3/08/2007

Siri 46

AIR MATA KEPULANGAN

SEWAJARNYA saat-saat begini diisi dengan senda gurau dan gelak ketawa. Paling tidak saling bertukar cerita bagi mengusir rindu yang lama bertamu. Tetapi segala kata-kata bagaikan tersangkut di rengkung. Dan air mata pula terasa makin sukar untuk dikepung.
Sumayyah memandang lama ke depan. Kemudian dia menoleh ke kanan memerhatikan Salbiah menukar gear yang lebih rendah sebelum menekan pedal minyak memintas sebuah lori biskut. Perjalanan terasa kosong meskipun Lebuh Raya Utara Selatan tidak pernah sunyi daripada kenderaan.
Takdir apakah ini?
Sesekali dia mengerling ke tempat duduk belakang. Umi sedang terlena. Tampak letih dan kurang bermaya.
Bagaimana harus kutelan semua ini?
Jasadnya juga letih. Perjalanan lebih kurang lima belas jam termasuk dua kali transit – di Beirut dan Dubai – cukup memenatkan. Namun dalam situasi sesukar ini, hati yang sepilu ini, dia lebih banyak melayan perasaannya.
Tepat jam 7 pagi tadi dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Selesai menguruskan bagasi, dia menyorong troli keluar dari balai ketibaan. Tampak umi dan kakaknya yang kedua, Salbiah sedang menanti lalu dia menerpa ke arah mereka.
Rindu yang ditanggung selama lebih seribu hari itu pecah di situ. Mereka bertiga saling berdakapan, saling menitiskan air mata. Gembira menyeluruh dalam dada.
Tetapi intuisinya lekas mencium sesuatu yang tidak sempurna di matanya.
“Umi, mana abah?”
Kenapa hanya mereka berdua? Matanya melilau ke kiri dan ke kanan. Mencari-cari wajah abah. Manalah tahu abah sengaja bersembunyi di celah-celah orang ramai untuk mengejutkannya. Mungkin juga abah hilang sebentar ke bilik air. Masakan abah tidak datang.
Kembali menatap wajah umi dan Salbiah. Kedua-duanya saling bertukar pandangan. Umi cuba menghulur senyum, menunduk sebelum menggeleng.
“Abah mana, umi?”
Dia mengulang bertanya. Hati tidak sedap. Alangkah kurang bermaknanya kegembiraan ini jika abah tidak dapat datang bersama menjemput.
“Kak Ngah, mana abah?”
Geleng juga. Kakaknya itu menoleh ke arah lain.
“Kak Ngah, abah mana?”
Dia merapati kemudian memegang kedua-dua bahu kakak kandungnya. Salbiah menoleh kembali memandangnya tepat. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati mata kakaknya basah dan merah. Ada titis hangat perlahan-lahan menuruni pipi. Menoleh pula ke arah uminya. Serupa.
Apa erti semua ini?
Salbiah merangkul tubuhnya tiba-tiba. Dia bertambah keliru. Apa sebenarnya yang berlaku?
“Mai, sabar … sabar, dik,” bisik kakaknya dalam suara yang terputus-putus.
Dia makin tidak faham.
“Umi, Kak Ngah … apa sebenarnya?” desaknya, meleraikan pelukan. “Apa sebenarnya ni? Tolong cakap kat Mai apa sebenarnya berlaku?”
Masing-masing hilang suara. Dia memandang umi dan kakaknya bersilih ganti. Salbiah mengejip-ngejipkan mata. Umi memejam dan mengangguk-ngangguk, seboleh mungkin berusaha membendung sebak lalu mendakap tubuhnya sekali lagi. Tubuh uminya terhenjut-henjut menahan esak.
“Mana abah, umi? Mana abah?”
“Abah … abah, abah dah tak ada.”
Ya Allah!
Tubuh terasa longlai.
Benarkah apa yang kudengar?
Sumayyah sedikit tersentak apabila terdengar bunyi hon. Sebuah Mercedes biru bermata belalang memotong Proton Waja yang mereka naiki setelah diberi ruang. Dia menyeka air matanya, lalu memandang ke kanan. Salbiah begitu tenang memandu meski kesan-kesan tangisan tadi masih ada. Umi di belakang masih terlena.
Keletihan menggigit. Tetapi wajah damai abah sekejap mengecil sekejap membesar di ingatan menghalangnya daripada turut terlena – bukti kesenduan lebih berkuasa. Dia memandang ke hadapan semula. Matanya dikejip-kejipkan. Sedekah al-Fatihah buat abah diteruskan.
“Bila?”
“Rabu minggu lepas, malam Khamis.”
Serasa-rasanya pada malam itulah bingkai gambar abah dan umi di atas meja tulisnya terlangkup lalu retak setelah ditiup angin malam Mediterranean. Apakah itu petanda?
“Abah sakit?”
Dia kembali tenggelam dalam rangkulan kakaknya. Umi diam mengawal sedan. Membiarkan Salbiah menjawab segala pertanyaan.
“Kemalangan motor. Lepas Isyak sepulangnya dari masjid.”
“Berlanggar dengan apa?”
“Katanya motor abah kena sondol kereta.”
“Kat mana?”
“Tak jauh dari masjid. Sampai sekarang tak tahu siapa. Lepas langgar terus lari.”
Dia menggetap bibir. Geram. Tetapi itulah takdir.
Sebak mencapai tahap maksimum. Dia tidak dapat bertahan lagi lalu menangis di situ juga. Payah untuk percaya. Kelat untuk ditelan. Tetapi sebagai seorang muslimah – malah sesiapa jua – mesti menerima dengan hati terbuka: Setiap yang hidup pasti mati. Dan sudah sampai masanya abahnya pergi.
Terasa lembut tangan umi membelai dan sesekali menepuk-nepuk belakangnya, cuba meredakan tangisannya. Apabila dia menoleh ke belakang, umi masih lagi tidur. Salbiah di sebelah tenang seperti tadi.
“Jangan terlalu ikutkan perasaan, Mai.” Akhirnya kakaknya bersuara, setelah masing-masing tenggelam diulit kesayuan. Terutama dirinya.
“Insya Allah tidak. Saya, saya cuma terperanjat.”
Susur keluar ke Tol Pagoh dilepasi. Pasti Salbiah mahu keluar di Tol Air Hitam.
“Kenapa Kak Ngah dan umi tak beritahu saya?”
Salbiah mengerling ke arahnya. Seolah-olah meminta soalan tadi diulangi.
“Kenapa kematian abah mesti dirahsiakan daripada saya?”
“Kami tak mau tumpuan kau terganggu, Mai. Peperiksaan akhir tempoh hari sangat penting untuk masa depan kau. Maafkan Kak Ngah.”
Sumayyah akur dalam diam. Bacaan Al-Fatihah berterusan. Tampang arwah abah makin membesar dan membesar. Suara mesra abah di talian tempoh hari terus terngiang-ngiang.

1 komentar:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.