5/14/2005

Siri 13

DEBU-DEBU SEJARAH

“BAGAIMANA keadaan di Baghdad sekarang?” sambungnya lagi. “Bagaimana keadaan kota-kota Islam seperti Basrah, Kufah, Karbala dan Fallujah?”
Tiada sesiapa mahu menjawab soalan itu walaupun mereka tahu. Biar Dr. Muhammad yang menyahut sendiri lontaran soalannya.
“Dengan alasan mahu membasmi keganasan, Amerika sewenang-wenangnya menyerang Afghanistan, disusuli pencerobohan ke atas Iraq yang kononnya memiliki senjata pemusnah. Lalu Baghdad dibedil tanpa sebarang sebab mahupun bukti yang kukuh.”
Sumayyah menghela nafas panjang. Telinganya mendengar, tetapi benaknya berterusan menerima fakta dan membuat kesimpulan. Tiada yang tidak benar dalam kata-kata itu. Itulah situasinya, itulah realitinya yang dihadapi umat Islam. Pahit dan amat menyedihkan. Payah untuk ditelan.
“Nah, sudah jelaslah di sini, siapakah pengganas yang sebenar?” tanya Dr. Muhammad beberapa ketika kemudian.
“George Bush!” jawab sebahagian pelajar.
Ada juga yang menjawab, “Amerika!”
“Siapakah yang mendalangi kejahatan Amerika ini?”
“Yahudi!”
“Habis, mengapa kita masih lagi duduk berdiam diri? Mengapa kita masih lagi saling salah-menyalahi, sibuk tuding-menuding jari, malah menuduh orang Islam pula sebagai pengganas? Walhal pengganas yang sebenar-benar ganas adalah Amerika Syarikat sendiri.”
Wajah Dr. Muhammad yang cerah bertukar menjadi kemerah-merahan. Keseriusannya ketara.
“Apabila tentera penceroboh kuffar melancarkan serangan mereka pada Mac 2003, segala-galanya sudah menjadi debu-debu sejarah. Kita kini dijajah. Negara Iraq yang bersejarah dan menjadi kebanggaan kita kini dijarah dan diperlakukan sesuka hatinya oleh musuh-musuh Islam. Lantas menghumban maruah umat Islam ke tahap yang paling rendah.”
Dewan masjid bertukar suasana. Jika tadi suara Dr. Muhammad agak lantang, tetapi kini sedikit mendatar dan sendat emosi. Barangkali perasaannya tambah tersayat apabila terkenangkan bumi Iraq yang didiaminya sekian lama. Tempat sakit lagi dikenang inikan pula tempat belajar.
“Setelah kita kehilangan Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa pada 1948 kepada Yahudi, kini dua lagi negara umat Islam terlepas ke tangan kuffar. Dan Iraq terutamanya, memang sudah lama menjadi sasaran Barat – kaya dengan hasil minyak, negaranya yang luas, dekat pula dengan Israel. Kadang-kadang kita harus ingat, gagasan penubuhan Israel Raya dari Palestin ke Sungai Furat menjurus ke Sungai Nil yang dicita-citakan oleh Zionis sudah hampir tercapai.”
Sumayyah memejam beberapa detik. Terasa dadanya sesak menghimpun realiti derita dan malang yang melanda ummah. Masakan begini nasib orang Islam terus-terusan? Apakah tiada jalan keluar yang mampu menamatkan segala penghinaan dan penderitaan?
“Ya, memang benar, mereka membiarkan demokrasi bertapak di negara-negara tersebut tapi dalam masa yang sama mereka menaja pemimpin-pemimpin boneka Barat yang akan meneruskan dasar-dasar penceroboh. Inilah yang terjadi di Palestin, Afghanistan dan Iraq.”
Satu demi satu. Seinci demi seinci bumi Islam diceroboh. Palestin. Afghanistan. Iraq. Bagaimana pula pertikaian dan ketegangan di Kashmir, Chechnya, Pattani dan Mindanao? Ah, kadangkala terasa tidak sanggup untuk mengungkap semuanya. Segalanya mencoret lembaran hitam dan duka
Dia teringatkan kisah Hayya pelajar sarjana asal Iraq yang kehilangan sebahagian besar keluarganya dalam perang termasuk suami yang baru dinikahi. Kini wanita yang pernah mengalami trauma itu terpaksa mengikut keluarga bapa saudaranya yang bermastautin di Jordan.
Ingatannya juga mengimbas wajah Wafa’ gadis berbangsa Palestin yang bertandang ke rumahnya petang tadi. Parasnya yang sering berseri ceria tampak muram sungguh. Senyumannya yang selalunya bersaring madu bagai tidak bergula.
“Kenapa denganmu, Wafa’?”
Dia bertanya sungguh-sungguh sebaik sahaja mendakap tubuh Wafa’. Walaupun hatinya masih bersalut duka, pastinya ada yang lebih berduka berbanding dirinya. Fatihah dan Hakimah turut simpati.
“Abang … abangku, Sumayyah.”
Spontan masing-masing terbayang wajah Jihad, saudara kandung Wafa’ yang pernah beberapa kali ditemui semasa bertandang ke rumah Wafa’. Lelaki berjanggut sejemput itu nampak pendiam tetapi sebenarnya amat peramah.
“Kenapa dengan Jihad, Wafa’?” tanya Hakimah.
Sebak.
“Dia, dia masuk ke Palestin dua bulan lalu, menziarahi keluarga bapa saudara kami di sana.”
Air mata tidak semena-mena menjadi tidak berharga di pipi gadis jelita itu. Luruh bertalu-talu.
“Kenapa dengan dia?”
Soalan Fatihah itu tidak segera dijawab lantaran Wafa’ makin digempur sebak. Sumayyah terasa pelukan Wafa’ tambah erat.
“Dia … dia hilang sejak seminggu lalu di Ramallah.” Wafa’ tersekat-sekat menjelaskan.
Mereka bertiga tidak lagi bertanya – menanti penjelasan selanjutnya.
“Dia degil … dia tak dengar pesan pak cik.” Esak Wafa’ kian kuat. “Dia, dia ikut demonstrasi.”
Lantas gadis Arab itu menangis sungguh-sungguh di bahunya.
Hakimah menyiku lengan kanannya. Sumayyah sedikit terkejut. Terpinga-pinga.
Astaghfirullah!
Dia memandang ke depan. Telinganya menangkap suara Dr. Muhammad membaca doa penutup tanda kuliah sudah tiba di kemuncaknya. Menggeleng beberapa kali. Terasa malu sendiri kerana melamun jauh begitu.
“Ya Allah! Cepatnya habis,” bisiknya, perlahan. Betapa pantasnya masa berlari. Terasa tidak sedar apa yang dilalui.
“Mana tak terasa cepat, khayal jauh sangat,” balas Hakimah yang duduk di sebelah kirinya.
“Ini pun tanda-tanda menjelang Kiamat agaknya,” tokok Fatihah pula. “Pejam celik pejam celik, eh, dah nak balik.”
Sumayyah senyum sambil menelan sindiran bermakna. Dia tidak menyangka mereka berdua mendengar bisikannya tadi.
Tatkala para pelajar lelaki berpusu-pusu ke depan mahu bersalam dengan Dr. Muhammad, azan Isyak mulai bergaung dari corong pembesar suara di menara Masjid Universiti Yarmouk.

0 komentar: