5/03/2005

Siri 10

WAJAH SERIBU GULANA

“KENAPA dengan kau, Mai?”
Kening halusnya hampir bercantum. Dahinya sedikit berkerut.
“Kenapa? Kenapa apa?”
“Kenapa kau nampak semacam saja?”
Dahi Sumayyah yang tadinya berkerut seratus menjadi seribu. Tumpuannya terhadap majalah al-Arabiy yang dibaca sirna seketika. Pandangannya beralih ke wajah Hakimah yang duduk di kerusi meja tulisnya.
“Aku sihat walafiat. Alhamdulillah.”
“Betul? Betul ke kau tak apa-apa?”
Sumayyah tidak terus menjawab sebaliknya kembali mencari ayat terakhir yang dibacanya tadi. Memang malam tadi dia ingin benar menemui gadis ini bagi meluahkan kecamuk di hati, tetapi petang ini keinginan itu tidak pula mendesak. Biarlah dulu, belum masanya. Suatu ketika dia akan tahu juga.
“Jangan risaulah, Kim. Aku okey.” balas Sumayyah. Rasanya dia masih boleh bertahan. Takkan selamanya dia pelu bergantung kepada gadis ini untuk membantu merungkaikan masalahnya. Gadis ini akan pergi dan menjadi milik orang lain tidak lama lagi.
“Aku kenal kau dah lama, Mai. Dari petang semalam, aku dah lihat kau lain macam.”
Sumayyah tergelak. Apakah gadis ini juga seperti Prof. Abu Harith yang bijak meneka gundah di garisahnya? Setakat ini dia belum menceritakan khabar luka dari Bumi Kinanah kepada sesiapa. Selagi ia boleh dipendamkan, biarlah ia menjadi rahsia dirinya buat sementara ini. Entah mengapa, kali ini dia belum bersedia berkongsi dura itu dengan teman-teman.
“Aku tak mau memaksa, tapi bila kau dah tak tahan nanti, jangan lupa datang cari aku.”
“Insya-Allah, kalau Ustaz Hakimi benarkan,” Sumayyah bersuara perlahan.
“Apa kau kata?” Hakimah menggaru kepalanya.
Sumayyah senyum. Umpannya mengena. Memang dia sengaja mahu mengusik rafik akrabnya ini.
“Esok bila kau dah kahwin, kalau aku ada masalah, aku akan datang jumpa kau. Itupun, kalau Ustaz benarkan.”
Hakimah mendengus. Sumayyah tertawa kecil. “Nak cari fasallah tu,” rungut gadis yang telah menghafaz 30 juzuk al-Quran itu.
“Lah, aku cakap yang betul. Lepas soifi ni kau dah jadi milik orang. Masa tu, dah tak ingat kawan-kawan lagi. Asyik tengok muka cik abang.”
Sumayyah menutup majalah. Terasa lenguh kerana lama membaca sambil meniarap, dia bangkit menukar posisi. Dia duduk berlunjur di atas katil Hakimah dan tubuhnya disandarkan ke dinding. Dia melihat Hakimah buat endah tidak endah usikannya, tetapi dia yakin gadis itu masih mendengar. Atau barangkali sedang menghimpun idea untuk membalas usikannya pula.
“Eleh, pandai mengata orang, tengok-tengok dia yang nikah dulu,” Hakimah selamba menyerang balas. “Mai, suruh saja Afnan kat Kaherah tu balik sekali dengan kau bulan depan. Boleh terus buat walimah.”
Wajah Sumayyah sedikit berubah. Lekas dia menutup rasa tidak keruan itu dengan tawa kecil. Bergetar juga hatinya apabila nama lelaki itu disebut. Kalaulah kau tahu apa sebenarnya yang telah terjadi. Kalau kau mengerti bahawa hari-hari indah itu telah berlalu pergi.
Pintu kamar Hakimah terkuak.
“Makanan dah siap!” jerit Fatihah mengejutkan mereka berdua. Gadis itu menanggalkan apron merah jambu yang dipakainya. Wajahnya yang sedikit berminyak diseka dengan kura tangannya.
“Kim dah tak selera nak makan, Teh.” Sumayyah pantas meminda cerita. Kehadiran Fatihah yang selalu menjadi regunya menyakat Hakimah wajar dimanfaatkan sebaiknya..
Hakimah tidak menjawab, terus ralit menatap nota kuliahnya. Barangkali sedar dirinya akan menjadi sasaran kedua-dua temannya.
“Eh, betul ke?” Fatihah perasan Sumayyah mengenyitkan matanya, menghantar isyarat. “Kenapa ni Kim?”
“Entahlah Teh. Dah tak sabar kot, nak tengok al-fadhil abang ustaz yang dikasihi naik ke pentas Sabtu ni,” jelas Sumayyah beriya-iya sambil terus memasang umpan.
Fatihah tertawa sedikit terkekeh. Sudah mengesan ke mana tuju hala usikan mereka kali ini.
“Err, kau dah sedia nak berforum Sabtu ni, Mai?”
“Belum. Aku risau juga ni. Si Marianis pun satu, macam dah takda orang lain.”
“Aku rasa Anis silap pilih oranglah. Patutnya dia suruh Kim jadi panel forum tu. Bukannya kau.”
“Aku pun rasa gitu. Barulah kena, barulah sepadan. Memang Anis silap orang.”
Fatihah mengangguk-angguk. “Bayangkan, sepasang merpati dua sejoli yang bakal bergelar suami isteri sama-sama menjadi ahli panel. Fuh, pasti gempak!”
Hakimah masih buat-buat tidak dengar.
“Panel ketiga pun aku rasa tak payah,” tokok Fatihah lagi. “Buat menyemak saja.”
Tawa Sumayyah dan Fatihah meledak serentak.
Hakimah menjegilkan matanya, menahan sabar. Akhirnya hatinya juga tidak tertahan, dia terseringai sama sebelum bangkit menerpa ke arah Fatihah. Gadis itu tergedik kegelian apabila rusuknya menjadi sasaran cubitan Hakimah.
“Kau orang ni tak habis-habis,” rungut Hakimah apabila mereka berhenti tertawa. “Jom kita makan. Lepas Maghrib nanti ada kuliah di masjid.”
“Jomlah,” ajak Fatihah yang agak kemengahan akibat ketawa. “Oh ya sebelum tu, aku terlupa nak beritahu kau, Mai.”
“Apa dia?”
“Rahiman pesan, tiket kapal terbang kau dia dah tempah. Duitnya bolehlah dibayar. Lagi cepat lagi bagus, katanya.”
“Okey. Petang ni juga aku pergi bayar.” Sumayyah senyum. Pesanan yang dibawa Fatihah itu menggembirakannya. Memang sudah hampir sebulan dia menempah tiket penerbangan pulangnya buat kali terakhir. Duit tunai sudah disediakannya, cuma belum diserahkan kepada ejen yang menguruskannya.
Kedengaran loceng rumah sewa mereka dibunyikan dua kali. Pasti ada tetamu yang datang bertandang. Fatihah tanpa disuruh terlebih dahulu bergegas ke ruang tamu untuk membuka pintu. Sumayyah dan Hakimah mengekori di belakang.
Apabila pintu yang dihiasi varnis dikuak, seorang gadis bertubuh tinggi melangkah masuk seraya memberi salam. Wafa’, gadis keturunan Palestin yang berjiran dengan mereka seperti selalu menghadiahkan senyumannya terlebih dahulu.
Namun masing-masing perasan, senyuman itu tidak bergula. Sebaliknya, bagai ada mendung yang singgah di wajah yang selalu ceria itu. Ada hujan yang nampaknya sering gugur di matanya yang galak dan cantik itu.
Sumayyah menyalami gadis Arab itu sebelum mendakapnya.
“Kenapa denganmu, Wafa’?”

soifi – musim panas


0 komentar: