12/14/2005

Siri 27

AKHLAK SEINDAH WAJAH

BUNYI sudip kayu berlaga dengan loyang menerjah gegendangnya. Mata Sumayyah melilau seketika. Tidak kelihatan Fatihah yang tadinya berkongsi air mata. Hanya dia sendirian di kamarnya.
Barangkali Fatihah sudah selesai memasak di dapur. Barangkali juga proses menyiapkan kek gula hangus sudah lebih separuh berlalu. Hanya menunggu masa untuk membakarnya sahaja. Dan petang nanti, tentunya Hakimah akan meminta dia atau Fatihah menemaninya ke rumah Ustaz Hakimi di Dawwar Iskan bagi menyerahkan kek itu.
Lekas terbayang wajah Hakimah yang merona merah dan tersipu-sipu setiap kali mereka berpapasan dengan Ustaz Hakimi di kampus. Sudah lebih setahun pasangan ideal itu mengikat tali pertunangan. Dan sebaik sahaja Hakimah menamatkan pengajiannya pada musim panas nanti, mereka akan segera diijabkabulkan. Alangkah bahagia, itu yang dirasakannya.
Dia ingat benar, Hakimah dan Hakimi pertama kali bertemu dalam majlis sambutan hari raya Aidil Fitri anjuran PERMAYA tahun lepas yang diadakan di Dewan Petra. Sebelumnya mereka langsung tidak mengenali apalagi pernah bertemu di mana-mana. Namun dalam diam-diam, hati pelajar peringkat sarjana itu telah terpaut dengan pandangan pertama.
Lantas melalui perantaraan Ustaz Fakhrurrazi selaku orang tengah, Hakimah gesit dirisik dan jawapannya positif. Selanjutnya liqa’ taaruf pertama bagi mempertemukan kedua-duanya diatur di rumah penasihat PERMAYA itu. Tidak sampai dua bulan kemudian, majlis pertunangan dilangsungkan keluarganya di Melaka sekalipun tanpa kehadiran Hakimah.
Betapa singkatnya tempoh pertemuan dan perkenalan itu, tetapi Allah permudahkan sehingga terjalinnya ikatan murni pertunangan. Jauh berbeza hubungannya dengan Afnan yang sudah lebih tujuh tahun, tetapi akhirnya menemukan noktah perpisahan.
“Ini semua kerja Tuhan.” Begitu kata Hakimah selalunya. Dan dia akur. Pertemuan dan perpisahan memang sering tidak terjangkakan.
Dia memperlahankan kipas. Mendekati jendela lalu memandang keluar. Pandangannya melesat ke arah rumah Nawwal di aras dua pangsapuri yang bersetentang dengan pangsapuri kediamannya. Seorang pemuda kelihatan berdiri di jendela bilik gadis Kristian itu.
Subhan Allah!
Sumayyah segera melarikan diri dari jendela kamarnya. Terperanjat benar dia. Bimbang juga kalau-kalau dirinya yang tidak menutup aurat menjadi sasaran pandangan lelaki ajnabi. Soalnya, siapa lelaki di jendela kamar Nawwal? Apakah Nawwal yang selama ini agak mesra dengannya turut terikut-ikut budaya Barat yang menggalakkan pergaulan bebas sedemikian? Lantaklah!
Dia menghampiri cermin. Menatap pantulan wajah sendiri. Lalu bibirnya melafaz doa yang biasa dibaca:
Ya Allah, perelokkanlah akhlakku sebagaimana kau perelokkan wajahku.
“Buta agaknya si Afnan tu?”
Dia masih teringat kalimat Fatihah dalam nada geram dan jengkel malam tadi.
“Dia mau yang macam mana lagi?”
“Apa kurangnya kau, Mai? Bagi aku, kau dah lengkap serba-serbi. Nak apa lagi? Orangnya boleh tahan. Cantik, lemah lembut … pandai bercakap.”
“Lagi?”
“Cun, menggoda, mantap.”
“Hisy, yang mantap menggoda tu aku tak sanggup dengar.”
Mereka berdua sedikit tergigil ketawa. Sumayyah sedar, Fatihah sengaja menyuntik ria di hatinya. Menghalau jauh-jauh rasa gundah yang cuba menyelusup sesekali.
Dia merenung dirinya dalam cermin.
Cantikkah aku? Apakah kecantikan lahiriah lebih aula daripada keindahan batiniah? Apakah akhlakku telah sempurna sebagaimana Allah menyempurnakan wajahku?
Sehingga kini dia masih tidak pasti mengapa Afnan memilih gadis lain dan memutuskan hubungan mereka. Tujuh tahun hubungan mereka bukanlah tempoh yang singkat untuk menilai peribadi. Dia mengenali Afnan, namun siapalah yang dapat menduga hati lelaki. Barangkali dia telah menemui yang lebih baik dan lebih sempurna, teka Sumayyah. Barangkali faktor jarak juga memainkan peranan.
Ah, dia tidak kuasa untuk memikirkannya. Dia tidak mahu mengenang Afnan lagi. Pilihlah wanita mana sekali pun, dia peduli apa. Pergilah segala kenangan dan kedukaan. Yang sudah-sudah, biarlah segera berlalu. Sekarang, di hadapannya ada peperiksaan dan pelbagai ujian yang lebih mencabar apabila pulang sebagai graduan Timur Tengah.
Pintu kamarnya diketuk dari luar sebelum terkuak. Hakimah melangkah masuk, menghampirinya dan mendakapnya tubuhnya belakang. Sama-sama menghadap cermin.
“Kenapa kau terlalu berahsia selama ni, Mai?”
Pastinya Fatihah sudah memberitahu gadis di depannya ini. Sumayyah mewah senyum.
“Sebab ia aku anggap terlalu remeh untuk kita kongsi. Ada banyak lagi masalah ummah yang lebih besar yang perlu kita fikirkan.” Dia lekas mahu mengalih mauduk. “Err, dah hangus kek gula kau?”
“Tak jadilah nak hantar kek gula hangus tu.”
“Kenapa pula?”
“Aku terbuat kek sarang semut.”
Mereka tergelak bersama. “Macam-macamlah kau ni.”
Sumayyah menarik kerusi lalu duduk. Hakimah masih di depan cermin, meneliti jeragat halus yang menumpang di pipi kirinya.
“Oh ya, Wafa’ ada datang masa kau takda tadi.”
“Dia okey?”
Kebelakangan ini dia jarang bertemu gadis Palestin itu. Masing-masing bagai berhambatan dengan masa. Tambahan pula demam peperiksaan sudah melanda.
“Nampak okey saja. Kami pun malas nak tanya tentang nasib abangnya. Cuma, dia bawa cerita tentang Yusra?”
“Kenapa dengan Yusra?”
“Katanya Yusra makin jarang berada di rumah. Selalu pulang lewat malam. Dan baru-baru ni mereka berperang mulut. Puncanya, Yusra ada bawa balik teman lelakinya masa Wafa’ dan Muna tak ada di rumah.”
Sumayyah menghela nafas panjang. Matanya lekat di jendela kamarnya. Sebentar tadi, dia baru menyaksikan fenomena serupa yang terjadi di bangunan sebelah sana, di kamar Nawwal.
Budaya apakah ini? Agama manakah yang mengajar dan membenarkan umatnya agar menyeret lelaki asing pulang ke kamar? Inilah fitnah akhir zaman!
Yusra. Nawwal. Yusra dan Nawwal. Sebangsa, berbeza agama, tapi berkongsi satu budaya hina.


Ajnabi – asing
Liqa’ – pertemuan



0 komentar: