KEK GULA HANGUS
SEMUA kuliah berakhir hari ini. Pengajiannya bagi semester ini sudah khatam. Sebaik sahaja kuliah Madkhal ila Ilm at-Tarbiyyah oleh Dr. Hanan Hayiek bubar tadi, segunung syukur segera dirafakkan kepada Ilahi yang selama ini memberikannya segala kekuatan. Barangkali itulah kuliah terakhir yang dihadirinya sepanjang pengajiannya untuk meraih ijazah sarjana muda di Universiti Yarmouk. Kini yang bakal dihadapi hanyalah imtihan!
Sumayyah bersedia menyeberangi jalan. Memandang ke kiri, ke kanan dan ke kiri semula. Di belakangnya Masjid Universiti Yarmouk. Di seberang, dua buah restoran makanan segera. Kurang 50 meter di sebelah kanannya, Bulatan Dawwar Jami’ah yang sentiasa bernyawa. Kenderaan tidak terlalu banyak, lalu dia melintas.
Imtihan. Imtihan. Imtihan.
Hanya itu yang bermain di benaknya.
Tidak sampai seminggu peperiksaan akhir akan menjelma. Kesempatannya untuk mengulangkaji cuma tinggal beberapa hari. Isnin depan, bermulalah perjuangan akhirnya setelah empat tahun merasai manis kelat kehidupan seorang mahasiswa. Lantas dari Kulliyyah Tarbiyyah, dia terus sahaja ke Perpustakaan Universiti. Sekarang, dia ingin pulang ke rumah setelah dua jam dihabiskannya dengan menelaah di sana.
Jam menunjukkan pukul 12.20 tengah hari. Pasti Hakimah dan Fatihah sudah berada di rumah. Kuliah mereka tamat semalam, tetapi tetap ke kampus bersamanya awal pagi tadi untuk menghantar tugasan yang diwajibkan pensyarah.
Matahari belum sedikit pun condong ke barat – tegak di atas kepala. Tenggoroknya terasa kering. Lalu dia singgah ke kedai runcit di sebelah Galeri Kinafah Habibah. Aroma kinafah Nablusiyyah yang baru dimasak menusuk rongga bau. Terbayang-bayang warna jingga lapisan atas makanan tradisi Arab yang berasal daripada susu itu. Beberapa botol air mineral dan sebotol minuman berkarbonat di dalam peti ais diangkutnya ke kaunter sebelum dijinjit pulang ke rumah.
Dia melintasi Hotel Hijazi yang khabarnya sudah bankrap, kemudian menuruni bukit di simpang tiga Jalan Baidha’. Keringat merenik dan tubuh terasa berlengas. Ada dua buah kafe siber di kiri jalan. Di belakang sebuah kedai dobi di sebelah kanan, berdiri bangunan Abu Abdillah yang banyak didiami pelajar-pelajar dari benua Afrika. Di sebelahnya pula, bangunan tiga tingkat milik seorang janda Syria – kebanyakan rumah sewa di dalamnya dihuni para pelajar perubatan di Universiti Sains & Teknologi Jordan. Selang beberapa buah rumah di sebelah kanan penempatan itu, barulah kelihatan bangunan pangsapuri Abu Syauqi setinggi empat tingkat yang menjadi kediamannya.
Tiba di pintu Bait Fatimah az-Zahra’, bau pekasam ikan sepat lekas terhidu. Terdengar gurau senda Hakimah, Fatihah dan seorang lagi yang tidak dipastikan suaranya dari arah dapur. Dia menggeleng. Apalah agaknya lawak si Fatihah kali ni?
Tanpa singgah di kamarnya terlebih dahulu, terus sahaja dia ke dapur.
“Panjang umur kau, Mai,” seru Fatihah yang sibuk membasuh beras sebaik sahaja perasan akan kepulangannya. Hakimah pula duduk bersila memukul telur dalam mangkuk besar di sebelah Nazura yang mengayak tepung.
“Apasal tak ajak Izzati sekali? Ingat nak suruh bakal ahli baru masak untuk kita hari ni.” Fatihah menambah dalam nada bergurau. “Boleh kita ragging dia orang sikit.”
Nazura tersenyum manis, mendongak memandang Sumayyah. Gadis yang bakal menggantikan tempat Hakimah di rumah ini selepas semester depan nanti menyeka hidungnya yang disinggahi tepung.
“Aku tak terjumpa dia pun. Dah dekat nak imtihan ni, semua orang berkurung dalam bilik. Batang hidungnya pun tak nampak.” balas Sumayyah seraya meletakkan botol-botol minuman yang baru dibelinya di lantai. “Eh, Kim, kau nak buat apa ni?”
Hakimah diam. Tekun meneruskan kerjanya.
“Ada orang nak sambut hari lahir esok.” Fatihah menjawab tanpa dipinta sambil tersengih-sengih.
“Nak buat keklah, Kak Mai.” Nazura pula menjelaskan.
“Kek hari lahir siapa pula? Kim, kan kau lahir bulan lapan?” Sumayyah keliru. Memang dia ingat benar tarikh lahir teman-teman rapatnya.
“Bukan Kim punyalah Cik Mai ooi, tapi kekandanya al-Fadhil Sahibus samahah,” ujar Fatihah sebelum disambut hilaian tawa Sumayyah dan Nazura. “Jadi, inilah hadiah paling bermakna daripada adinda tercinta.”
Hakimah menarik muka selamba. Tumpuannya langsung tidak terjejas dengan usikan Fatihah. Selesai memukul telur, dia mengeluarkan mentega. Sementara Nazura menyukat gula pasir.
“Jadi, nak buat kek apa ni? Kek pisang lagi ke?” Sumayyah agak berminat. Rasanya dia pernah membantu Hakimah menyiapkan kek itu menjelang hari raya dahulu untuk dihantar kepada Ustaz Hakimi.
“Sekarang tak mainlah kek pisang. Kim dah ada resipi baru, tau.” Fatihah meneruskan peranannya yang peramah dan suka mengusik.
Gadis Melaka itu membisu sejuta bahasa. Sumayyah bertinggung di sisinya. Ralit melihat ketekunan sahabatnya mengokot baki mentega di dalam tin.
“Katanya kek gula hangus,” beritahu Nazura, membantu.
“Kek gula hangus? Wah, sedap tu.”
Pandangan Sumayyah dan Fatihah berlaga.
“Jadi ke tidak, sedap ke tidak; tak penting. Itu soal nombor dua. Tak gitu, Kim?” sela Fatihah. “Kalau hangus legam pun Ustaz Hakimi tetap akan kata sedap juga.”
Tawa terpecah kuat serta-merta.
Kinafah – sejenis makanan yang manis berasal daripada susu
Membuat keputusan
4 years ago
0 komentar:
Post a Comment