BUDI ANAK PERANTAU
SUMAYYAH menundukkan pandangannya semula setelah memandang wajah lelaki Melayu yang tercegat dua meter di belakangnya. Nafas lega lekas dihela. Dia pernah beberapa kali terserempak dengan anak muda ini di kampus. Rasanya seperti pelajar baru. Namanya entah siapa, dia tidak pernah ambil peduli.
“Nak ke mana?”
“Dawwar Jami’ah.”
“Sorang saja?”
Buta agaknya? Dia menggerutu dalam hati. Takkan tak nampak aku berdiri di sini seorang diri sejak tadi! Atau sebenarnya pertanyaan itu sekadar satu sindiran?
“Ya,” balasnya pendek.
Geram tegal ditanya soalan sepandir itu, Sumayyah menoleh kembali ke arah lampu isyarat. Tiga warna terus-terusan bersilih ganti. Kenderaan masih tunda-menunda walaupun tidak banyak. Coaster yang dinanti kekal tiada.
“Bahaya jalan sorang-sorang malam-malam begini, saudari.”
Sudah dijangka! Kalimat itu memang sudah dijangka bakal terbit daripada bibir anak muda berkopiah ala kumpulan Raihan itu. Sumayyah bersiap siaga menadah telinga. Apa pula ceramah yang bakal dihamburkan lelaki ini?
“Boleh timbul macam-macam fitnah,” sambungnya lagi. Ayat dituturkan dalam nada yang agak lembut. Tetapi sangat menusuk.
Sumayyah menggetap bibir.
“Kalau jadi apa-apa, siapa nanti yang susah?”
Sumayyah terus membatu. Ingatannya terkilas kembali warkah luka yang diterimanya siang tadi. Rasa geram lekas tercetus. Ah, lelaki semuanya sama. Hanya tahu berkata-kata; sengaja berlagak bagus di hadapan wanita.
“Kadang-kadang bila kita tegur macam ni orang marah. Kita dikatanya sibuk menjaga tepi kain orang.”
Sumayyah menahan nafas. Kalimat lelaki itu terasa semakin berbisa. Dia tahu perbuatannya yang bukanlah disengajakan malam ini dianggap salah, tetapi bersabar kadangkala ada destinasinya. Ustaz muda ini barangkali belum kenal aku siapa.
“Tapi kita ni sama-sama orang merantau, mesti beringat sebelum kena. Jangan bila dah terhantuk baru nak terngadah.”
Melampau! Entah mengapa dia berasa lelaki ini sudah melampau. Celupar sungguh!
“Maafkan saya kalau perbuatan saya ni menyusahkan.”
Sumayyah menoleh sekilas. Pandangannya tepat berlaga dengan mata ustaz muda yang nampaknya semakin enak berceramah.
“Mungkin ia tidak manis, tidak sedap pada mata saudara, tapi saya punya sebab yang tak dapat dielakkan.”
Ustaz muda yang menyandang beg kulit di bahu sedikit terperanjat dengan jawapannya itu. Barangkali juga tidak menyangka dia akan menjawab.
Sebuah coaster muncul dari jihat Hentian Amman, berhenti betul-betul di hadapan pondok menunggu. Hon yang dibunyikan kuat, cukup mengejutkan mereka berdua.
“Wasatul Balad! Wasatul Balad!” jerit konduktor yang terjengul keluar kepalanya di pintu kenderaan berukuran hampir empat meter itu.
Sumayyah tersenyum nipis dan cekatan melangkah masuk ke dalam perut coaster. Terasa puas di hatinya lantaran kalimatnya tadi tidak sempat dibalas. Dia duduk di kerusi bahagian tengah. Pemuda berkopiah ala-Raihan juga mengekori di belakangnya tetapi duduk berhampiran konduktor. Hanya mereka berdua yang ada di dalamnya selain konduktor dan pemandu.
Mujur juga ada lelaki ini, desisnya di hati yang masih geram kerana terpaksa mendengar “kuliah” percuma.
Coaster terus bergerak meninggalkan persimpangan Dawwar Nasiem, menyusuri Jalan Eidun-Balad. Pusat Rekreasi Irbid di sebelah kanan masih bernyawa. Restoran 25 Jam masih berpengunjung. Begitu juga Pizza Hut di sebelahnya. Saling bersaing menarik pelanggan.
Sebetulnya mereka sedang menuruni sebuah bukit. Dawwar Nasiem terletak di puncak bukit, manakala di kaki bukitnya ialah Dawwar Jami’ah. Dan Dawwar Nasiem di jihat selatan, Dawwar Jami’ah pula di jihat utara. Di antara dua buah dawwar atau “bulatan” inilah dibangunkan Universiti Yarmouk. Justeru di sepanjang Jalan Eidun-Balad ini juga berdirinya deretan kedai, pasar mini, dan bangunan perniagaan yang membentuk bandar Irbid.
Coaster hampir tiba di Bab Gharbiy berdekatan Kulliyyah Iktisad Universiti Yarmouk. Sumayyah meraba saku jubahnya. Dia berasa sedikit hairan. Konduktor yang biasanya akan datang mengutip tambang tidak pula menghampirinya. Tangannya terus menggagau di dalam saku sebelah kanan jubahnya, mencari-cari dompet yang memang sentiasa dibawa. Tiada.
Dada mula dihentak debar.
Ke mana perginya dompet aku?
Digagaunya pula saku sebelah kiri. Juga tiada.
Ya Allah! Bagaimana harus kubayar tambang perjalanan ini?
Sumayyah menggagau lagi, mahu memastikan betul-betul. Ya, memang tiada. Dia tambah cemas. Apalah malang nasibnya hari ini. Ada-ada saja dugaan yang menimpa.
Di mana dompetku tercicir? Pertanyaan itu berulang kali menujah fikiran. Barangkali dompetku tercicir di Bait Raudhah tadi, desisnya menyedapkan hati.
Coaster makin perlahan dan bertambah perlahan sebelum berhenti betul-betul di hadapan pintu masuk jihat barat universiti. Ustaz muda bingkas dan melangkah ke pintu kenderaan yang sudah ternganga. Sumayyah bangkit agak lambat. Dirinya tidak keruan.
Habislah aku kali ini!
Dia tiada pilihan. Sesuatu yang di luar kebiasaan mesti dilakukan. Tindakannya ini memang akan menjadi bahan ketawa jika disaksikan sesiapa. Rasa segan mula menyerkup ke muka, namun digagahinya juga melangkah menuju ke pintu. Pilihannya hanya satu – meminjam 75 fils daripada ustaz muda itu!
Sumayyah menghela nafas panjang. Ini darurat. Perasaan malu mesti dilempar jauh-jauh. Matanya mencari batang tubuh ustaz muda yang sudah berada di luar. Lidahnya mahu menyeru lelaki itu tetapi suaranya seperti tidak mahu keluar.
“Sudah dibayar!” kata konduktor apabila melihat Sumayyah berdiri dalam keadaan teragak-agak di pintu.
Sumayyah bagai tidak percaya. Nafas lega dilepaskan.
Syukur.
Sewaktu melangkah turun, dia melihat lelaki berkopiah Raihan itu masih tercegat di luar. Sekali lagi dia teragak-agak.
Apakah kalimat yang harus kuucapkan?
Membuat keputusan
4 years ago
0 komentar:
Post a Comment