5/14/2005

Siri 12

API BESAR DI HIJAZ

USAI solat, para pelajar Melayu segera memenuhi dewan masjid untuk mengikuti majlis ilmu. Kehadiran masih memuaskan sekalipun demam peperiksaan hampir bermula. Jumlah siswa yang hadir hampir seimbang dengan jumlah siswi. Kebanyakan pemimpin PERMAYA turut tidak melepaskan peluang mendengar kuliah yang diberikan percuma.
Dewan masjid universiti terletak 10 meter dari dua tingkat ruang sembahyang. Sebenarnya ia masih berada dalam bangunan masjid. Di sisinya ada bilik imam, bilik bilal dan pejabat masjid. Biasanya ia digunakan untuk kelas tajwid dan tahfiz yang dikendalikan oleh Syeikh Ma’mun. Dewan ini tidaklah terlalu luas. Di dalamnya terdapat meja kayu panjang yang disapu varnis.
Sumayyah penuh yakin hatinya akan lebih tenang apabila menghadiri majlis ilmu seperti ini. Kelazatan ‘menadah’ kitab secara talaqqi begini memang lebih terasa berbanding di dewan-dewan kuliah. Kalau beginilah sedapnya, alangkah beruntungnya para pelajar lelaki yang lebih berpeluang berguru dengan syeikh-syeikh di masjid-masjid ataupun di rumah mereka sendiri.
Dr. Muhammad yang memakai jubah putih dan ‘abaya perang muda duduk di bahagian tengah meja dan dikelilingi para pelajar lelaki yang duduk di kiri, di kanan serta di hadapannya. Manakala para siswi memenuhi kerusi-kerusi yang disusun lebih kurang dua meter di belakang mereka. Pensyarah yang ada iras-iras ulama Mesir tersohor Syeikh Mutawalli Sya’rawiy itu memulakan kelas tafaqquhnya dengan Ummul Kitab, disusuli tahmid serta selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi. Mukadimahnya yang agak perlahan tetapi tersusun turut mengandungi alu-aluan dan doa penyuluh hati. Bahasa Arabnya baku – mudah difahami pelajar Melayu.
Tajuknya malam ini sangat menarik – hadis berkenaan kemunculan api besar di Hijaz yang ada dihimpunkan oleh Bukhari dan Muslim dalam kitab Shahih mereka. Seperti selalu, Dr. Muhammad akan mengulang sanad dan matan hadis yang akan disyarahkannya sebanyak dua kali. Suaranya agak garau tetapi sebutannya jelas.
“Dari Abu Hurairah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Qiamat tidak akan terjadi sehingga muncul api dari tanah Hijaz yang menerangi punuk-punuk unta di Basrah.”
Menurut tawarikh, kejadian menakjubkan yang dijanjikan oleh Rasulullah itu berlaku pada tahun 654 H. Ia adalah salah satu tanda semakin hampirnya kedatangan Yaumul Mahsyar. Malah Imam Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim mengakui peristiwa letusan api yang maha besar ini berlaku pada zamannya. Benarlah segala apa yang diberitahu enam kurun sebelumnya oleh Baginda. Dengan bantuan wahyu Ilahi, banyak peristiwa dan fitnah yang akan berlaku pada zaman akan datang diperingatkannya. Sesiapa jua tidak dapat menyangkal kebenarannya.
Tetapi malam ini, Dr. Muhammad bukan sekadar mengupas sejarah dan mengungkap hikmah yang terkandung dalam hadis tersebut; dia membawa pendengarnya lebih daripada itu. Dia memandu para pelajarnya menjejaki semula kegemilangan Basrah sebagai pusat kegemilangan tamadun Islam terutamanya pada zaman Khilafah Abbasiyah.
“Basrah dan Kufah adalah dua kota ilmu yang sangat tersohor suatu ketika dahulu. Ilmu Bahasa dan Sastera Arab yang kamu pelajari pada hari ini dikembangkan oleh ulama di sana. Sibaweih yang terkenal sebagai tokoh ulung Bahasa Arab antara ulama yang menyebarkan dan mengembangkan ilmunya di Basrah. Begitu juga Kufah yang menampilkan mazhab bahasanya yang tersendiri dan sentiasa mahu menyaingi Basrah dalam apa jua bidang sekalipun.”
Semua pelajar yang hadir bagaikan terpukau apabila Dr. Muhammad menggambarkan kehebatan yang dimiliki oleh kota-kota tersebut. Sebagai bekas pelajar dan pensyarah di Universiti Baghdad malah pernah tinggal hampir dua puluh tahun di sana, dia begitu arif tentang Iraq.
“Dan kita belum lagi memandang semula ke Baghdad sebagai kota keagungan Islam yang melahirkan ribuan cendekiawan dalam pelbagai bidang ilmu. Imam Syafie misalnya, menjadikan Baghdad destinasi kembara ilmunya selepas berguru dengan Imam Malik di Madinah. Di Baghdadlah beliau mengembangkan ilmu fiqahnya yang diwarisi hingga kini.”
Sumayyah mengangguk, mengiakan. Dia masih ingat biografi Imam Syafie yang pernah dibacanya. Cukup mengagumkan. Malah sebagai pelajar jurusan Syariah dia turut mempelajari Fiqh Mazhab Syafie.
“Segala macam ilmu – waima ilmu fardu ain mahupun ilmu fardu kifayah – dipelajari, dikaji dan dikembangkan di Baghdad. Pendek kata, pihak Barat yang sedang mengalami Zaman Gelap pada waktu itu sangat mencemburui kegemilangan yang kita miliki. Bahkan kebanyakan ilmu yang dimajukan oleh pihak Barat pada zaman kini adalah dicedok daripada tamadun Islam yang telah mempelopori atau merintisnya terlebih dahulu.”
Sambil memasang deria dengar, Sumayyah mencatat isi-isi yang dirasakannya penting dan menarik di tepi helaian muka surat. Catatan begini penting bagi mengelakkan lupa apabila dirujuk semula kelak.
“Bayangkan betapa ramainya ulama di Baghdad dan betapa pesatnya perkembangan ilmu di sana tatkala kota itu dilanggar oleh tentera Tartar yang dipimpin Genghiz Khan. Segala kitab yang dihasilkan cendekiawan Islam dihumban ke dalam Sungai Furat. Hatta airnya yang mengalir bertukar menjadi hitam akibat dakwat yang berasal daripada tulisan-tulisan tersebut.”
Sumayyah memandang beberapa siswi yang tersengguk-sengguk di sebelah kanannya walaupun kuliah Dr. Muhammad al-Malkawy semakin menarik dan hangat. Bagaimana kalian boleh mengantuk semasa menghadiri majlis ilmu seberkat ini, tanya hatinya.
“Tapi bagaimana nasib Baghdad sekarang? Macam mana keadaan di Baghdad sekarang? Apakah nasib jutaan rakyat Iraq sekarang?”
Dr. Muhammad menggantung kata-katanya di situ. Dia mendongak, memandang setiap wajah pelajar yang berada di hadapannya. Setiap orang bagai tidak sabar menanti setiap patah kata yang bakal keluar daripada bibir ulama yang pakar dalam bidang Perbandingan Agama itu.

talaqqi – menadah kitab, pengajian secara berguru

0 komentar: