6/09/2005

Siri 16

TERUJA AROMA BUKU


TELEVISYEN masih menyala. Terasa bosan dengan rakaman penuh perbahasan di Parlimen Jordan yang meleret-leret, dia bertukar ke saluran tiga. Siaran langsung acara perseorangan wanita kejohanan tenis Terbuka Perancis sedang berlangsung. Dia menggeleng beberapa kali. Setelah berasa takjub dan malu dengan pakaian pemain tenis wanita yang semakin seksi, dia akhirnya ke TV2 Syria yang menyiarkan program soal jawab agama menerusi telefon bersama ulama.
Fatihah menghilang ke rumah sebelah sejurus makan malam tadi. Menemani Wafa’ katanya. Hakimah yang baring mengiring satu meter di kanannya, sudah suku jam terlena - membiarkan televisyen pula menjadi penontonnya. Hanya dia dan Izzati yang masih bertahan. Membaca bersandarkan dinding sambil sesekali membiarkan mata yang letih bersantai di skrin.
Buatlah minuman yang sedap daripada limau nipis yang masam.
Sumayyah meletakkan penanda bukunya di muka surat 27 buku La Tahzan (Jangan Bersedih). Dia memejamkan matanya sambil mendekatkan kedua-dua muka surat buku yang ternganga ke hidungnya. Menghidu-hidu seketika. Aroma menyenangkan daripada kertas buku membuatkannya lebih teruja untuk membaca. Memang setiap buku ada baunya yang tersendiri.
Sejak Prof. Abu Harith menyarankannya membaca buku ini beberapa hari lalu, perlahan-lahan dia cuba menelaahnya. Walaupun masa kian menghimpit – diasak forum dan tarikh peperiksaan – dicapainya juga La Tahzan setiap kali usai solat dan membaca al-Quran. Barangkali ada kelebihan menakjubkan milik buku ini yang belum kelihatan.
“Bacalah. Ia bagi saya cukup luar biasa. Jika tidak, masakan ia diterjemah ke pelbagai bahasa dan dicetak berulangkali,” kata Prof. Abu Harith, cuba meyakinkannya.
“Buku apa tu, kak, bak Zati tengok.” Gadis Kuala Kangsar itu bertanya melihatkan dia begitu enak mencium bau buku. Buku sirah yang menjadi muqarrar kuliahnya diletakkan ke riba. “Macam best saja.”
La Tahzan berpindah tangan. Izzati lekas membaca mukadimahnya sesudah meneliti sekali imbas judul dan nama pengarang yang bertinta emas. Kemudian dia menyelak-nyelak halaman buku setebal 508 muka surat itu, barangkali mencari petikan yang dirasakannya menarik. Matanya menemui sesuatu, lantas Izzati membaca:
Jangan berdukacita dengan ujian dan cubaan Allah. Lantaran boleh jadi ia satu hadiah atau pemberian.
Izzati kemudiannya membelek halaman yang lain. Sepotong hadis Rasulullah dilafaznya:
“Alangkah peliknya keadaan orang mukmin itu. Semua perkaranya adalah baik.”
Izzati menghela nafas, mengangkat buku itu lebih tinggi. Manakala Sumayyah segera berselawat. Tidak mahu menjadi sebakhil-bakhil manusia yang sengaja tidak berbuat demikian apabila nama Rasulullah disebut.
Kemudian Izzati menyambung:
“Jika mendapat kebaikan, lalu dia bersyukur, maka itu menjadi satu kebaikan baginya.”
“Dan jika ditimpa musibah, lalu dia bersabar, maka itu juga menjadi satu kebaikan baginya.” Sumayyah pula menyambung hadis yang sudah dihafaznya.
“Wah, bagus buku ni,” puji Izzati. Buku itu disua ke hidungnya. Turut menghidu.
“Prof. Abu Harith yang suruh akak baca,” ujar Sumayyah. “Katanya, ini buku terlaris di Timur Tengah.”
“Dah lama beli?”
“Tahun lepas. Tapi tak habis-habis lagi. Elok juga rasanya dibaca. Lagipun akak tengah risau mengingatkan forum lusa ni.”
“Apa nak dirisaukan, kan akak dah sedia?”
Buku terbitan Dar Ibn Hazm dikembalikan ke tangannya. Dia tidak terus menyambung pembacaan. Matanya masih menanggapi program soal jawab agama yang disiarkan secara langsung.
“Entahlah, secara mentalnya belum. Siapalah akak jika nak dibandingkan dengan Ustaz Hakimi dan Ustaz Badiuzzaman tu.”
Hakimah tersedar daripada lenanya. Bingkas, melangkah perlahan-lahan dan hilang dalam kamar.
“Anggap biasa saja, kak. Inikan pentas kita untuk berlatih. Biasalah kalau ada kurang di sana sini. Kita masih di peringkat belajar. Di Malaysia nanti medan praktiknya.”
Sumayyah meyeluruhi wajah Izzati. Kata-kata gadis ini begitu matang kadangkala. Di mata gadis ini, Sumayyah perasan masih ada keinginan untuk menyelami lebih dalam rahsia hatinya. Dalam banyak perkara, dia berkongsi suka-duka dengan Izzati, Hakimah dan Fatihah. Tetapi mengapa tidak kali ini?
“Ustaz berdua tu khabarnya dah biasa berceramah di Malaysia. Tentu menarik bila digandingkan dalam forum nanti.” Izzati menokok.
Sumayyah mengangguk. Dia menyambung membaca. Tetapi perkhabaran yang dibawa Izzati tadi sedikit sebanyak menambah kerisauannya. Tidak semena-mena dia berasa dirinya kecil. Tidak, tidak, dia mesti yakin. Yakin dengan kebolehan dan kemampuan diri sendiri.
“Bagaimana PERMAYA? Ada isu hangat?” Dia sengaja bertanya situasi semasa. Selalu juga soalan sebegini ditanyakan kepada Fatihah. Manalah tahu, kalau-kalau ada isu-isu tempatan mahupun perkembangan terkini yang elok disentuh nanti.
“Okey saja. Tak ada masalah besar. Kenapa, akak ada dengar apa-apa?”
“Tak ada. Saja bertanya.”
“Cuma dua tiga hari ni, ada exco siswa bising. Katanya, ada siswi senior keluar malam seorang diri pada waktu larangan.”

Sumayyah menelan liur. Sedikit tidak keruan. Akukah yang dimaksudkan itu? Apakah ada yang melihat perbuatanku tempoh hari? Ya Allah, jauhkanlah!
“Kenapa kak?”
Dia menggeleng. Hati berasa kurang enak. Kalau ada yang melihat anak muda berkopiah ala-Raihan itu menghantarnya sampai ke rumah, pasti lebih kecoh. Moga tiada yang melihat. Ya Allah, hindarkan aku dari fitnah!
Program soal jawab agama tamat, digantikan dengan klip video lagu popular Habibi Ya Nural ‘Ain dendangan Amr Dhiyab yang diiringi para penari wanitanya yang cantik-cantik belaka. Sumayyah mengeluh. Penonton baru hendak insaf dan menyerap ilmu akhirat, disogok pula dengan nyanyian melalaikan. Celaru, desis hatinya.
Malam sudah berlalu separuh. Izzati dilihatnya sudah tersengguk-sengguk. Televisyen dipadamkan. Sumayyah mengajak Izzati masuk tidur di kamarnya. Matanya sendiri semakin sukar disengkang. Sebentar kemudian dia sudah terlelap.

Muqarrar – sukatan pelajaran

0 komentar: