11/13/2007

Siri 48

MENGAPA HARUS BERUBAH

SEJURUS bersolat Isyak berjemaah bersama umi, Sumayyah terus ke dapur. Kakaknya sedang menumbuk sambal belacan. Nasi siap bertanak dan gulai lemak tengah hari tadi juga sudah dihangatkan.
Lalu dia menjerang air untuk membancuh teh. Sementara menanti air mendidih, dia menyiapkan hidangan di atas meja. Agak hiba juga. Hanya mereka bertiga akan menikmati makan malam ini.
Selepas asar tadi, Safiah dan Jasman datang menjenguk umi. Dia mengajak mereka berdua bermalam di sini – sudah lama tidak berkumpul dan bersembang adik-beradik – tetapi abang iparnya menolak.
“Ingatkan nak ajak Kak Long dan Abang Long bermalam di sini tadi,” tutur Sumayyah, sengaja mengisi suasana. Sedari tadi ruang dapur hanya dipenuhi celoteh juruhebah radio IKIM.
Salbiah tidak terus menjawab. Menggeleng. Tangannya yang memegang sudip lincah membalikkan ikan kering yang sedang digoreng di dalam kuali.
“Susah sikitlah.”
“Apa yang susah?” Sumayyah memandang tepat ke wajah Salbiah.
“Sebenarnya dah lama juga mereka tak tidur sini.”
“Ya ke?”
“Sejak arwah abah ada lagi. Datang pun sekejap-sekejap. Err, macam semalam dan petang tadi - Abang Long tu nak cepat balik saja. Kau perasan tak?”
“Perasan juga. Apa kena dengan mereka, Kak Ngah?” Sumayyah menyudu gula secukup rasa sebelum meletakkan satu uncang teh ke dalam teko.
Dia mula menghidu perubahan itu sejak ketibaannya semalam. Kakak sulungnya dan abang iparnya itu nampak kurang selesa berada di rumah. Lantaran terlalu letih dan sedih, dia tidak terus bertanyakan hal itu kepada umi dan Salbiah.
“Entahlah, susah nak cakap. Sejak empat lima bulan ni, mereka nampak lain benar.”
“Lain benar? Lain benar macam mana?”
“Kak Long tak pernah begini sebelum ni. Nak kata …. “ Kata-kata Salbiah mati andar serta-merta melihatkan umi muncul di ambang pintu ruang dapur.
Sumayyah lekas mengerti. Pantas mengubah tajuk.
“Err, Kak Ngah nak balik pukul berapa esok?”
Umi merapati peti ais dan mengeluarkan segenggam ulam pegaga lalu dibasuh. Sumayyah menuangkan air yang sudah mencapai tahap didih di dalam cerek ke dalam teko yang siaga ternganga. Kemudian dia mengacau bancuhan tersebut.
“Lepas zuhur kot.”
“Lalu tinggallah saya dan umi berdua.”
“Apa pula berdua? Bertiga,” nafi uminya. “Nani kan ada. Petang esok, Pak Long kamu akan hantar semula dia ke sini.”
“Ya tak ya. Saya terlupa. Kita dah ada adik bongsu,” balas Sumayyah bersahaja. Spontan dia terbayangkan wajah Yusnani sepupunya yang pulang sebentar ke rumahnya di Tanjang Labuh petang semalam. Sepanjang pemergian abah, Yusnanilah yang menemani umi di rumah.
Sumayyah menyertai umi di meja makan bulat berkerusi empat itu. Salbiah menyenduk nasi ke dalam pinggan-pinggan sebelum duduk bersama.
“Dia dah nak masuk enam bulan bekerja di kilang abah kamu. Masa tu dia menunggu keputusan SPM. Kasihan tengok asyik berulang-alik, abah minta dengan Pak Long kamu biar Nani tinggal di sini. Kebetulan bulan lepas, dapat pula budak tu menyambung ke tingkatan enam di Senggarang.” Panjang umi menjelaskan.
Masing-masing mulai menikmati rezeki yang terhidang.
“Nani bekerja sebagai apa di kilang?” Suasana di meja makan tidak mahu dibiarkannya sepi tanpa kemesraan.
“Macam-macam. Tapi sejak dah sekolah semula ni, umi suruh dia jadi jurujual.”
“Ramai ke pekerja arwah abah, umi?”
“Taklah ramai sangat. Ada sekitar sepuluh orang.”
“Eh, ramai juga tu.”
“Hmm, lusa bolehlah Mai pergi tengok-tengokkan kilang kita tu.”
“Nantilah umi. Biarlah seminggu dua dulu. Bila waktu pagi sekarang ni, saya mengantuk sangat. Jadual tidur saya belum bertukar. Karang, orang lain pergi bekerja, saya pergi buat tahi mata.”
Umi dan Salbiah tergelak. Lekas-lekas Sumayyah menghulurkan segelas air masak, bimbang umi tersedak.
“Biarlah Mai berehat dulu, umi. Tapi Mai, akak harap-harap sangat kau teruskan usaha arwah abah tu,” celah Salbiah.
“Saya?”
“Habis tu nak harapkan siapa lagi?”
“Manalah saya tahu selok-belok berniaga, Kak Ngah. Saya ni ustazah.”
“Belum cuba, belum tahu, Mai.”
“Biarlah Mai tengok dan fikir dulu, Sal.” Umi meleraikan kontra pendapat anak-anaknya. “Tak apa, buat sementara ni, pekerja-pekerja abah kau boleh tolong uruskan. Kita ada pekerja yang boleh diharap.”
Umi masuk tidur awal sesudah makan malam dan minum teh. Katanya agak letih. Mereka berdua sama-sama mengemas dapur sambil berbual-bual sebelum telefon di ruang tamu berdering meminta diangkat.
Lantas Sumayyah bergegas ke depan. Mencapai gagang. Memberi ucapan salam dan helo.
“Waalaikumussalam.”
Sumayyah tersentak. Suara pemanggil yang menjawab salamnya seperti pernah didengarnya.
Siapa?
“Ya, mau bercakap dengan siapa?”
“Hajah Saadah ada? Boleh saya bercakap dengan dia?”
Suaranya persis suara seseorang yang cuba dilupakannya. Ah, mustahil dia!
“Dia dah tidur. Err, boleh saya tahu siapa ni?”
“Saya Muazam. Oh, dia dah tidur. Tak apalah, nanti saya hubungi dia semula.”
Lalu ucapan salam saling bertukar sekali lagi dan gagang diletakkan.
Sumayyah masih terpinga-pinga. Perlahan-lahan langkahnya diatur semula ke dapur.
Muazam?

0 komentar: