DARI JAUH RESTU DIPOHON
HARI-hari terakhir menjelang peperiksan begini, yang paling wajar ialah mentelaah pelajaran. Tidak semestinya membaca dan menghafaz sahaja, berbincang juga banyak memberikan input bagi sesetengah mata pelajaran, begitu menurut seorang pakar motivasi. Namun, hajatnya untuk mentelaah sejurus selesai solat Asar terbantut dengan kedatangan Izzati.
“Kak Anis minta saya jemput Kak Mai dan Kak Teh ke rumahnya sekarang juga.”
“Apa pula halnya si Anis tu? Patutnya dia datanglah sendiri. Ini siap berjemput-jemput lagi.” Fatihah merungut.
“Entahlah, kak. Katanya ada hal penting,”
“Hal penting apa pula? Kan akak tak terlibat lagi dengan persatuan.”
Izzati sekadar menggeleng. Tidak bersuara tetapi begitu sabar menanti dia dan Fatihah bersiap.
Sementara Fatihah meneliti wajahnya di cermin, Sumayyah menyarung stoking buatan Syria yang berwarna coklat muda hingga mencecah lutut. Mindanya cuba menebak, apakah sebenarnya tujuan Marianis memanggil mereka berdua petang ini.
Searifnya, Marianis pemimpin yang amat rasional, dedikasi dan sangat mengutamakan kebajikan anak buahnya. Mustahil pula jika Ketua Siswi itu mahu mengadakan mesyuarat exco siswi atau mana-mana biro memandangkan peperiksaan akhir akan bermula lusa. Atau ada mesyuarat tergempar? Kalau ada pun, apa kena-mengena dengan dirinya? Bukankah dia sudah melepaskan tanggungjawabnya sebagai Timbalan Ketua Siswi pada bulan lepas?
Tanpa disertai Hakimah yang katanya mahu ke Bait Raudhah di Dawwar Nasiem, mereka bertiga melangkah menuju sasaran. Rumah Marianis terletak di sebelah kanan Dawwar Jami’ah. Agak hampir dengan pintu masuk jihat utara yang lebih dikenali sebagai Bab Syamaliy. Jika berjalan kaki dari Hotel Hijazi, perjalanan biasanya memakan masa hampir suku jam.
Masing-masing kurang berbual sambil melangkah. Sebuah coaster berhenti tidak jauh daripada mereka bertiga. Turun seorang gadis Arab berpurdah sambil memimpin tangan wanita berusia dalam lingkungan separuh kurun. Barangkali ibunya.
Khabar apakah umi agaknya?
Di matanya gesit melintas tampang wanita agung kesayangannya. Hatinya menjerit. Alangkah rindunya pada umi!
Umi, bagaimana kesihatanmu? Harapnya makin bertambah segar dan sihat. Moga Allah jauhkanlah umi daripada penyakit kencing manis yang pernah menyerang itu. Umi kenalah selalu makan ubat dan jaga makan.
Kaki terus melangkah. Ingatan terus bercambah.
Abah pula bagaimana? Apa khabarkah engkau? Macam mana dengan industri kerepek yang abah bangunkan secara kecil-kecilan sejak pencen? Bagaimana pula dengan tugas sebagai imam kampung kita, apakah masih disandang lagi? Tentu abah sibuk walaupun sudah bersara. Tak sangka, setelah bersara pun masih ada cita-cita nak jadi usahawan berjaya.
Err, Kak Long dan Kak Ngah selalu tak balik jenguk umi dan abah? Jarak dari rumah Kak Long di Batu Pahat ke Senggarang bukanlah jauh sangat. Lebih kurang 20 minit saja. Patutnya Kak Long mesti jenguk mereka paling tidak sekali seminggu. Walaupun sudah bersuami, sebagai anak perempuan sulung, kedua-dua orang tua juga harus diutamakan. Ah, Abang Long tentu faham.
Kak Ngah pun janganlah jarang-jarang balik. Masa masih bujang inilah waktunya untuk lebih kerap pulang ke kampung. Bila dah bernikah esok, tentunya agak payah. Nak balik kampung pun kena ikut giliran. Itulah, siapa suruh Kak Ngah pilih orang jauh?
Sejak Zuhur tadi, ingatan itulah yang bertalu-talu datang. Puas dia memujuk hatinya menyuruh bersabar dan lebih menumpukan perhatian kepada muqarrar yang dibaca. Namun wajah umi, abah dan dua saudara kandungnya bagai tidak jemu-jemu bertandang dan menjengah retina mata. Rindu terus-terusan menyala. Biarpun peperiksaan semakin dekat, nampaknya ada rindu yang makin menanah di kalbu dan perlu ditawarkan segera.
Dan sudah menjadi kelazimannya, setiap kali bakal berhadapan dengan imtihan, dia akan menghubungi orang tuanya. Apatah lagi, mulai Isnin ini dia akan berjuang menghadapi peperiksaan terbesar sepanjang hayatnya sebagai seorang pelajar. Justeru sepulangnya dari rumah Marianis nanti, dia akan mengajak Fatihah menemaninya. Dia mesti menelefon mereka – bertanya khabar dan memohon doa restu kedua-duanya.
“Teh, balik nanti, kita singgah kedai telefon ya.”
Fatihah mengangguk memberi persetujuan. “Aku pun rasa nak telefon keluarga. Dah lebih sebulan tak hubungi mereka.”
Sebaik sahaja tiba di hadapan rumah Marianis, Izzati menekan loceng. Beberapa saat kemudian, pintu besi berwarna merah tua itu terkuak ke dalam. Marianis menyambut mereka dengan senyuman menawannya.
“Apa halnya, Anis?” tanya Sumayyah tatkala menyalami pemimpin siswi itu. Di ruang tamu rumah sewa yang dinamakan Ainul Mardhiah itu, dia mendapati Raihanah, Rahayu, Zainura, Ika Zahirah, dan Fara Hani sudah menanti. Mereka lalu bersalaman. Termasuk Fatihah dan Izzati, ini semua barisan exco siswi, desis hatinya.
“Ada apa ni?” desak Sumayyah lagi yang masih terpinga-pinga. Rasanya Marianis sudah maklum, dia akan terbang pulang ke Malaysia lima hari sesudah peperiksaan berakhir. Apa perlunya dia hadir bersama pertemuan begini.
Membuat keputusan
4 years ago
0 komentar:
Post a Comment