6/07/2007

Siri 47

BUKAN SEKADAR NAMA

SELAMAT jalan abah. Moga ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Moga sejahtera selamanya di alam abadi!
Sumayyah berpaling dan melangkah. Pusara abah yang masih merah ditinggalkan setelah melihat umi dan kakaknya sudah melewati pintu pagar tanah perkuburan. Namun surah al-Fatihah berterusan disedekahkan.
Setibanya di bawah pohon kemboja rendang berdekatan pintu pagar yang menjadi pemisah di antara tanah perkuburan dan Masjid Koris, dia menoleh kembali. Memberi salam kepada semua penghuni yang telah pergi mendahului.
Sayu hatinya. Sebak mengasak-ngasak juga. Tetapi dia sudah berjanji pada diri sendiri – tidak mahu menangis lagi. Cukuplah air mata yang tumpah di lapangan terbang dan di sepanjang perjalanan pulangnya dari Sepang ke Senggarang semalam.
“Abah mahu anak abah berjiwa besar. Jangan nama saja Sumayyah tapi lekas sangat mengalah.” Kalimat menguja itu singgah di deria dengarnya.
“Ini sikit-sikit dah nak menangis,” usik abahnya lagi.
“Mana ada?” balasnya menafikan.
Dia tersenyum sendiri. Tidak pasti pula bila kata-kata azimat berbaur usikan itu diucapkan. Tetapi mulai detik ini, ia mustahil untuk dilupa.
Langkahnya dipercepatkan. Umi dan Salbiah sedang menanti di dalam kereta. Mereka tiada destinasi lain selepas ini. Jam belum pukul lapan. Sewaktu keluar untuk berziarah ke kubur tadi, pagi baru mengintai waktu syuruk; justeru mereka belum menikmati sarapan.
Lalu Salbiah memandu keretanya perlahan-lahan meninggalkan pekarangan masjid. Jarak dari masjid ke rumah mereka cuma dua kilometer. Sumayyah menguap dua kali seraya membuang penglihatan ke sebelah kiri. Ada sesuatu yang ingin dilihatnya.
“Motor Abah kau disondol dari belakang.” Suara Pak Long Zainuddin bercerita menyelinap bersama angin yang masuk menerusi tingkap.
“Kata Noja Tahir, arwah tak sembahyang sunat ba’diyah Isyak malam tu. Selesai berdoa dan bersalam, nampak tergesa-gesa, dia setat motor, terus saja balik,” sambung abang sulung arwah Abah itu lagi.
Dia diam. Keterharuan. Tidak tahu apa yang harus diungkap. Biarlah Pak Long Zainuddin terus memperincikan tragedi berdarah yang mengorbankan abahnya setelah umi dan kakak-kakaknya nyata tidak sanggup.
“Biasanya arwah abah kau sembahyang Maghrib dan Isyak di surau kampung saja. Tapi sekali-sekala memang dia ada berjemaah di masjid untuk berjumpa kawan-kawannya.”
Sesekali terselit rasa syukur, abahnya terkorban sewaktu pulangnya dari mengerjakan suruhan Tuhan. Pulang dari masjid tempat yang mulia. Pulang dari solat berjemaah yang dijanjikan ganjaran dua puluh tujuh kali ganda.
“Kereta tu memang laju. Agaknya drebarnya dah tak sempat nak brek. Motor abah kau terbalik kat situ juga. Abah kau tercampak. Kepalanya terhentak dan mukanya mencium bahu jalan.”
Dia menekup muka. Tidak mahu membayangkan situasi itu lebih lama. Tidak sanggup. Alangkah kejamnya siapa yang melanggar abah!
“Kebetulan Zaini anak Wak Saidi baru balik dari kedai berada tak jauh dari situ. Dialah yang tolong panggilkan orang di masjid. Tapi pendarahan otaknya dah teruk sangat. Abah kau meninggal dalam perjalanan ke hospital.”
Sumayyah menghela nafas. Meskipun pelupuk matanya semakin berat namun tidak berkelip matanya memandang lokasi tragedi yang terletak cuma dua meter dari sebatang tiang telefon tatkala mereka melintasi rumah Wak Saidi.
Demi Allah, dia takkan memaafkan kesalahan pemandu yang menabrak abahnya melainkan dia datang sendiri menyerahkan diri kepada pihak berkuasa.
Sebaik sahaja tiba di simpang kampungnya – Kampung Parit Wali – Salbiah memberi lampu isyarat ke kanan. Sumayyah terus-terusan membuang pandang ke sebelah kiri. Papan tanda yang didirikan di tepi jalan begitu menjaring perhatiannya.
Desa Wali Food Sdn. Bhd.
Di belakangnya berdiri sebuah bangunan yang dikelilingi pagar. Rasanya dia pernah melihat gambar bangunan yang menempatkan kedai di bahagian hadapannya sebelum ini.
Kilang abah!
Rasa teruja untuk meninjau hasil usaha keras arwah abah. Semasa dia pulang bercuti lebih kurang tiga tahun dahulu, segalanya masih menjadi impian. Kini, abah sudah menjadikannya kenyataan. Namun rasanya buat masa ini, dia belum bersedia untuk ke sana.
Sejurus sarapan, melihatkan dia menguap-nguap beberapa kali, umi menyuruhnya berehat.
“Umi dulu pun ngantuk sangat masa baru-baru balik haji. Di negara Arab, sekarang masih malam lagi. Beza lima enam jam dengan kita.”
Sumayyah tidak membantah kerana memang dia sangat mengantuk. Jam biologinya masih berbeza. Jadual tidurnya memerlukan sekurang-kurangnya lima hari untuk diubah. Lantas dia tidur beberapa jam sehingga masuk waktu zuhur.
Usai solat zuhur dan makan tengah hari, Sumayyah membuka sebuah lagi beg berisi pakaiannya yang masih belum terusik. Umi dan Salbiah datang membantu. Sepanjang semalam dia hanya membuka beg berisi buah tangan dari Jordan untuk dihadiahkan kepada kaum kerabat terdekat yang datang menziarahinya.
Ramai juga saudara-mara rapat yang menjenguk kepulangannya pada petang semalam dan malam tadi, selain Safiah kakak sulungnya dan abang iparnya Jasman serta Pak Long Zainuddin dan Mak Long Ngatimah yang menanti ketibaannya di rumahnya sejak tengah hari. Malah jiran-jiran terdekat turut datang.
“Untuk siapa ni?” tanya Umi seraya mengeluarkan sehelai ‘abaya yang masih berbungkus di celah-celah timbunan pakaiannya.
Sumayyah tersenyum pahit. ‘Abaya berwarna coklat muda itu dibeli untuk abahnya. Namun hajat untuk melihat abah memakai ‘abaya yang mampu menyimpan haba itu ketika bertahajud tidak kesampaian.
“Untuk abah,” bisiknya, antara dengar tak dengar. Tetapi cukup untuk ditangkap bunyinya oleh umi dan Salbiah.
Masing-masing terdiam.
Sebak masih berkuasa di mana-mana.

0 komentar: