JADILAH WANITA SOLEHAH
SKAF biru tua yang melitupi kepalanya ditanggalkan. Rambutnya yang mencecah bahu dibiarkan lepas bebas. Masih terasa panas, lalu dia meregangkan sedikit jendela kaca kamarnya. Biar angin malam musim panas yang dingin dapat menerobos masuk. Namun, jaring-jaring halus di sisi jendela yang berfungsi memerangkap debu tidak diusik.
Sambil melepaskan lelah di dada, seketika dia memerhatikan teman-temannya bekerja. Masing-masing sudah kurang bersuara setelah kemengapan menguasai pergerakan. Bunyi Hakimah menumbuk sambal belacan di dapur kedengaran jelas. Dia memainkan kaset. Suara Raihan mengalunkan lagu “Tihamah” mengisi ruang kamarnya. Sejurus meneguk segelas air mineral, dia menyambung kerjanya semula.
Tubuh mulai terasa berlengas. Izzati yang datang membantu terus menurunkan kitab-kitab yang tersusun di rak. Fatihah pula memasukkan kitab-kitab ke dalam kotak-kotak yang dibekalkan. Dan Sumayyah sendiri membalut kotak-kotak yang sudah penuh muatannya dengan pita pelekat. Sudah lebih setengah jam mereka bertiga bertungkus-lumus menyiapkan kotak-kotak yang akan dihantar secara kontena ke Malaysia. Tinggal dua kotak yang masih berbaki.
Seingatnya, tinggal dua hari saja lagi tempoh yang ada. Malam ini malam Jumaat. Esok cuti. Pagi lusa waktu programnya. Kebimbangan sentiasa meningkat walaupun persediaan sudah dibuat. Cuma keyakinannya belum berada di tahap maksimum. Ditambah kata-kata Lutfi kala berpapasan dengannya pagi tadi.
“Forum kali ni agak besar. Kita promosi hingga ke Mafraq, Amman dan Mu’tah.”
Ya Allah! Bagaimana harus aku berhadapan dengan audiens yang besar dan bijak pandai belaka?
Sumayyah mengerling ke arah nota-nota di atas meja tulisnya. Beberapa buah buku dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab yang menjadi rujukan juga tersusun di situ. Sudah tiga hari dia menelaah bahan-bahan tersebut. Segala isi dan maklumat yang dirasakan sesuai dipetik sebelum disalin semula ke dalam notanya.
Mahasiswa Timur Tengah: Peranan dan Cabaran dalam Era Globalisasi.
Begitu tajuk yang ditaklifkan. Bunyinya enteng. Tetapi amat mustahil bagi dirinya mengupas mauduk itu dengan tangan kosong. Tegal itulah, tidurnya tidak berapa lena sehari dua ini.
Kadang-kadang dia rasa geram juga kerana dipilih menjadi ahli panel forum kali ini. Banyak masanya yang terkorban semata-mata untuk mencari bahan sedangkan peperiksaan akhir makin mendekat. Bukan dia tidak pernah berpidato, berforum dan seumpamanya, tetapi yang kali ini lain benar rasanya. Dengan kehadiran pihak siswa dan kemungkinan juga para pelajar sarjana, entah mengapa dia terasa dirinya kerdil. Hendak menolak, rasa tidak tergamak pula menghampakan kawan-kawan. Lagipun, dia berasa inilah baktinya yang terakhir untuk PERMAYA – persatuan yang didukunginya sejak tahun pertama lagi.
Baginya, persatuan ini terlalu berjasa kepadanya. Dengan penglibatannya dalam PERMAYA, dia dapat belajar berorganisasi, beramal Islami, membina hubungan silaturrahim, malah lekas mematangkan dirinya. Daripada menjadi AJK Lajnah meningkat kepada Timbalan Exco Lajnah Ilmiah sehinggalah bergelar Timbalan Ketua Siswi, dia merasakan dirinya sangat intim dengan persatuan ini. Biarlah forumnya kali ini sebagai penutup tirai hubungannya dengan PERMAYA.
“Jadikan forum terakhir ini sebagai kenang-kenangan bila enti dah habis belajar nanti.” Suara Lutfi pagi tadi masih terngiang-ngiang.
“Kenangan-kenangan juga. Soalnya, ana rasa tak layak bercakap depan audiens siswa yang hebat-hebat ni.”
“Masakan tak layak. Ilmu seseorang bukan diukur mengikut jantina. Ana yakin, Ustazah Sumayyah boleh.”
Betapa lembutnya kalimat itu. Akhir-akhir ini, dia terasa lelaki berkaca mata itu begitu baik terhadapnya. Kalau dulu, mereka berdualah yang sering memanaskan suasana mesyuarat mempertahankan pendapat dan hujah masing-masing. Tetapi kini, segalanya bagaikan berubah sama sekali.
Helo Sumayyah, jangan mudah terpesona dengan tutur halus lelaki! Pesona itulah yang mengecewakanmu beberapa hari lalu. Dia gesit mengingatkan dirinya sendiri.
Sumayyah terbersin dua kali. Bau masakan Hakimah mengganggu deria hidunya. Perut mulai terasa lapar. Lazimnya mereka makan malam sebelum Maghrib, tetapi malam ini ia disediakan agak lewat memandangkan petang tadi Hakimah dan Fatihah ada muzakarah ilmiah di Bait Manna Salwa.
Sebuah kotak lagi selesai dibalut. Pita pelekat sudah habis dua gulung. Dua rak kitab yang setiap satu mempunyai empat tingkat hampir kosong. Hanya tinggal beberapa buah lagi yang belum diturunkan Izzati. Fatihah keluar menyertai Hakimah menyiapkan hidangan makan malam di dapur. Lalu Sumayyah pula mengambil tugas memasukkan kitab ke dalam kotak yang terakhir. Cadangnya, sebelum peperiksaan bermula, dia akan menyerahkan kotak-kotak itu kepada ejen yang akan menguruskan penghantarannya ke tanah air.
Rasa tidak sabar untuk pulang sesekali melonjak. Khabar apa agaknya abah dan umi di Senggarang? Lama juga dia tidak menelefon mereka mahupun chatting dengan Kak Ngah. Tiada kesempatan untuk singgah ke kafe siber. Namun menjadi kelazimannya, tatkala menjelang peperiksaan dia akan menghubungi kedua-dua orang tuanya, memohon doa restu.
Terasa lenguh menyusun, Sumayyah mendongak. Dia melihat Izzati sedang berdiri di sisi rak kitab. Ralit membaca sesuatu dalam kitab yang dipegangnya.
“Zati baca apa tu?” tegur Sumayyah.
Izzati tersenyum meleret. Merapati Sumayyah sebelum bertinggung di sisinya.
“Zati tengok ini.” Jemari kanan Izzati menyelak helaian pertama kitab itu.
Sumayyah membaca baris-baris tulisan Jawi yang tertera di situ. Kemudiannya memandang Izzati yang menanti reaksinya. Dia gagah senyum sebelum mengambil kitab berkulit hitam di tangan Izzati.
Kitab itu diselak-selaknya beberapa kali. Tiada apa-apa yang ditemui. Dia ulang senyum. Kitab berjudul Kuuni Mar’atan Solihatan (Jadilah Wanita Solehah) itu pemberian Afnan semasa dia ke Mesir dulu. Dia tidak mahu menyimpan kitab yang dihadiahkan itu lagi.
“Kalau Zati mau, ambillah.” Sumayyah menawarkan, lalu kitab itu diserahkan kembali ke tangan Izzati.
Mauduk – tajuk, topik
Taklif – tanggungjawab
Membuat keputusan
4 years ago
0 komentar:
Post a Comment