10/26/2005

Siri 24

SIAPA DIA SEBENARNYA

SERASANYA, tidak sampai sepuluh kali dia berpapasan dengan lelaki itu di kampus. Dan setakat ini, hanya dua kali mereka sempat berbicara. Namun intuisinya menyenangi perwatakan Ustaz Naufal.
“Kadang-kadang bila kita tegur macam ni orang marah. Kita dikatanya sibuk menjaga tepi kain orang.”
Masih terasa bisanya kata-kata yang diterimanya malam itu.
“Tapi kita ni sama-sama orang merantau, mesti beringat sebelum kena. Jangan bila dah terhantuk baru nak terngadah.”
Terkaku dia kala itu. Geram sungguh hatinya. Egonya tersentuh. Ditambah hatinya kebetulan baru saja dilukai lelaki. Lantas dia membalas:
“Maafkan saya kalau perbuatan saya ni menyusahkan. Mungkin ia tidak manis, tidak sedap pada mata saudara, tapi saya punya sebab yang tak dapat dielakkan.”
Tetapi entah mengapa tiba-tiba segala rasa meluat itu terlempar jauh apabila kalimat pedasnya dibalas dengan keluhuran budi di luar duga.
Siapakah dia sebenarnya? Hendak bertanya lebih lanjut kepada Hakimah terasa malu. Perasaan ingin mengenali peribadinya dipendamkan saja.
Tak serik dengan sejarah silam? Lelaki memang ramai yang zahirnya baik, tetapi belum pasti jujur setia. Afnan itu buktinya. Tak sampai dua minggu dikecewakan, sudah mengharap dan terpesona dengan yang lain? Entah-entah lelaki itu bakal menjadi suami orang.
Suara batinnya terus-terusan mengingatkan. Argh!
“Kau nampak macam dah tak sabar nak balik, Mai.”
Sumayyah terasa teh di tangan kirinya masih panas. Aroma pudina menguja selera. Roti Arab yang berintikan falafil sudah tinggal separuh.
“Yakah?” tanya Sumayyah, menatap wajah lembut Fatihah.
“Pada telahan akulah. Tengok cara kau bercakap dalam forum tempoh hari, tak tahulah betul ke tidak, kau macam dah bersedia nak balik.”
“Kadang-kadang aku rasa hipokrit pula selepas forum tu,” luah Sumayyah sembari mengelih ke kanan.
Pasangan bercinta yang diperhatikannya tadi belum puas melakukan maksiat. Geram. Kalaulah gadis itu adiknya, akan dilempangnya di situ juga. Kalaulah dia ada kuasa memerintah, kedua-duanya akan dihukum kerana berkelakuan tidak senonoh, menyalahi adat dan syariat serta mendekati zina.
“Maksud kau?”
“Yalah. Cakap berdegar-degar, sarankan mahasiswa buat itu buat ini. Sedang kita sendiri ni, bila balik esok, entah bagaimana keadaannya.”
Fatihah menghirup tehnya perlahan-lahan. Seperti membiarkan Sumayyah terus berbicara.
“Aku sebenarnya takut, Teh. Tanggungjawab orang mengaji agama ni berat. Tugas kita bukan setakat menyampaikan ilmu tapi menjadi pengingat kepada masyarakat. Makin dekat nak balik, kadang-kadang makin terasa cuaknya. Gerun nak berhadapan dengan masyarakat.”
Sumayyah menghabiskan roti falafilnya. Pandangannya dilepaskan ke arah kafetaria yang berbentuk bujur seperti telur.
“Baik masyarakat bandar atau luar bandar, kini tidak jauh bezanya. Kedua-duanya mencabar dan berpenyakit sosial. Sepatah kata salah seorang panel lelaki hari tu, masyarakat kita hari ni adalah masyarakat yang paling aktif dalam sumbang-menyumbang. Pertama, dalam isu sumbang mahram. Kedua, menyumbangkan wakil untuk menjadi warga di pusat-pusat Serenti,” sambungnya lagi.
“Ya, dalam kedua-dua bidang tu, orang Melayu Islamlah yang menjadi juara penyumbang.” Fatihah mengiyakan statistik yang pernah dilaporkan media massa.
“Ia terlalu pahit. Memang sukar untuk ditelan. Tapi begitulah realitinya dewasa ini. Orang kita sudah hilang rasa sensitif. Budaya ‘takpedulisme’ sesama bangsa sudah bertapak. Itu belum ditokok masalah sosial generasi muda.”
“Macam pasangan Arab tak tahu malu sebelah kanan kita tu,” tambah Fatihah menjeling sekilas. Lega. Pasangan kekasih yang saling rela berkongsi dosa itu sudah bangkit tanda mahu beredar.
“Soalnya, mampukah kita yang bergelar ustaz dan ustazah ni menegur pasangan yang suka ‘ringan-ringan’ macam tu bila balik ke Malaysia nanti? Beranikah kita?”
“Siapa berani? Silap-silap kena makan penampar dan dapat saman malu,” balas Fatihah yang sudah menghabiskan tehnya.
Sesekali bayu hangat menabrak wajah mereka.
“Itulah sebabnya aku setuju sangat dengan saranan Ustaz Naufal yang menyarankan agar kita golongan agamawan mesti merapatkan ukhuwwah, membina satu saf atau tanzim bersepadu yang mantap sejak di sini lagi, kerana cabaran yang bakal diterima takkan mampu kita tangani seorang diri.”
Sumayyah menghabiskan minumannya yang mulai sejuk. Saranan itu memang lekat di ingatannya, apatah lagi ia memang bertepatan dengan perumpamaan bunyan marsus yang disebutkan dalam ayat keempat surah As-Shaff.
Fatihah mengelih jam tangannya. Mengisar punggung untuk duduk dengan lebih selesa.
“Mai, boleh aku cakap sesuatu?”
Sumayyah menjeling tajam. “Sejak bila belajar minta kebenaran ni?”
“Mungkin masanya kurang sesuai. Sudah lebih seminggu aku cuba pendam,” ujar Fatihah, dalam nada mendatar. “Tapi aku tak dapat nak tahan diri aku daripada bertanya kepada engkau sendiri.”
“Tanya tentang apa?”
Hakimah dan Izzati pernah cuba berkongsi masalah dengannya, tetapi dia sendiri yang cuba mengelak. Apakah gadis ini juga memiliki niat yang serupa?
“Bagaimana hubungan kau dengan Afnan?”
Sumayyah tercelangap. Pertanyaan yang sebagaimana dijangka. Segera bingkas dan senyum lebar.
“Jom ikut aku.”
“Ke mana?”
Kitab Fiqh Sirah Nabawiyyah dibawa ke dada. Fatihah turut bangkit.
“Aku nak jumpa Dr. Mousa Khalidiy. Tanya fasal sirah.”
“Kau belum jawab soalan aku tadi.”
Pandangan Fatihah pandangan mengharap. Selagi dia tidak menjawab, selagi itulah pertanyaan demi pertanyaan akan mendatanginya.
Sumayyah memandang ke arah bunga-bunga matahari yang sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan dihembus bayu awal musim panas Mediterranean.
“Tengoklah nanti.”

Tanzim – organisasi

0 komentar: