4/09/2005

Siri 8

MEREKA TIDAK MENGERTI

“JANGAN mengarut. Macam dah tak ada orang lain!”
“Memang tak ada. Dalam kepala aku, hanya nampak muka kau saja, Mai.”
“Bila programnya?”
“Sabtu ni.”
Dia menjegilkan matanya. Gila!
“Sabtu? Carilah orang lain. Dah tanya kakak-kakak yang mengaji sarjana?”
“Dah. Semuanya menolak. Katanya mereka ada imtihan minggu depan. Banyak buku kena baca.”
“Biasanya panel kan lelaki. Kenapa tukar selera pula kali ni?”
“Ini cadangan Lutfi dan Baihaqilah. Tiba-tiba saja … semua dah sebulat suara, bersetuju. Panel tiga orang. Dua lelaki dan satu perempuan. Kalau pihak kita tak dapat sediakan panel, malu kita.”
Sumayyah menggetap bibir. Memandang ke depan. Ruang legar Kulliyyah Syariah seperti biasa – sentiasa menjadi tumpuan pelajar. Namun kelibat yang dinanti tidak pula kelihatan.
“Boleh ya, Mai?”
“Kau sajalah, Anis. Kau sendiri apa kurangnya?”
“Kalau aku mahu, aku tak minta tolong kau.” Marianis tertawa. “Kebetulan … kebetulan aku ada ujian hafazan Ahad ni.”
“Banyaklah kebetulan kau tu, Anis.” Sumayyah merungut. “Pandai kau mengelak, kemudian sengaja tala kat aku. Banyak cantik!”
Marianis tertawa tambah kuat.
“Sebab aku rasa aku tak layak. Mai, kau lebih berketrampilan dalam bab ni. Pandai berhujah. Ada wibawa yang orang lain tak ada. Betul tak, Kim?”
Hakimah yang ralit menonton televisyen mengangguk beberapa kali tanda menyokong kuat.
Geram. Dia seperti pernah mendengar ayat itu. Izzati yang menuturkannya kalau tidak silap. Pastinya barisan exco siswi telah berpakat memilihnya sebagai panel bagi mewakili siswi. Izzati dan Fatihah nampaknya sudah maklum lebih awal.
“Kau apa kurangnya, anak senator? Marianis binti Senator Azlan, siapa yang tak kenal?” Dia menyerang balas, selebihnya cuba melepaskan diri. “Ada baiknya kalau ketua siswi sendiri yang tampil sebagai panel forum. Barulah ketara ketokohan kepimpinan.”
“Terima kasih, cadangan yang baik. Tapi, ini bukan soal ketokohan atau kepimpinan. Ini permintaan aku, permintaan semua exco siswi. Kami semua nak lihat kau bercakap di depan sebelum kau meninggalkan kami.”
“Memang kami dah tak nampak orang lain. Semua mahukan kau, Mai. Sebagai bekas orang kuat PERMAYA, suara kau mewakili persatuan,” celah Fatihah yang muncul dari pintu dapur. “Pengaruh kau pun agak kuat di sisi pelajar baru.”
“Tengok tu, kau pun sama Teh, nak kenakan aku. Tak tolong kawan langsung.” Dia mengomel.
Gadis bertiga itu tertawa. Dia terkedu beberapa ketika. Matanya tertancap ke skrin. Mindanya berkelintar mencari dalih yang mampu menolak permintaan sebesar itu. Dalam situasi hati segetir ini, bagaimana mampu diladeni hajat teman-teman? Kalaulah kalian mengerti!
“Imtihan dah dekat, Anis.”
“Sempat. Lagi tiga minggu.”
“Memanglah kurang lebih tiga minggu. Tapi kalau aku sangkut mana-mana kertas, kat mana nak taruk muka aku nanti? Ini semester terakhir, tau.”
“Perkataan ‘kalau’ tu yang kami tak suka dengar,” Marianis bersahaja memulangkan paku buah kerasnya. “Insya-Allah, kami akan bantu kau cari isi forum tu. Jangan bimbang. Tajuknya mudah. Mahasiswa Timur Tengah: Peranan dan Cabaran dalam Era Globalisasi.”
“Mudah kata kau?” Dia mencebik, geram. Hatinya cenderung untuk terus menolak, tetapi terasa tidak tergamak. Teman, kalaulah kalian tahu getar hati ini!
“Kira setujulah ya, Mai?”
Khali. Tiada jawapan diterima. Tetapi sebenarnya dia terasa sudah tewas menangani pujukan Marianis. Memang selalunya dia terpaksa akur dengan permintaan anak ahli Dewan Negara ini.
“Ikut kaedah orang meminang anak dara, as-sukut ‘alamatur redha. Diam tandanya mau. Hmm, Mai dah senyum tu, tanda dia nak lah tu, “ Fatihah menokok sebelum derai tawa terpecah lagi di ruang tamu. Walaupun hati diselaputi luka, dia turut tergelak sama.
Matanya terus menyelinap di celah-celah para pelajar yang lalu-lalang. Orang yang ditunggu belum juga muncul.
“Okey. Kalau begitu, pagi esok jam 9.30, tunggu di ruang legar aras bawah Kulliyyah Syariah. Seorang jejaka berkaca mata akan jumpa kau,” sambung Marianis yang bermata sedikit kuyu.
“Siapa?”
Fatihah tersenyum seraya menoleh ke arahnya.
“Lutfi. Dia akan jadi pengerusi forum tu. Bagi panel lelaki, kita jemput pelajar sarjana. Insya-Allah, panel pertama yang dicadangkan, Ustaz Hakimi ….”
Serentak pandangan mereka bertiga tertumpu ke wajah Hakimah yang sedikit tersipu apabila nama tunangnya disebut. Fatihah berdehem beberapa kali sebelum terjerit kecil akibat rusuknya dicubit Hakimah.
“Yang kedua, mungkin Ustaz Badiuzzaman dari Universiti Al al-Bayt. Lutfi akan bagi kau soalan-soalan yang akan diajukannya nanti. Kalau ada masalah atau kemusykilan, boleh bincang segera.”
Sekarang sudah 9.40 pagi. Mujurlah kuliah seterusnya bermula jam 11. Di luar, matahari makin menyengat. Namun bayang lelaki yang bergelar Timbakan Presiden itu entah di mana.
Ke mana Lutfi? Melampau betul. Kalau lelaki itu tidak muncul dalam masa lima minit lagi, dia bercadang mahu menemui Prof. Abu Harith bagi memohon maaf di atas kejadian yang tidak sewajarnya semalam.
Kalau tidak silap, semasa dia ‘dihalau’ semalam, Lutfi juga berada di dalam bilik kuliah yang sama. Pasti lelaki itu tersenyum-senyum geli hati apabila terkenangkan peristiwa malang itu. Bahkan beberapa pelajar Melayu yang menyaksikan insiden memalukan itu juga tersenyum sinis tatkala berpapasan dengannya tadi. Pedulikan!
Lima minit hampir berlalu. Sumayyah sudah hilang sabar. Bengang. Kakinya terasa lenguh berdiri. Ini bukan janji Melayu lagi, tapi janji Arab, gerutunya dalam hati. Dia meninggalkan ruang legar yang kian lengang dan mendaki ke aras dua. Moga Prof. Abu Harith ada di biliknya.
Sumayyah menyusuri lorong yang menempatkan bilik-bilik pensyarah di Jabatan Fiqh wa Usul. Rasanya hampir setiap minggu dia menemui Prof. Abu Harith untuk bertanyakan pelbagai masalah pelajaran. Malah ulama yang berasal dari Damsyik itu sudah kenal mesra dengannya. Tetapi kesalahan tetap kesalahan. Sesiapa pun tidak akan terlepas daripada hukuman. Dia sudah menelannya.
Bilik Prof. Abu Harith makin karib. Daun pintunya sedia ternganga bagai biasa. Sumayyah melangkah sambil memandang ke depan. Dia nampak Lutfi berdiri kira-kira 10 meter di hadapannya. Di sini lelaki itu rupanya!
Sumayyah menggigit bibir, geram. Dia mahu menghampiri Lutfi. Tetapi niat itu mati andar apabila melihatkan tubuh yang berdiri di sebelahnya. Diakah itu?
Rasa segan dan serba salah beraduk. Lutfi sedang berbual dengan seorang lelaki. Ya, memang dia, tidak salah lagi. Kopiah ala-Raihan berwarna coklat muda masih menyerkup di kepalanya. Dialah lelaki yang membantunya malam tadi.
Lantas Sumayyah berpaling ke kanan, mengetuk daun pintu dan memberi salam sebelum masuk ke bilik Prof. Abu Harith.

0 komentar: