudah berada di rumah!
Selesai solat subuh, terus saja dia ke dapur. Umi yang baru keluar dari bilik air terkejut melihat dia sedang menyediakan sarapan. Wanita yang sangat dikasihi itu menggosok-gosok matanya beberapa kali. Terkesip-kesip seketika. Apakah umi juga sepertinya, sukar mahu percaya? Umi, ini Sumayyah. Anak bongsumu yang kaurindui ini telah pulang!
Baru tengah hari semalam dia tiba. Tiada seorang pun ahli keluarganya menyangka kepulangannya yang semengejut ini. Tiba-tiba saja sudah tersembul di depan pintu. Gempar satu keluarga. Tidak henti-henti umi menceceh. Merungut kerana tidak diberitahu lebih awal. Kak Long dan Kak Ngah bising juga. Dia cuma tersengih. Memang sengaja dia mahu bikin kejutan.
“Hai … maknya. Beruntung sungguh awak. Tak payah bangkit awal-awal lagi. Ustazah dah ada.”
Abah seperti selalu gemar mengusik. Dia memandang uminya yang masih bertelekung sambil mengacau kopi di dalam kole. Wajah ibunya cukup berseri-seri. Memang sejak semalam bibir umi tak lekang senyum.
“Umi bahagia Mai balik juga. Dah rindu benar umi ni.”
“Mai bukan tak mau balik, umi. Tapi peluang merantau di negara orang bukan datang selalu.”
Begitu jawapannya tatkala umi mendakapnya sesampainya di rumah. Rindu itu terlerai jua. Dan mereka sama-sama menangis hingga basah lencun tudungnya yang labuh santak ke pinggul itu. Dia nampak mata abah kala itu berkaca juga. Sebak beraduk suka agaknya.
Bagaimanapun, petang itu abah memanggilnya ke anjung rumah. Ada perkara yang hendak dibincangkan katanya. Umi pun sudah menanti sama. Di tangannya ada kain yang sedang dijahit.
“Begini, Mai. Tadi abah terserempak dengan Ustazah Samihah di pekan. Dia berkirim salam.”
Dia menjawab salam itu.
“Lepas tu, dia ada juga tanyakan Mai.”
Dia terdiam setagal. Bertanya tentang aku? Dadanya berdebar-debar. Dia kenal Ustazah Samihah malah semua anggota keluarganya. Ustazah itu pernah mengajarnya semasa dia bersekolah agama di pekan Senggarang dulu.
Dia memandang wajah kedua-dua ibu bapanya bersilih ganti. Suaranya tidak keluar. Degupan jantung, entah mengapa, bagai sedang bertempur.
“Ustazah nak minta Mai tolong gantikan dia mengajar malam esok.”
Terkedu dia mendengarnya. “Mai?”
“Ha-ah.” Abah mengiyakan. “Ustazah nak ke KL esok. Ziarah saudaranya sakit. Tak ada siapa nak gantikan tempatnya.”
“Jangan abah. Mai tak sanggup.”
Dia menggeleng. Abah menghirup milo yang asapnya kian menipis. Umi mulai leka dengan jahitannya.
“Kenapa pula, kan Mai dah belajar itu semua?”
“Mai … Mai tak bersedia lagi. Tak sampai seminggu balik, takkan dah nak mengajar orang.”
Abah mengangguk-angguk. Barangkali alasannya itu berjaya memecah tanggapan awal abah. Dia menarik nafas. Lega dengan tindak-tanduk orang tuanya.
Sementara menanti matanya terlelap malam itu, dia teringat kata-kata abahnya di anjung tadi. Entah mengapa dia rasa malu sendiri. Dia sedar abah menaruh harapan besar padanya. Dalam tiga adik-beradiknya, dialah satu-satunya yang belajar jurusan agama. Kak Long dan Kak Ngah dihantar ke sekolah biasa.
Mengajar orang-orang kampung? Suatu perkara yang jarang terlintas di akalnya sebelum ini. Dia benar-benar tidak menyangka Ustazah Samihah bertanyakan dirinya untuk tujuan sedemikian. Dia agak rapat juga dengan keluarga pasangan Ustazah Samihah dan Ustaz Ibrahim itu terutama Aliyah, anak gadisnya yang masih belajar di Jepun. Dan anak sulungnya Luqman Hakim, kalau tidak silap sedang menyambung ijazah kedua di UKM, pernah sekelas dengannya semasa mengambil tingkatan enam dulu. Itulah sebabnya dia terkejut benar bila Ustazah Samihah bertanyakan dirinya.
Dalam begitu, telinganya menangkap sayup-sayup suara orang berbual. Pasti abah dan umi belum tidur lagi. Baru dia teringat abahnya baru pulang bermesyuarat di rumah pak imam. Perlahan-lahan dia menguak daun pintu kamarnya, dan melangkah segontai mungkin ke ruang tamu.
“Abang nak tolak cadangan pak imam tadi. Tapi, lepas tu abang terfikir, apa salahnya anak kita yang beri pengisian.”
Langkah dia terhenti. Tidak semena-mena dadanya berdebar kencang.
“Isy … mau ke si Mai tu?” Umi bertanya separuh ragu.
“Alah … dia mengaji agama tinggi-tinggi. Bila lagi nak diguna ilmu tu?”
Dadanya yang tadinya berombak kini bagai dihentam badai tsunami. Dia terus memasang telinga.
“Lagipun ceramah Maulidur Rasul ini hanya untuk orang perempuan saja. Dua minggu lagi. Apa nak dibimbangkan?”
Sekali lagi dia terkedu. Dia sudah dapat menangkap tuju hala percakapan bapanya. Lantas berpatah balik ke bilik dan merebahkan jasadnya di tilam.
Kacau!
Dia menggetap bibir. Dia tidak tahu bagaimana untuk mengelak lagi. Kelas agama tempoh hari sudah ditolak. Tetapi menolak permintaan kali ini memang tidak wajar!
Esoknya, dia benar-benar terkejut. Sebaik sahaja abah dan umi ke pasar, Ustazah Samihah muncul di halaman rumahnya. Dia mencium tangan dan kedua-dua pipi wanita yang pernah mengajarnya mengenal ilmu tauhid dan fardu ain. Wajah ustazah berseri-seri. Dadanya pula mulai bergetar.
“Saya bukan tak mau ustazah. Tapi rasa macam tak layak saja.”
Betul jangkaannya, Ustazah Samihah datang membawa hajat. Sama seperti kata-kata abah. Hajat itulah yang sangat menggusarkan hatinya.

0 komentar: