BIARKAN MAWADDAH ITU BERLALU
MATA belum mampu dilelapkan walaupun tubuhnya agak kepenatan. Entah mengapa. Berbagai-bagai ingatan dan perasaan datang dan pergi bersilih ganti. Terasa iri juga melihat Marianis yang sudah pulas lena dihanyutkan mimpi entah ke mana.
Dia memandang wajah Marianis agak lama. Memang tenang dan mendamaikan. Kata orang, air muka cerminan peribadi seseorang. Apakah hatinya juga setenang dan sedamai wajahnya?
Suara Imam Saad al-Ghamidiy mengalunkan ayat-ayat suci sesekali menyapa telinga. Namun tidak dapat dipastikan surah apa. Sumayyah yakin, bacaan tartil penuh penghayatan itu berpunca dari kamar Hakimah. Dia terasa ingin ke sana. Ada percakapan yang mesti diluahkan kepada gadis hafizah itu. Selalunya apabila dia berhadapan masalah dan kebuntuan fikiran, Hakimahlah menjadi tempatnya mengadu. Tetapi mengingatkan malam sudah larut, hasrat itu dipadamkan sahaja. Esok pagi ada kuliah, tidur mesti cukup. Barangkali teman merangkap pendengarnya yang baik itu juga sudah terlelap dan pita kasetnya sahaja yang berbunyi.
Marianis beralih posisi tidur. Nampak letih metah ketua siswi merangkap Timbalan Presiden 2 PERMAYA itu. Walaupun agak sibuk dengan tugasan pengajian dan beban persatuan, namun dipaksakan dirinya ke mari. Bagi meraikan tetamu, Sumayyah menyuruh Marianis tidur di atas katilnya dan dia sendiri tidur di tilam yang disimpannya di belakang almari.
Kedatangan Marianis memang berhajat. Sebaik sahaja dia tiba di rumah hampir jam 10 tadi, Marianis yang sudah lama menunggu sedang menonton televisyen bersama Hakimah dan Fatihah. Lantas permintaan itu diajukan segera. Memang ada tugasan yang agak berat menantinya, yang mesti dilaksanakan dalam masa terdekat. Meskipun berat, hatinya terasa tidak tergamak mahu menolak.
“Kau jalan sorang-sorang, Mai? Hisy, beraninya anak dara seorang ni. Sekarang dah pukul berapa? Kalau jadi apa-apa ….” Marianis merungut panjang semasa dia tiba dari Dawwar Nasiem tadi.
“Perkataan ‘kalau’ tu yang aku tak suka dengar,” pintasnya. “Barang dah lepas, patutnya kena banyak bersyukur. Aku balik ni juga sebab terkenangkan engkaulah.”
“Kau naik teksi sampai depan rumah?”
“Taklah. Aku naik coaster. Kebetulan naik sekali dengan ustaz tu, dialah yang tolong hantar.”
“Ustaz mana?”
Sumayyah menggeleng. “Entah.”
Memang dia tidak kenal siapa lelaki berkopiah ala-Raihan yang sungguh bermurah hati membayarkan tambang dan menghantarnya hingga ke depan bangunan pangsapuri kediamannya.
Alangkah malunya mengenangkan peristiwa tadi!
Belum sempat dia mengucapkan terima kasih sejurus sahaja turun dari coaster, ustaz muda itu lebih dahulu bersuara. “Dah malam sangat ni. Biar ana hantar.”
“Terima kasih….”
Lidahnya bagai dibelenggu untuk menuturkan kalimat seterusnya. Dia terkaku seketika. Malu sungguh rasanya. Tadi, lelaki inilah yang dikecamnya dalam hati, lelaki inilah yang bagaikan terkedu menelan bisa kalimatnya; sekarang? Dia ingin menolak pelawaan itu, tetapi terasa alangkah bodohnya bertindak sedemikian. Malu biarlah bertempat, setidak-tidaknya keselamatannya akan terjamin.
“Duduk mana?”
“Belakang Hotel Hijazi. Err, dekat Bangunan Abu Syauqi.”
“Tak apa, ana hantarkan.”
Dia hanya berupaya mengangguk. Selebihnya rasa terhukum dengan kelancangan mulutnya sendiri sebelum menaiki coaster tadi. Memang benarlah, terlajak kata tidak boleh diundur.
“Enti jalanlah depan sikit, ana ikut dari belakang.”
Alangkah mulia hatinya!
Ketika itu dia teringatkan kisah Nabi Musa dan puteri Nabi Syu’aib yang pernah dibacanya. Kisah yang ada disebut dalam Surah al-Qasas telah dihadamnya semasa mengikuti subjek Qasasul Qur’aniy dulu. Bezanya puteri Nabi Syu’aib berjalan di belakang, Nabi Musa di depan. Barangkali faktor malam yang tidak mengizinkan lelaki itu berbuat demikian.
Siapakah engkau sebenarnya? Datang dan muncul tiba-tiba, tetapi agak malang, niat murnimu dibalas kata-kataku yang di luar kawalan.
Insaf lekas terhimpun di hati. Beristighfar. Kalimat di luar kawalan begitu bukanlah tabiat amalannya. Terasa tindakannya malam ini terlalu mengikut perasaan. Sepanjang hayatnya di sini, belum pernah walaupun sekali dia berjalan seorang diri pada waktu malam. Itu larangan yang sudah termaklum. Perbuatan itu memudaratkan diri sendiri dan boleh mendatangkan fitnah. Dan selama ini, dia sebagai penuntut senior sangat menghormati peraturan yang sudah digariskan oleh persatuan. Tetapi kali ini …. Argh!
Sumayyah menyapu mukanya dengan telapak tangan. Dalam hatinya Tuhan saja yang Maha Tahu. Emosinya jelas terganggu. Dia sendiri tidak pasti selama mana dia akan bertahan. Tetapi dia mesti pantas menghimpunkan kekuatan dalaman dirinya. Usah biarkan gugusan kenangan terus meracuni fikiran. Jangan biarkan perasaan mendominasi tindakan.
Dia mengejip-ngejipkan mata. Suasana kamarnya yang berukuran 4x4 meter agak malap walaupun menerima bantuan daripada lampu tidur yang sengaja diletakkan di atas meja. Di hati, masih ada nama dan kenangan yang menyala. Ah!
Afnan.
Satu nama yang sedaya-upayanya cuba dilupa. Namun apalah dayanya; nama yang sudah berzaman menghiasi kamar hati, dan wajah yang sekian lama tersimpan di memori ingatan, masakan boleh dikikis dalam tempoh sehari. Dia memerlukan masa. Lantaran kenangan yang dihimpun dan mawaddah yang dipupuk bukan berusia sebulan dua, tetapi lebih tujuh tahun!
Bagaimanapun di sudut hatinya terselit syukur. Berkat keimanan, kewarasan dan kesabaran, sekurang-kurangnya dia masih mampu mengawal diri. Kelukaan akibat dikecewakan dan ditinggalkan memang terasa. Wanita mana yang tidak kecewa? Sesiapa jua pun akan terkesan. Tetapi, mujurlah dia lekas menyedari, dengan menangis, meratap dan meraung sekalipun tidak akan mengembalikan kasih yang sudah tercicir. Dia sudah mengajar dirinya: Ajal maut jodoh pertemuan rahsia Tuhan!
Siling yang kosong kembali menjadi sasaran pandangan. Dia sedar, setiap perkara ada hikmahnya, ada rahsianya tersendiri. Cuma manusia kadangkala menjadi tidak sabar dan sering bertindak menurut nafsu dan perasaan. Dia selalu menggenggam kata-kata itu. Malah tiada sekelumit pun rasa dendam dan sakit hati yang tersisa. Namun, fitrah wanitanya adakalanya tewas dengan pukulan perasaan.
Afnan. Afnan. Afnan.
Mata terus gagal lena. Kenangan terus menyala. Argh!
Peperiksaan akhir makin dekat. Dia mesti bersegera memulihkan jiwanya, melupakan segalanya.
Sumayyah bangkit perlahan-lahan. Dalam samar-samar dia mencapai tuala, menapak ke pintu dan memulas tombol sebelum menuju ke bilik air. Niatnya hanya satu.
Munajat.
Enti – awak (perempuan)
Mawaddah – kasih sayang
Membuat keputusan
4 years ago
2 komentar:
Mawaddah manusia kan berlalu,
namumn Mawaddah dariNya selamanya
menjadi penawar duka hati yang lara
kerana Dialah Ar Rahmaan, Ar Raheem
yang sentiasa bersama selamanya...
Allah never leaves me alone...
wslm
ustaz, penat merantau akhirnya jumpa kt maya jugak, salju sakinah ni. rasanya ana setuju, salju sakinah jadi derita sakinah :)
Post a Comment