5/03/2005

Siri 11

RAHMAT DIBAWA MALAIKAT

AZAN baru sahaja selesai dilaungkan. Lima minit lagi iqamat pula akan menyusul. Mereka bertiga melangkah semakin pantas. Sejenak lagi pasti suara lunak Syeikh Ma’mun as-Syamaliy mengimami solat fardu Maghrib akan kedengaran dari Masjid Universiti Yarmouk. Mereka mahu bersolat jemaah. Lagi afdal jika sempat bertakbiratulihram bersama imam.
Beberapa orang siswa yang menghuni Jalan Baidha’ di belakang Hotel Hijazi juga kelihatan bergegas menuju ke masjid. Kawasan berhampiran pintu masuk jihat barat universiti ini memang menjadi seperti perkampungan pelajar Melayu. Cukup ramai pelajar Universiti Yarmouk dan pelajar jurusan perubatan Universiti Sains & Teknologi Jordan berhimpun di sini. Kedudukannya yang strategik – dekat dengan masjid dan bandar, banyak infrastruktur, sewa rumah yang murah – menjadikannya pilihan utama pelajar. Dan yang paling penting, mereka cuma memerlukan kurang sepuluh minit untuk tiba di bangunan kuliah.
Sambil melangkah, Sumayyah menyeluk saku jubah coklatnya. Tiada. Dia pasti tidak ada lagi wang tunai yang tertinggal di dalam sakunya. Semuanya telah diserahkan kepada Rahiman. Segala pembayaran untuk tiket penerbangan pulangnya nanti sudah dijelaskan.
Sebentar tadi, mereka bertiga baru sahaja singgah di rumah Rahiman yang dinamakan Bait Ansar. Lelaki itu berjanji, tiket pesawatnya kelak akan diserahkan seminggu sebelum tarikh penerbangan. Kalau mengikut perkiraannya, dia akan terbang kembali ke tanah air lima hari selepas peperiksaan akhirnya.
“Lima hari selepas imtihan niha’ie?”
Dia masih ingat Fatihah menyoalnya dalam nada tidak percaya kira-kira hampir sebulan lalu, semasa mula-mula dia menempah tiket pulangnya.
Angguk.
“Keputusan belum keluar lagi masa tu. Kau tak mahu masuk konvo?”
Geleng.
“Biarlah aku konvo di Malaysia saja bila dapat sarjana nanti, insya-Allah. Umi dan abah tak ada, tak seronoklah.”
“Jarang aku jumpa orang macam kau ni.”
“Kenapa pula? Aku tak rasa ralat pun. Eh, kan ramai pelajar kita yang tamat pada musim sejuk dan musim panas tak hadir konvokesyen.”
Mereka terus melangkah. Masing-masing tidak bercakap sebaliknya menahan mengah kerana melangkah pantas-pantas begitu. Masjid lebih kurang 70 meter di depan. Mereka menyusuri kaki lima deretan kedai yang berjujut dari hadapan Bab Gharbiy hingga ke Dawwar Iskan. Bau daging syawarma yang dibakar di hadapan beberapa kedai makan memang membangkitkan selera. Dawwar Jami’ah yang terletak di antara kedua-duanya mulai basah disimbah cahaya neon di sana sini.
Malam ini, selepas solat Maghrib seperti minggu-minggu sebelumnya ada kuliah oleh Dr. Muhammad al-Malkawiy. Beliau mengajar kitab Asyrat as-Sa’ah yang mengupas hadis-hadis berkaitan tanda-tanda kedatangan Hari Qiamat. Sudah dua setengah tahun dia membuka kelas pengajiannya untuk pelajar-pelajar Melayu – hasil permintaan PERMAYA – namun kitab setebal lebih dua inci itu masih belum dikhatamkan. Seingatnya, dia belum pernah ponteng kuliah maghrib oleh pensyarah di Jabatan Usuluddin itu kecuali jika ada keuzuran.
Fatihah menyiku Sumayyah yang berada di tengah-tengah.
“Tengok tu,” katanya separuh berbisik sambil mereka melangkah. Matanya mengisyaratkan ke arah seberang jalan. Sumayyah dan Hakimah segera menoleh ke kanan. Ustaz Hakimi kelihatan sedang menapak ke masjid bersama Baihaqi, Presiden PERMAYA di kaki lima yang dibina sepanjang pagar universiti.
Hakimah gesit tesipu.
“Patutlah pakai tudung hitam petang ni, ada orang nak tengok.” Fatihah sempat mengusik Hakimah yang jelas tidak mampu membalas.
Sumayyah menahan gelak. Lelucon Fatihah kadangkala di luar jangkaan. Biasanya sukar untuk dia membendung rasa geli hati walaupun hati sedang dilanda gundah tatkala bersama gadis ini. Hakimah pula agak penyabar walaupun teruk diusik. Kedua-dua temannya ini memang punya keistimewaan tersendiri.
“Patutlah semangat sangat dia petang ni, Sahibussamahah al-Fadhil Ustaz Hakimi hadir sekali,” bisik Fatihah lagi.
Hakimah buat bena tak bena.
Sementara itu Sumayyah kembali mengingatkan forum siswa anjuran PERMAYA yang melibatkan dia dan Ustaz Hakimi pada Sabtu ini. Rasa geresah lekas menjengah di hati. Persediaan belum dibuat. Isi-isi belum dicari walaupun sudah ditaklifkan oleh Lutfi. Aduhai, matilah dia kali ini. Dengan situasi dirinya yang masih dirundung duka, ada lagi ujian yang bagaikan sengaja datang menyapa.
Risau sungguh dia. Bagaimana dia mahu berforum Sabtu nanti? Bercakap tidak menjadi soal, dia kira. Dia sudah biasa berucap di hadapan siswi. Tetapi berucap di majlis yang agak besar sebegini di hadapan audiens yang ramai dan pastinya hebat-hebat belaka ilmunya, langsung belum pernah dihadapinya seumur hayat.
Namun dia berusaha meniup keyakinannya perlahan-lahan. Sudah menjadi kelazimannya, kalau keputusan idea atau terasa buntu, dia akan menghadiri majlis-majlis ilmu seperti ceramah, kuliah dan seumpamanya. Dengan izin Allah, rahmat-Nya yang dibawa oleh para malaikat akan memberkatinya. Justeru, dia mesti hadir kuliah Dr. Muhammad al-Malkawy sejurus Maghrib nanti.
Mereka bertiga tiba tepat kala iqamat dilaungkan. Agak ramai juga siswi Melayu yang datang berjemaah justeru mahu menghadiri kuliah Maghrib Dr. Muhammad. Syeikh Ma’mun yang memimpin solat membaca surah al-Lail pada rakaat pertama dan surah al-Bayyinah pada rakaat kedua. Dengan suaranya dikatakan mirip salah seorang imam di Masjid Nabawi, tajwidnya yang kemas, dan lenggok bacaannya yang tersendiri mengajak para jemaah lebih tamakninah dan khusyuk.

imtihan niha’ie – peperiksaan akhir
tafaqquh – pengajaran, pemahaman

0 komentar: