Fenomena novel cinta berunsur agama
Sumber : Mingguan Malaysia 7 Ogos 2011
Acara bulanan Dialog Orang Muda (DOM) anjuran Persatuan Penulis Nasional (Pena) dengan kerjasama Institut terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di Rumah Pena, Kuala Lumpur baru-baru ini membincangkan mengenai dakwah dan komersialisme sastera Islam. Pada sesi kali ini DOM diterajui oleh moderator Ainul Muaiyyanah sementara Nasriah Abdul Salam, Lutfi Ishak dan Saifulizan Yahya sebagai panel.Isu yang dibangkitkan dalam dialog ini adalah suatu yang sangat menarik. Daripada dialog ini dapat dibuat kesimpulan semua panel bersetuju bahawa sastera Islam tidak wajar dikomersialkan dengan melampau sehingga menimbulkan jelak kalangan pembaca. Nilai dakwah mesti mendahului komersialisme.
Sebagai contoh, novel yang temanya cinta seorang gadis yang direbut beberapa orang lelaki atau seorang lelaki dan diminati oleh ramai perempuan. Bezanya cuma mereka ini diwatakkan memakai tudung dan kopiah, mungkin berjubah dan berjanggut dan belajar di Mesir atau mana-mana negara Arab. Konflik dan plot tetap pengulangan kepada novel cinta picisan, cuma gambaran aksi tidak patuh syariah seperti adegan peluk, cium, keluar makan berdua- duaan dengan bukan mahram ditiadakan.
Sebenarnya sastera di Indonesia juga disebut dan dikaitkan dengan kebangkitan apa yang dinama novel Islam itu. Ini tercetus selepas novel Ayat-Ayat Cinta karya Habiburrahman El-Shirazy menjadi fenomena selepas difilemkan di Indonesia. Fenomena tersebut sampai ke Malaysia sekaligus membuka lembaran baru kepada penerbit novel khususnya PTS melalui anak syarikatnya PTS Litera Sdn. Bhd. yang pantas memainkan peranan di persada penerbitan negara.
Pada masa yang sama terbit novel Islam sulung PTS berjudul Salju Sakinah tulisan Zaid Akhtar, seorang graduan lepasan sebuah universiti di Jordan yang kisahnya juga berlatarkan Jordan. Sebenarnya Zaid telah lama menulis novel ini dan disiarkan secara bersiri dalam Utusan Malaysia, lama sebelum Ayat-Ayat Cinta menjadi fenomena.
Menurut SM Zakir yang melontarkan pandangan dalam dialog itu, Ayat-Ayat Cinta adalah suatu perancangan daripada golongan agamawan yang mahu menyekat suatu gelombang baru pasca kejatuhan Suharto. Gelombang tersebut adalah kebangkitan daripada sasterawan yang menggelarkan diri mereka sebagai sasterawan Utan Kayu. Mereka adalah sekolompok penulis yang merayakan kejatuhan Suharto dengan simbolik kepada kebebasan dalam berkarya. Ini kerana pada zaman Suharto tidak dibenarkan sebarang novel atau bahan bercetak memperinci dan mendedahkan tubuh badan dan unsur seksualiti sekalipun atas nama seni.
Justeru golongan ini dengan beraninya mula menunjukkan penentangan terhadap orde Suharto dengan menulis novel-novel berbaur seks, erotis dan ternyata dengan beraninya membogel dan bercerita dengan bebasnya mengenai perkara-perkara ini dalam novel mereka. Antara penulis dari Utan Kayu ini adalah Ayu Utami yang menulis novel Saman. Seorang wanita membicarakan seks secara terbuka dalam sebuah novel adalah satu perkara baru dan ia mendapat sambutan yang amat memberangsangkan di Indonesia.
Justeru, kelompok penulis yang dimulai oleh Habiburrahman El-Shirazy bangkit dan menerbitkan karya-karya yang berunsur Islam yang sangat kental, dimulakan dengan Ayat-Ayat Cinta sehinggalah ia difilemkan dan menjadi sangat sukses di Indonesia. Gelombang novel berunsur Islam ini kemudian dilihat sangat berjaya mengekang kebangkitan apa yang dinamakan dengan sastera wangi oleh para penulis Utan Kayu. Sebagai kesimpulan, SM Zakir menganggap gagasan novel Islam Habiburrahman El-Shirazy berjaya dalam dakwahnya di Indonesia.
Saya kembali teringat kata-kata penulis Faisal Tehrani ketika saya mengajukan persoalan apakah karya-karya Habiburrahman El-Shirazy boleh dikelaskan sebagai sastera Islam. Faisal pada masa itu lebih bersetuju dengan kelas novel pop Islam. Antara alasannya adalah kerana budaya dan cuaca sosiologi di kedua-dua negara adalah berbeza.
Di Indonesia ada Habiburrahman El-Shirazy dengan novel-novel berunsur Islamnya bagi mengekang pengaruh sastera wangi (baca sastera lendir). Apakah di Malaysia ada sebarang novel cinta berunsur Islam bagi mengekang kebanjiran novel cinta picisan yang mendominasikan pasaran sejak lama dulu? Sebenarnya kita juga mempunyai penulis-penulis yang sememangnya menggunakan unsur Islam sebagai dasar dalam penulisan mereka seperti Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, Azman al-Kurauwi, Nisah Haron, Salina Ibrahim, Fatimah Syarha dan ramai lagi dapat mengimbangi lambakan novel cinta picisan yang sedia banyak di pasaran.
Lebih menguatkan lagi, kebanyakan pengarang ini adalah lulusan pengajian tinggi agama dari universiti dalam dan luar negara dan paling tidakpun adalah lepasan sekolah menengah agama. Ini membawa kelainan kepada mereka dalam berkarya dan kita yakin lebih ramai yang akan mengikuti jejak mereka.
Dalam hal ini juga, PTS memainkan peranan yang sangat strategik kerana muncul tepat pada waktunya melalui anak syarikatnya, PTS Litera Sdn Bhd yang sememangnya mahu menerbitkan karya-karya berunsur Islam kerana beranggapan bahawa ia adalah lautan biru yang sangat berpotensi diterokai. PTS Litera yang ditubuhkan pada tahun 2007 kini boleh tersenyum dengan karya-karya berunsur Islam yang mereka terbitkan.
Bukan itu sahaja malah penulis-penulis muda dan baru yang diberi peluang untuk menempatkan diri dalam lapangan penulisan. Disusuli pula oleh penerbit lain seperti Galeri Ilmu, Telaga Biru dan lain-lain. Itu suatu perkembangan positif terhadap karya-karya sastera yang berunsurkan Islam di negara ini. Dalam lambakan novel-novel picisan yang menyingkap persoalan cinta secara nipis di atas permukaan kemanusiaan, sosial dan Islam, novel-novel yang lebih menekankan Islam secara dasarnya dapat memberikan pilihan kepada khalayak pembaca.
Memo: Sekadar pembetulan, Salju Sakinah adalah novel Islami yang ketiga diterbitkan oleh PTS Millenia (sebelum diambil alih oleh PTS Litera Utama). Ia didahului oleh Curahan Cinta Niagara dan Warkah Cinta Berbau Syurga.
0 komentar:
Post a Comment