TIDAK SEMUDAH YANG MAKRUF
WAJAH Izzati berubah. Tampak kurang percaya.
“Kan orang hadiahkan kitab ni? Tak baik akak bagi kat Zati.”
“Akak ada dua. Kebetulan dapat hadiah satu lagi.”
“Kitab tu hadiah orang. Apa salahnya disimpan?”
Sumayyah meneruskan kerjanya sambil melutut. Kitab-kitab yang masih berbaki diangkat ke mulut kotak yang bersaiz 20 x 60 cm, sebelum disusun di dalam kotak setinggi satu meter itu.
Izzati masih tercegat memandangnya tidak puas hati. Terdengar gelak tawa Fatihah dan Hakimah yang enak bercanda di dapur.
“Akak belum jawab soalan saya.”
Sumayyah diam. Izzati menghabiskan saki-baki kitab yang masih berdiri di rak. Mengangkutnya dua kali sebelum duduk bertinggung semula. Lagu “Ashabul Kahfi” pula mengambil giliran berkumandang.
“Akak belum jawab soalan Zati sejak hari tu lagi.”
Sumayyah memandang raut wajah Izzati. Gadis ini seperti Hakimah – pandai memujuk dan mendesak. Memang sejak di perpustakaan tempoh hari dia membiarkan Izzati dengan tanda istifham. Rasanya buat sementara ini dia masih upaya bertahan. Biarlah segalanya terus menjadi rahsia.
“Tiada yang menarik untuk Zati tahu,” luah Sumayyah perlahan. Dia menggeleng. Kedukaan itu terlalu kecil baginya. Biarlah luka yang ditanggung tidak dikongsi sesiapa.
Suara Fatihah memanggil mereka berdua dari ruang tamu mematikan pertanyaan Izzati seterusnya.
“Jom makan!” ajak Sumayyah, seraya memegang bahu gadis berkulit hitam manis itu. “Bulan depan Zati kena ganti tempat akak.”
Mereka berdua melangkah ke ruang tamu. Hakimah dan Fatihah memang sudah menunggu. Setalam nasi putih yang masih berasap diletakkan di atas tikar. Di sisinya ada dua mangkuk yang berisi gulai ayam dan kobis masak lemak, serta sepiring sambal belacan. Semuanya merangsang selera.
“Wah, sedap Kak Kim masak malam ni,” puji Izzati.
“Istimewa untuk bakal ahli baru,” balas Hakimah lalu menarik Izzati duduk di sebelahnya.
Sejurus membaca doa makan, mereka menikmati makanan yang terhidang. Amalan makan secara berjemaah menggunakan talam begini sudah menjadi tradisi pelajar Malaysia di sini demi mengeratkan silaturrahim sesama ahli rumah. Generasi pelajar yang terdahulu mewariskan amalan yang murni ini kepada generasi yang ada sekarang.
“Jangan malu-malu, Zati,” tegur Fatihah, sengaja mengisi suasana. “Kalau tak mau anggap macam rumah sendiri, buatlah macam di rumah mak mertua.”
Gelak tawa tercetus seketika.
“Patutnya ajak Nazura sekali. Baru cukup kourum ahli rumah kita,” kata Sumayyah. Matanya sesekali melirik ke televisyen. Amr Khalid, penceramah muda terkenal dari Mesir sedang berbicara.
“Dah ajak dia tadi. Tapi malam ni Zura ke Sweileh, ziarah sepupu katanya,” jelas Izzati. Nazura juga sepertinya. Bakal menggantikan tempat Hakimah.
Sambil mengunyah, Fatihah sempat mengelih jam di dinding. Dia nampak terkejut.
“Alamak! Dah pukul sepuluh. Tentu Wafa’ tertunggu-tunggu. Dia ajak aku temankan dia malam ni.”
“Alah … bukannya jauh. Pejam mata pun boleh sampai,” balas Sumayyah. “Muna dan Yusra ke mana, sampai Wafa’ suruh kau temankan?”
“Muna katanya balik ke Amman. Yusra aku tak tahu.”
“Kesian Wafa’ selalu kena tinggal sorang-sorang. Dahlah dia tengah bersedih,” kata Hakimah bernada simpati.
“Eh, aku geramlah tengok Yusra akhir-akhir ini.” Fatihah berhenti mengunyah seketika untuk bersuara.
“Apasal? Dia ada temberang kau ke?” tanya Sumayyah. Mindanya lekas mengimbas wajah Yusra yang bermata kuyu.
“Dia hutang kau tapi tak nak bayar kot.” Hakimah pula meneka. Izzati sekadar memasang telinga.
“Bukanlah. Aku sebetulnya dah lama perhatikan menda ni. Naik meluat pula. Kalau selalu melintas dekat kafetaria depan Kulliyyah Lughah, kalian akan nampak dia buat apa.”
“Ha, dia buat apa? Di situ kan banyak bunga?” Izzati mula tertarik untuk sama-sama berbicara.
Fatihah mendekatkan jari telunjuk kirinya ke jari telunjuk kanannya yang masih basah dengan nasi. Masing-masing spontan mengangguk tanda faham, kemudian sama-sama menggeleng.
“Dengan siapa?” Sumayyah bertanya sebelum menyuap rezekinya ke mulut.
“Kata Muna, pelajar Ekonomi. Dia ada sebut namanya, apa tu. Alah, apa nama tu … Fehmi. Ya, kalau tak silap aku, Fehmi nama budak tu.”
Hakimah menambah nasi. Izzati menyudu kuah gulai yang masih berbaki separuh. Beberapa ketul daging ayam dicedok sama ke dalam talam.
“Lubna budak Kulliyyah Qanun yang duduk aras tiga di atas rumah kita ni pun dua kali lima. Selalu sangat aku nampak bersunyi-sunyi tepi Dewan Konvo,” lapor Hakimah.
“Kelmarin, Wafa’ dan Muna mengadu pada aku. Pasal Yusralah. Mereka minta kita tegur dia. Kalau ya pun nak bercinta, janganlah berkepit macam belangkas, janganlah berdua-duaan di taman bunga. Mereka berdua nak tegur, takut Yusra merajuk dan terasa hati,” bilang Fatihah. Kura tangan kirinya disua ke hidung bagi menghalang hingus cair yang hampir meleleh akibat penangan sambal belacan.
“Kita ni Melayu, takkanlah dia nak dengar teguran kita.”
“Habis tu, takkan kita nak biarkan saja?” Fatihah tidak bersetuju dengan tanggapan Sumayyah. “Kalau setakat mereka berkepit di kampus tahanlah Iagi, tapi kalau melarat sampai ke rumah, ia dah jadi bala.”
“Bala Allah tak menimpa seorang dua. Kita yang tak mencegah ni pun kena tempiasnya sama. Lagi pula tinggal satu bangunan. Kalau ditakdirkan bangunan ni tumbang disebabkan maksiat yang dia orang buat, kita pun ranap sama,” tokok Hakimah menyokong pendapat Fatihah.
“Soalnya siapa yang sanggup nak pergi tegur mereka?”
Izzati memandang wajah Fatihah. Fatihah memandang Hakimah sebelum pandangannya beredar menghampiri Sumayyah. Masing-masing bertukar pandangan beberapa detik.
“Engkaulah yang paling layak, Mai. Aku nampak antara kita bertiga, Yusra agak segan dan hormat dengan kau. Kau pun ada bantu dia dulu.”
Sumayyah terdiam. Sekali lagi dia membayangkan wajah bujur milik Yusra. Bagaimana dia mahu menegur gadis yang sedang mabuk kasmaran itu? Apakah dia akan dimaki hamun atau sebaliknya? Dia mengakui kata-kata seorang gurunya: Mencegah yang mungkar itu lebih berat daripada mengerjakan yang makruf.
“Insya Allah.” Sumayyah membasuh tangan sebaik sahaja selesai menjilat sisa-sisa makanan di jemarinya.
Dia tersenyum memandang Fatihah. Barangkali isu amar makruf nahi mungkar juga boleh dijadikan bahan bicaranya dalam forum Sabtu ini.
Membuat keputusan
4 years ago
0 komentar:
Post a Comment