4/09/2005

Siri 9

USAH KAU BERSEDIH

“MAAFKAN saya, Profesor.” Itulah ayat pertama yang terkeluar dari mulutnya sebaik sahaja melabuhkan punggungnya ke kerusi.
Prof. Abu Harith memandang tepat ke wajah Sumayyah. Air mukanya yang jernih tidak menzahirkan sebarang tanda amarah. Di dahinya ada sedikit tanda hitam – barangkali kesan sujud – tetapi tidak berapa jelas. Agak lama juga pensyarah itu terdiam sebelum bibirnya mengukir senyuman.
“Nasib kamu semalam sangat malang, anakku,” kata pakar Usul Fiqh yang disegani itu. Bahasa Arabnya fasih tersusun seperti selalu.
“Saya mohon maaf, tuan. Sebetulnya, saya ada mengikuti kuliah nahu di Kulliyyah Lughah, tapi semalam ia tamat sedikit lewat.”
Prof. Abu Harith mengangguk. Senyumnya tambah bergula. Sumayyah terasa lega. Sempat matanya mengitari bilik pensyarahnya yang hanya dilengkapi meja, tiga kerusi dan rak buku. Cukup sederhana.
“Inilah sunnah, Sumayyah. Inilah tarbiah. Moga ia jadi pengajaran buat kamu. Saya tahu kamu pelajar yang baik, namun tetap tidak terlepas daripada hukuman. Keadilan mesti ditegakkan walau di mana, tanpa mengenal sesiapa,” Prof. Abu Harith menanggalkan igal yang melilit kepalanya sebelum menyambung, “Bukankah Rasulullah pernah bersabda: Sekiranya Fatimah puteriku didapati mencuri, nescaya akan kupotong tangannya.”
“Saya faham, Profesor. Memang salah saya,” tutur Sumayyah sesudah berselawat ke atas Nabi.
“Saya tidak berniat mahu memalukan kamu. Tapi apa pula kata pelajar lain jika saya tidak bertindak adil terhadap kamu.”
Giliran Sumayyah pula mengangguk. Matanya memandang sepatu sendiri beberapa detik sebelum mendongak semula.
“Tak mengapa, tuan. Itu juga pelajaran berguna bagi saya,” ucap Sumayyah.
“Tapi kamu nampak sedang bersedih.”
Sumayyah meneguk liur. Terkesima. Lelaki separuh kurun ini dapat membaca isi hatinya? Mustahil!
“Wajah kamu, Sumayyah, wajah kamu menceritakan segala-galanya.” Prof. Abu Harith menanggalkan pula kain syama’ merah-putih yang melitupi kepalanya. Dia kini hanya berkopiah putih. “Betul kan?”
Tiada jawapan daripada Sumayyah. Komputer riba di atas meja masih menyala. Penyaman udara di sisi jendela terus mendinginkan suasana.
“Berapa usia kamu sekarang?”
“25.”
Prof. Abu Harith membetulkan kopiahnya dengan kedua-dua tangannya. Kemudiannya mengangguk tanda maklum.
“Usah kamu bersedih, wahai Sumayyah. Tuhanmu ada berfirman: Dan demikianlah keadaan hari-hari (kejayaan dan kesedihan) Kami pergilirkan di antara manusia (supaya menjadi pengajaran).”
Terdiam Sumayyah mendengar ayat 140 dari Surah Ali Imran itu dibacakan malah disyarahkan dengan bahasa yang mudah oleh ulama berjambang rapi itu.
“Kamu amalkan membaca Ma’thurat?”
Sumayyah angguk. Sudah lama dia menghafaz kesemua doa dan zikir yang terkandung dalam hadis-hadis Sahih himpunan As-Syahid Hasan al-Banna itu tetapi selalu terlupa fadhilatnya.
“Di dalamnya ada doa yang Rasulullah pernah amalkan. Allahumma inna na’uuzubika minal hammi wal hazn hingga akhir ayat. Kalau kita yakin dan amalkan doa ini, insya-Allah, akan dilepaskan dari rasa ragu dan sedih, dari rasa lemah dan malas, dari rasa takut dan sifat kedekut, dan dari bebanan hutang dan gangguan lelaki jahat.”
“Saya selalu mengamalkannya, Profesor,” akui Sumayyah. Jejari kanannya memintal hujung tudung labuhnya. Tangan kirinya mencebet buku nota.
“Tapi, adakah kamu benar yakin?”
Sumayyah terjeda beberapa ketika. Persoalan yakin yang ditimbulkan itu membuatkan dia berfikir. Yakin dan amal dua perkara berbeza tetapi sewajarnya disekalikan bersama. Itulah pendinding dirinya. Itulah kekuatannya sebenarnya.
“Saya tak pasti apa sebenarnya yang kamu alami. Tapi naluri saya memberitahu yang kamu sedang berduka.”
Dia tambah terpinga. Memang lelaki sebaya bapanya ini hebat. Dia teringat cerita kawan-kawannya tentang kelebihan yang dimiliki Prof. Abu Harith. Khabarnya semasa sedang mengajar, dia pernah menghalau pelajar lelaki Arab yang didakwanya tidak bersolat Subuh dari bilik kuliahnya. Barangkali benarlah, pandangan insan yang berhati bersih tidak terhijab. Sumayyah mulai berasa kurang selesa kecamuk jiwanya diketahui orang yang sangat dihormatinya.
“Mungkin boleh saya syorkan kamu membaca buku ini.” Ulama Usul Fiqh terkenal itu bingkas dari kerusi empuknya dan menghala ke rak bukunya di sebelah kanan biliknya. Dia meneliti kitab-kitabnya yang rencam itu sebelum mencapai sebuah buku setebal dua inci, dan kembali ke mejanya.
Buku berkulit tebal berwarna hijau tua itu berpindah tangan. Sumayyah membaca tulisan khat Diwani yang tertera di muka depannya – La Tahzan. Karya ‘Aidh Abdullah al-Qarni.
“Buku ini sangat bagus untuk motivasi dalaman. Padat dengan hikmah. Sesuai dengan kehendak syariat. Dan bahasanya mudah.”
Sumayyah membelek muka surat kedua buku itu, mahu mengetahui bilangan cetakannya. Kemudian dia meneliti sekali lagi nama penulis dan penerbitnya.
“Kalau kamu mahu, saya pinjamkan buku ini.”
Sumayyah tersipu sedikit. Alangkah mulianya hati pensyarahnya yang satu ini. Betapa beruntungnya dia mendapat layanan yang sebegini istimewa daripada seorang tokoh bertaraf Profesor!
“Terima kasih, Profesor. Sebenarnya saya dah ada buku ni. Cuma belum selesai membacanya.”
“Bagus. Saya tahu pelajar Melayu memang gemar membeli buku. Tapi dah sampai mana kamu baca?” Prof. Abu Harith mengerling jam tangannya.
“Err, saya tak ingat pula terhenti di mana.” Sumayyah mengembalikan buku itu di atas meja.
Prof. Abu Harith menggeleng beberapa kali sebelum tertawa. Sumayyah juga ikut senyum. Akur dengan kekurangan sendiri. Memang La Tahzan telah lama menjadi koleksi, tetapi dibaca hanya sekerat jalan. Dia lebih gemar membaca buku-buku tulisan Muhammad Qutb, Fathi Yakan dan beberapa pemikir Islam yang lain.
“Ini pun penyakit juga. Beli buku untuk koleksi. Kelak buku melaknat tuannya kerana tidak pernah dibaca.”
“Insya-Allah saya cuba.”
Profesor itu mengenakan kembali kain syama’ merah-putih di kepalanya. Dia bangun sekali lagi sambil memakai igalnya semula dan tampak seperti mempunyai urusan di luar. Komputer ribanya dimatikan.
Sumayyah segera memohon diri untuk beredar. Sejurus mengucapkan terima kasih dan memberi salam, dia keluar, menghala ke kiri dan melangkah ke tangga. Tidak sampai seminit, dia sudah sampai di ruang legar. Terdengar namanya diseru seseorang.
Apabila menoleh ke kiri, kelihatan Lutfi sedang berdiri berhampiran papan kenyataan yang disediakan khusus oleh Dekan Kulliyyah Syariah untuk pelajar Malaysia. Sumayyah mengelih jam tangannya sekilas lalu menghampiri lelaki berkaca mata itu.
Lelaki, banyak helahnya. Pasti ada alasan yang akan diberikannya sebentar lagi, desis di hati. Tetapi belum sempat Sumayyah menegur kelewatan lelaki itu tadi, Lutfi terlebih dahulu bersuara.
“Bagaimana, dah jumpa bapa angkat?”

La Tahzan – Jangan Bersedih

0 komentar: