8/27/2008

Salju Sakinah berasal dari sebuah cerpen?

Barangkali kebanyakan pembaca tidak mengesannya, namun beberapa pembaca yang mengekori karya saya sejak dahulu menyedari bahawa kira-kira 10 tahun lalu saya pernah menulis sebuah cerpen berjudul Risik. Cerpen ini ditulis di rumah sewa saya, Darul Ulum di pinggiran kampus Universiti Yarmouk, Irbid. Tersiar dalam majalah Muslimah edisi Ogos 1998.

Risik adalah cerpen pertama saya yang tersiar di media sejak 'bergelandangan' ke Dataran Syam mulai Ogos 1995. Risik juga disiarkan oleh suara kampus pelajar Johor, Tanjung Puteri tidak lama kemudian. Cetusan idea pertama Risik berasal daripada ayat ini:

“Oleh itu hendaklah keluar dari tiap-tiap golongan di kalangan mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu agama, supaya memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Tentunya ayat di atas boleh sahaja dikaitkan dengan peranan golongan agamawan Timur Tengah apabila pulang ke tanah air, lantas ia saya lanjutkan dengan lebih jauh ke dalam Salju Sakinah.

Malah beberapa pembaca prihatin yang setia mengikuti siri-sirinya di Utusan Malaysia sepanjang 2005 dahulu pasti menyedari bahawa saya ada menyelitkan fragmen Risik ke dalam Salju Sakinah pada sirinya yang berjudul Mimpi yang Panjang. Namun, semasa mengedit kembali novel bersiri itu sebelum dibukukan, saya terpaksa mengambil keputusan menggugurkan siri tersebut demi mengukuhkan lagi struktur naratifnya.

Untuk membaca cerpen Risik, boleh klik di sini.

0 komentar: