3/14/2005

Siri 5

MUSIM BUNGA TERAKHIR

“KEKECEWAAN dan kegagalan adalah titik tolak kejayaan yang lebih bermakna. Kekalahan adalah iftitah kemenangan yang lebih akbar.”
Sejak petang tadi, kalimat itu bersipongang berulang kali di dalam dirinya. Dia meniupkan kata-kata yang entah dikutipnya daripada siapa setiap kali rasa duka cuba mengurung dirinya.
Sumayyah melangkah meninggalkan Bait Raudhah yang terletak di belakang bangunan yang didiami kebanyakan pelajar Pattani. Jam sudah hampir pukul 9.30 malam. Derapnya tambah deras. Harapnya coaster ke Dawwar Jami’ah masih ada pada waktu begini.
+ Mai, kumbang bukan cuma seekor.
- Ya. Tetapi bunga juga tidak semuanya didatangi kumbang.
+ Lelaki ada yang pergi dan akan ada yang datang mengganti. Masakan hanya kerana lelaki, kau mahu menumpahkan air mata berharga?
- Tetapi dia lelaki terbaik yang pernah datang menghamparkan mimpi indah dan menawarkan kehidupan penuh sakinah.
Bayu awal musim panas membawa rasa dingin ke pipinya sesekali. Sumayyah sedikit terkejut. Sejak petang, dia terlalu melayan perasaan. Tetapi itu bukan kehendaknya. Kemurungan dan kesedihan ini bukan sengaja direka-buat. Itulah fitrah yang sudah tersedia sejak lahirnya. Itulah perasaan yang boleh menyelubungi sesiapa sahaja.
Musim bunga sudah berakhir, bisik hatinya sendiri. Dan inilah musim bunga terakhir sepanjang hayatnya di sini. Sayangnya musim bunga yang berpanjangan di hatinya selama ini juga sudah berakhir. Sudah menemui noktahnya.
Lalu sekarang musim apa pula yang bertapak di hati?
Dia menanya-nanya dirinya.
Musim panas, musim luruh, musim rontok?
Dia tiba di simpang tiga, menapak ke kiri dan kemudiannya melintasi deretan kedai yang sebahagiannya sudah tutup. Beberapa belas meter di depan, Dawwar Nasiem masih lagi hidup dan basah disimbah cahaya. Lampu isyarat yang menjadi penunggu setia simpang empat di situ masih lagi sibuk beroperasi mengawal lalulintas.
Sumayyah menyeberang jalan empat lorong dua hala di hadapannya. Dia menapak secepat mungkin. Sebelum lampu isyarat bertukar warna, dia sudah tiba di seberang jalan.
Beberapa lelaki Arab yang sedang melepak sambil minum-minum di hadapan Restoran Abu Yousef menoleh ke arahnya ketika dia lalu. Ada yang bersiul-siul apabila melihatnya berjalan berseorangan begitu.
Hati Sumayyah hangat apabila menyedari dirinya menjadi bahan perhatian, bahan siulan.
Ah, pedulikan. Dasar jantan. Aku berjubah macam ini pun ada yang nak menggatal.
Namun dia lekas sedar dan di dasar hatinya terdetik resah. Sekarang sudah pukul berapa? Mana ada lagi gadis Melayu yang berani keluar rumah pada waktu begini melainkan dalam kumpulan yang besar.
Langkahnya berganda laju. Bahaya selalunya tidak berbau. Ada rasa takut tersemai perlahan-lahan.
Pondok menunggu kenderaan awam di situ lengang. Bulan agak suram. Langit pula tidak terlalu cerah. Sumayyah berganda resah. Coaster dari arah Eidun yang akan ke Wasatul Balad tidak muncul-muncul. Jam tangan dikerling sekilas. Kalau tiada juga, alamat terpaksalah menaiki teksi.
Naik teksi pada malam-malam begini?
Dia terhimbau peringatan yang diberikan oleh persatuan pelajar di sini yang melarang siswi memberanikan diri keluar tanpa sebab yang terlalu mendesak selepas waktu Isyak, apalagi menaiki teksi seorang diri.
Beranikah aku berseorangan menaiki teksi? Bagaimana jika diculik terus oleh pemandu?
Pemuda-pemuda Arab yang bersiul-siul tadi masih memerhatikannya dari jauh. Dia mengejipkan mata. Tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan. Coaster, cepatlah muncul!
Sejurus selesai membantu Raihani dan teman-teman serumahnya berpindah tadi, mereka mendesaknya bermalam di Bait Raudhah sahaja. Tetapi dia bertegas mahu pulang juga. Tidak tergamak rasanya membiarkan Marianis yang pastinya sudah lama menunggu di rumah. Tercalit juga kesal di hati apabila berdepan situasi begini. Hendak berpatah balik ke Bait Raudhah terasa segan. Ah, perjalanan mesti diteruskan.
Sumayyah sedar, dia masih ada pilihan selain menaiki teksi jika coaster yang dinanti tidak muncul. Berjalan kaki. Jaraknya pun bukanlah jauh sangat. Kurang lebih satu kilometer. Tetapi berjalan kaki seorang diri pada waktu begini dalam jarak sebegitu tidak pernah dilakukannya.
Perasaan lain pula datang.
Bagaimana jika ada di kalangan exco siswa melihat aku dalam keadaan begini? Mantan exco tertinggi siswi berjalan malam seorang diri. Tentunya jadi bahan pertikaian pihak siswa dalam mesyuarat bulanan nanti. Dan pastinya berjela-jelalah muhasabah yang harus ditelan oleh barisan exco siswi.
Lelaki, memang gemar mencari salah wanita. Apakah mereka tahu yang aku bersebab? Pedulikan semua itu dulu! Yang penting, aku selamat sampai di rumah malam ini.
Pada musim panas, waktu begini bukanlah terlalu lewat justeru siang lebih panjang disebabkan matahari terbenam agak lambat. Namun ketetapan bagaikan sudah menjadi kewajipan yang mesti dipatuhi. Mahasiswi tidak digalakkan keluar rumah apalagi berseorangan seperti yang sedang dia lalui. Bagaimanapun rasanya inilah kali pertama sejak empat tahun belajar di sini, dia terpaksa berbuat begini. Bukannya selalu.
Pandangannya tidak pernah jemu mengawasi kalau-kalau ada coaster yang akan ke Dawwar Jami’ah – tanpa mengira ia datang dari arah Pekan Eidun, perumahan Hayyu Janubiy mahupun Hentian Amman. Lalulintas berterusan melayan kenderaan. Teksi memang banyak berkeliaran tetapi tidak dihiraukan. Dia yakin kenderaan awam yang paling popular di negara ini - selain teksi dan bas - akan muncul sebentar lagi.
“Assalamualaikum.”
Kedengaran suara seorang lelaki dari arah belakangnya. Sumayyah terkejut namun menjawab salam itu perlahan sebelum berpaling. Dadanya berdebar kuat.
Lelaki Arab?

dawwar – bulatan

0 komentar: