Berlatarkan wajah wanita berpurdah, kulit buku Salju Sakinah menjadi mangsa trend novel Islami yang memuncak penerbitannya pada waktu itu. Melangkah keluar dari trend itu, Salju Sakinah menjamu pembaca dengan hidangan sastera yang berbeza daripada novel-novel Islami yang lain.
Sumayyah, seorang mahasiswi di Universiti Yarmouk, Jordan, disapa ujian yang pelbagai setelah tamat pengajian. Sepeniggalan ayahnya, Sumayyah terpaksa berhadapan dengan dunia usahawan sedangkan dia lulusan agama. Dia juga tidak lepas dengan ujian diri dan keluarga, bermula dari kesihatan ibunya yang tidak menentu. Namun, pesan ayahnya selalu disemat dalam ingatan: Bahawa nama yang diberi kepadanya bukan sebarang nama, tetapi nama serikandi pertama yang syahid, tidak mudah putus asa dek dugaan. Maka Sumayyah bertahan, sehingga dia menggapai kebahagiaan.
Langgam bahasa yang digunakan Zaid Akhtar sangat kemas dan cantik. Sesuai dengan perempuan sebagai tunjang utama cerita, kosa kata dan gambaran yang diberikan begitu indah. Apatah lagi diperhalusi dengan istilah-istilah bahasa Arab yang padan dengan latar dataran Syam yang dibawakan. Antara frasa yang paling saya suka adalah ‘mengelopakkan senyum’, terbayang keindahan senyuman seorang muslimah sejati yang tentunya sesuai dengan perkaitan mereka dengan sekuntum bunga yang mekar.
Aspek dakwah yang ditimbulkan dalam Salju Sakinah memberi satu pengajaran yang sangat penting buat para pembaca: Bahawa seorang daie (pendakwah) perlu bersedia dengan apa jua kemungkinan dan situasi. Apatah lagi seorang lulusan agama seperti Sumayyah. Tidak dapat tidak, apabila dipanggil oleh masyarakat, seorang daie boleh menyampaikannya dengan baik. Daie bertanggungjawab bukan saja pada masyarakat sekitar, tetapi pada keluarga sendiri. Tugas Sumayyah ini terpancar baik apabila dia tidak henti memikirkan solusi kepada penglibatan kakak sulungnya dalam sebuah kumpulan ajaran sesat selain menyampaikan kuliah pada para muslimah di kampong-kampung sekitar.
Tidak dilupakan aspek cinta. Sebagai novel cinta, Sumayyah mendukung wadah cinta berunsur Islam. Namun perkara yang lebih ditekankan penulis adalah cara bermuamalat dalam Islam, khusus dalam pergaulan lelaki dan perempuan.
Kesan emosi yang dibawa penulis melalui watak-watak wanita yang mendominasi kisah ini begitu baik. Ada yang sampai mengatakan kisah ini seperti ditulis oleh seorang wanita sendiri kerana pembawaan Sumayyah begitu ‘kena’. Mungkin ada yang merasakan watak-watak muslimah dalam cerita ini sedikit idealistik sifatnya, tetapi saya merasakan mereka (Sumayyah, Izzati, Hakimah, Fatihah, Marianis dan lain-lain) dengan sifat-sifat yang dikatakan ‘ideal’ inilah yang wajar menjadi model untuk dicontohi para pembaca, khasnya para muslimah. Muhasabah perhubungan antara manusia dan Tuhan sangat ditekankan oleh watak Sumayyah yang sentiasa menjaga ikatan-ikatan ini.
Secara teknikal, selain kulit hadapan yang sedikit klise, saya berpendapat blurb buku patut dicatat di kulit belakang buku ini, menggantikan komen-komen pembaca dan penulis lain, yang serasa saya patut dikurangkan. Novel tempatan mungkin sudah mula mengambil pendekatan novel dari Barat yang dipenuhi dengan lambakan pujian untuk sesebuah novel. Bukan bermakna komen-komen seperti ini tidak bagus, cuma semasa saya membeli novel ini, saya mencari-cari berkenaan apakah cerita ini, tetapi tidak ketemu. Kalaulah bukan kerana Zaid Akhtar dikenali melalui hadiah sastera yang dimenanginya sebelum ini, mungkin naskhah ini tidak berada di tangan saya.
Apapun, tahniah buat Zaid dan PTS atas penerbitan novel yang bermutu ini.
Sumber: Portal PTS
0 komentar:
Post a Comment