1/04/2007

Siri 45

SATU PERJUANGAN BARU BERMULA


KEBERANGKATAN makin hampir. Detik perpisahan makin karib.
Sumayyah mengitari ruang legar Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Ratu Alia. Tidak ramai lagi penumpang yang satu destinasi dengannya kelihatan di situ. Hanya beberapa orang sahaja yang masih bersembang dengan ahli keluarga dan teman-teman yang datang menghantar.
Beberapa detik lagi pastinya dia akan dijerit oleh petugas supaya masuk segera ke balai berlepas. Kepiluan menunu di jiwa. Kalau sebelum ini perasaannya saling beraduk, tetapi apabila tiba di terminal rasa rawan lebih menguasai. Serasa metah berat hatinya untuk meninggalkan teman-teman dan Bumi Isra’ yang penuh barakah ini.
Fatihah yang selalunya menjadi pemecah sepi tampak kurang berbicara pagi ini. Keceriaan wajah persis Ezzah Aziz Fawzy itu sirna dan kesugulannya ketara. Hakimah, Wafa’, Izzati dan Nazura di sisinya pula kehilangan suara. Mata masing-masing sudah merona merah. Begitu juga Marianis, Raihanah, Rahayu, Zainura, Ika Zahirah, Fara Hani dan beberapa lagi teman yang mengiringi – turut terpengaruh dengan suasana.
Dia cuba mengawal dirinya agar tidak terlalu dibuai rasa sedih. Perpisahan adalah lumrah setiap pertemuan. Cuba-cuba melupakan kesedihan dengan menzahirkan senyuman, biarpun air mata semakin lama bagaikan semakin sukar untuk dibendung.
“Kak Mai, Lutfi dan Rahiman tu nampak gayanya macam nak jumpa akak,” beritahu Nazura.
Sumayyah menoleh ke kanan. Kira-kira sepuluh meter dari tempat mereka berdiri, tampak Lutfi dan Rahiman memberi isyarat mahu bertemu dengannya. Dia sama sekali tidak menyangka Rahiman yang menguruskan coasternya akan ditemani Lutfi pagi ini. Lalu dia melangkah mendekati dua anak muda yang menjadi pengiring perjalanan mereka ke sini.
“Maaflah kalau mengganggu. Saja nak ucapkan selamat jalan pada enti,” kata Lutfi.
Sumayyah mengangguk.
“Ana mohon maaf banyak-banyak kalau ada menyusahkan dan menyakitkan hati enti selama berada di sini.”
“Ana pun begitu, mohon maaf silap salah pada ustaz,” balas Sumayyah sambil tersenyum. Baginya, segala perbalahan kecil dan perselisihan faham antara mereke berdua yang sering memanaskan mesyuarat sudah dilupakan. Malah dianggapnya pengalaman manis dalam berorganisasi.
“Ana juga nak sampaikan salam dan ucapan selamat jalan daripada presiden dan barisan exco siswa PERMAYA. Kehilangan ustazah pastinya akan dirasai selepas ni.” Lutfi menambah. Rahiman di sisinya hanya membisu.
Geleng. Membalas salam.
“Siapalah ana ni, ustaz. Ramai lagi yang ada ketokohan. Harap PERMAYA terus sukses lepas ni.”
“Doa-doakanlah. Selamat pulang dan istiqamah berjuang, ustazah.”
“Insya Allah.”
Petugas mula menjalankan tanggungjawabnya dan pengumuman meminta para penumpang segera masuk berkumandang. Dia sudah tiada masa.
“Ustaz Rahiman, Ustaz Lutfi, terima kasih kerana sudi mengiringi kami pagi ni. Budi baik ustaz berdua, Tuhan jualah yang membalasnya.” ucap Sumayyah. Memberi salam sebelum berpaling dan melangkah.
Detik itu tiba juga. Lalu Sumayyah mendakap erat teman-temannya seorang demi seorang. Air mata yang tadinya berjaya dikepung begitu mudah merempuh keluar. Tiada kalimat yang mampu diungkapkan lagi selain ucapan wida’, ‘moga bertemu kembali’ dan ‘moga istiqamah dalam perjuangan menegakkan Islam’.
Tubuh terasa berat untuk berganjak tetapi kaki terus melangkah. Sesedarnya dia sudah melepasi kaunter pemeriksaan, mara beberapa tapak, melambai-lambai teman-temannya, kemudian tanpa berpaling lagi masuk ke balai berlepas.
Apabila pesawat naik perlahan-lahan dengan dengungnya yang agak menyeksa telinga, dia menghela nafasnya sepanjang mungkin. Cuba membuang segala kehibaan yang terbawa-bawa bersama. Kebetulan tempat duduknya di sisi tingkap lalu pandangan sengaja dilontarkan ke bumi tandus yang terbentang luas di luar.
Selamat tinggal Jordan.
Selamat tinggal Dataran Syam.
Selamat tinggal teman-teman.
Selamat tinggal semua!
Ucapan itu melantun-lantun berulang kali di dalam garisahnya. Entah bila dia akan kembali semula ke sini, ke bumi bersejarah ini. Hanya Tuhan yang Maha Arif.
Dia masih ingat empat tahun lalu, dia bermusafir ke negara ini untuk meraih sebanyak mungkin ilmu. Begitu bangatnya masa berlari dan berlalu. Justeru kini, apakah sudah sendat dada ini dengan ilmu? Apakah sudah bersedia diri ini untuk terjun menghadapi masyarakat?
Entahlah.
Moga-moga Tuhan berikan kekuatan.
Terus mengintai keluar. Pesawat naik makin tinggi. Padang pasir makin sayup di bawah.
Terbayang wajah Hakimah, Fatihah, Izzati, Nazura, Wafa’, Muna, Marianis dan teman-teman yang ditinggalkan. Terima kasih kalian kerana banyak berkongsi kasih sayang dan membaja persahabatan, desis hatinya.
Kemudian diganti wajah umi, abah, Kak Long dan Kak Ngah.
Sabarlah hati sabarlah. Rindu yang berangkai-rangkai selama ini akan terlerai.
Dia mengelih jam tangannya.
Jam 11.10 minit pagi.
Tarikh 10 Jun.
Hari ini hari penting yang tercatat dalam sejarah hayatnya. Akan diingat sampai bila-bila. Tegal hari ini dia pulang, setelah tamat satu episod perjuangan sepanjang hampir separuh dasawarsa di perantauan.
Jauh di dasar sanubarinya, dia sedar:
Satu perjuangan baru bermula.


wida’ – ucapan selamat tinggal.

0 komentar: